Pelawak dan selebriti popular, Park Na Rae, kini menjadi tumpuan media susulan beberapa dakwaan serius yang melibatkan bekas pengurusnya dan individu yang didakwa memberi rawatan perubatan tanpa lesen. Isu ini telah mencetuskan kontroversi besar dalam industri hiburan Korea, termasuk pengunduran Park dari rancangan televisyen popular. Berikut kronologi peristiwa yang berlaku.
November 2025: Perselisihan Bermula Selepas Pengurus Berhenti
Pada awal November, dua bekas pengurus Park Na Rae meninggalkan agensinya, NPark, setelah mendakwa mengalami gangguan di tempat kerja. Menurut mereka, Park menyalahgunakan kuasa dengan memaksa mereka melakukan tugasan peribadi, termasuk membeli makanan dan alkohol, membersihkan selepas majlis, mengurus temujanji hospital, dan menjalankan tugas rumah tangga untuk keluarga Park. Bekas pengurus juga mendakwa tidak dibayar balik perbelanjaan kerja mereka dan diperlakukan secara lisan dan fizikal secara kasar, termasuk dipukul dengan gelas semasa sesi minum.
Bekas pengurus seterusnya memfailkan tuntutan untuk penyitaan sementara aset hartanah Park di Mahkamah Daerah Barat Seoul, dan menuntut pampasan sebanyak 100 juta won (~RM68,000) seorang. Mereka mendakwa Park kemungkinan cuba menyembunyikan atau menjual aset untuk mengelak bayaran ganti rugi.
Awal Disember 2025: Siasatan polis bermula
Gangnam Police Precinct mengesahkan menerima aduan terhadap Park mengenai serangan teruk, gangguan tempat kerja, pelanggaran Akta Perkhidmatan Perubatan dan Akta Pembangunan Industri Kebudayaan dan Seni Popular. Park, ibunya, seorang profesional perubatan yang tidak dikenali, dan seorang bekas pengurus disenaraikan sebagai tertuduh.
Akibat aduan ini, penggambaran program hiburan MBC yang melibatkan Park dibatalkan. Agensinya menyatakan sedang berunding dengan peguam dan menegaskan pembayaran gaji akhir kepada bekas pengurus telah dibuat, tetapi bekas pengurus menuntut bayaran tambahan bersamaan 10% pendapatan syarikat tahun sebelumnya.
Isu perubatan tidak sah
Dispatch mendedahkan bukti tambahan yang menunjukkan Park Na Rae menerima IV dan ubat preskripsi di luar institusi perubatan berlesen, termasuk di rumah persendirian dan dalam kenderaan. Individu yang memberikan rawatan, dikenali sebagai “Makcik Suntikan,” tidak memiliki lesen perubatan dan menjalankan perniagaan lain seperti kosmetik dan pelancongan perubatan.
Bahan-bahan yang digunakan termasuk ubat kelas psychoneurotic (anti-depresi) yang hanya boleh diberikan oleh doktor berlesen. Tindakan ini berpotensi melanggar Akta Perkhidmatan Perubatan, Akta Kawalan Dadah, dan Akta Kawalan Sisa Perubatan, dengan hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda sehingga 50 juta won (~RM34,000). Dispatch turut menyoal sumber ubat-ubatan dan preskripsi proksi yang digunakan, serta mempertikaikan sama ada pihak produksi mengetahui kredibiliti pemberi rawatan.
Park menegaskan rawatan dilakukan melalui servis rumah panggilan, namun lokasi dan cara rawatan menimbulkan persoalan undang-undang dan keselamatan awam. Bekas Presiden Persatuan Perubatan Korea, Lim Hyun-taek, memfailkan aduan kepada pendakwa raya terhadap individu tersebut dan meminta siasatan terhadap Park atas kemungkinan membantu kegiatan ini.
10–13 Disember 2024: Klip lama di YouTube
Beberapa klip lama daripada rancangan MBC “I Live Alone” yang menunjukkan Park menyebut tentang IV drips bersama penyanyi Jung Jae-hyung telah disetkan kepada private di YouTube. Dalam klip itu, Park secara santai bercakap tentang membuat janji IV bersama Jung ketika mereka membuat kimchi. Langkah ini dipercayai diambil berikutan kontroversi yang semakin hangat mengenai rawatan perubatan tidak sah.
10 Disember 2025: Bekas pengurus bantah dakwaan penyelesaian
Bekas pengurus Park menafikan kenyataan Park bahawa salah faham telah diselesaikan. Menurut laporan Channel A, meskipun Park berbincang dengan mereka selama kira-kira tiga jam, tiada permohonan maaf atau persetujuan dicapai.
Seorang bekas pengurus berkata:
“Kami memberitahunya, ‘Kami telah bertahan sebulan. Kami tidak boleh teruskan lagi.’ Park membalas, ‘Kalau begitu, bawa ke mahkamah.’”
Bekas pengurus juga terkejut dengan kenyataan Park yang mendakwa isu telah diselesaikan, menuduh tindakan itu mungkin strategi untuk mendapat masa dan mengubah persepsi awam.
Park dan agensinya menafikan dakwaan ini, menegaskan bahawa selepas membayar gaji akhir, bekas pengurus menuntut 10% daripada pendapatan tahun sebelumnya dan mula membuat dakwaan baharu.
11 Disember 2025: Isu melibatkan Onew dari SHINee
Skandal perubatan tidak sah yang melibatkan Park Na Rae turut menarik perhatian apabila Onew, anggota boyband SHINee, didakwa menerima rawatan perubatan daripada makcik suntikan sama yang memberi rawatan kepada Park. Menurut laporan, makcik suntikan ini menawarkan rawatan IV, preskripsi antidepresan, dan perkhidmatan lain di rumah.
Agensi Onew, Griffin Entertainment, menegaskan penyanyi itu hanya menerima rawatan kulit (skincare) dan tidak mengetahui imakcik suntikan tersebut tidak berlesen. CD yang ditandatangani Onew yang ditemui dalam akaun media sosial individu itu hanyalah sebagai tanda penghargaan, dan bukan bukti rawatan perubatan haram. Polis telah membuka siasatan terhadap individu berkenaan atas dakwaan pelanggaran undang-undang perubatan dan narkotik.
Artikel berkaitan : Key SHINee Undur Diri Daripada Semua Program Susulan Kontroversi Rawatan Perubatan Tanpa Lesen
16 Disember 2025: Park Na-rae keluarkan kenyataan video
Park mengeluarkan kenyataan video selama dua minit melalui saluran YouTube Baek Eun Young’s Golden Time. Dalam video tersebut, Park menyatakan:
- Dia menangguhkan semua program yang disertainya untuk tidak membebankan pasukan produksi dan rakan sekerja.
- Proses siasatan undang-undang sedang berjalan, dan dia tidak akan membuat sebarang kenyataan awam tambahan sehingga kes selesai.
- Keputusan ini bukan untuk menuding jari atau menyalahkan sesiapa, tetapi untuk membiarkan prosedur rasmi berjalan.
- Park akan menggunakan masa cuti untuk merenung tindakan dan tanggungjawabnya.
17 Disember 2025: Isu “joosa aunties” dan rawatan IV di rumah
Media Korea menyoroti fenomena “joosa aunties”, makcik suntikan tidak berlesen yang memberi suntikan atau ubat di rumah, termasuk rawatan kecantikan, IV untuk pulih tenaga, dan ubat antidepresan. Park didakwa menerima beberapa rawatan daripada individu sebegini di rumahnya.
Kementerian Kesihatan menegaskan, walaupun rawatan dibuat atas permintaan pesakit, rawatan di luar institusi perubatan berlesen boleh melanggar undang-undang, termasuk Akta Perkhidmatan Perubatan. Hukuman untuk individu tidak berlesen boleh sampai 5 tahun penjara atau denda sehingga 50 juta won.
Kesimpulan
Kes Park Na Rae kini melibatkan beberapa aspek:
- Gangguan dan penyalahgunaan kuasa terhadap bekas pengurus.
- Penggelapan dana syarikat menurut dakwaan bekas pengurus (ditafsirkan berbeza oleh agensi).
- Rawatan perubatan tidak sah oleh individu tanpa lesen, yang turut dikaitkan dengan selebriti lain termasuk Onew dari SHINee.
Park telah menarik diri daripada rancangan televisyen popular seperti I Live Alone, Where Is My Home dan Amazing Saturday untuk sementara waktu, sambil menunggu siasatan undang-undang selesai. Dia menegaskan akan mengutamakan prosedur rasmi dan tidak memberikan komen lanjut sehingga kes selesai.
Kes ini terus menjadi perhatian industri hiburan dan komuniti perubatan Korea, serta mencetuskan perbincangan tentang amalan perubatan haram dan pengurusan artis di agensi kecil.
Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9

