Park Jin Young atau JY Park, pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif (CCO) JYP Entertainment, dilaporkan akan meletakkan jawatan sebagai pengarah dalaman syarikat tersebut bagi memberi tumpuan kepada aktiviti kreatif dan perkembangan industri K-pop.
Pada 10 Mac, JYP Entertainment mengumumkan bahawa Park Jin Young tidak akan melalui proses pelantikan semula sebagai pengarah dalaman dalam mesyuarat pemegang saham yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mac.
Walaupun melepaskan jawatan dalam lembaga pengarah, beliau akan kekal sebagai pengasas serta Ketua Pegawai Kreatif (CCO) syarikat itu.
Park menyatakan bahawa selepas ini beliau merancang untuk memberi fokus kepada aktiviti kreatif sebagai artis, membimbing artis generasi baharu, serta menjalankan pelbagai aktiviti luar yang berkaitan dengan industri K-pop dan pertukaran budaya popular Korea.
Park Jin Young mula mencipta nama dalam industri muzik pada tahun 1994 menerusi lagu “Don’t Leave Me”. Sejak itu, beliau menghasilkan pelbagai lagu popular selain aktif sebagai komposer dan penerbit. Beliau menubuhkan JYP Entertainment pada tahun 1997 dan berkhidmat sebagai pengarah dalaman berdaftar sejak 2011.
Pada September tahun lalu, Park turut dilantik sebagai pengerusi bersama bagi The Presidential Committee on Popular Culture Exchange, sebuah jawatankuasa yang memberi tumpuan kepada pertukaran budaya popular Korea di peringkat global.
Menariknya, pada hari yang sama pengumuman pengundurannya dibuat, Billboard turut menamakan beliau dalam senarai Billboard Global Power Players, yang mengiktiraf tokoh berpengaruh dalam industri muzik global di luar Amerika Syarikat.
Turut tersenarai ialah Ketua Pegawai Eksekutif JYP, Jung Wook, serta CEO JYP Entertainment America merangkap Ketua Pegawai Strategi (CSO), Shin Hyun Guk.
Billboard turut menyorot beberapa pencapaian JYP Entertainment, termasuk rekod jualan tertinggi syarikat pada suku kedua tahun 2025. Jelajah dunia kumpulan Stray Kids juga mendapat perhatian apabila 13 konsert mereka di Amerika Utara berjaya menarik sekitar 491,000 penonton dan menjana pendapatan sebanyak AS$76.2 juta.
Menurut data Billboard Boxscore, jelajah tersebut menjadi tour K-pop dengan jualan tiket dan kutipan tertinggi di Amerika Utara.
Walaupun berundur daripada jawatan pengarah dalaman, pengaruh Park Jin Young dalam industri muzik global dilihat terus berkembang. Ramai kini menantikan bagaimana beliau akan terus memainkan peranan dalam membentuk masa depan K-pop melalui aktiviti kreatif dan pembangunan artis baharu.

