Barisan pelakon dan kru drama Nice to Not Meet You telah berkumpul di Seoul untuk sidang media bagi memperkenalkan siri romantik komedi terbaru mereka. Pengarah Kim Ga Ram bersama pelakon utama Lee Jung Jae, Lim Ji Yeon, Kim Ji Hoon dan Seo Ji Hye turut berkongsi pengalaman di sebalik tabir serta perkara menarik yang boleh penonton nantikan.
Menggabungkan dunia hiburan yang penuh warna dengan kisah cinta menyentuh hati, Nice to Not Meet You mengisahkan Lim Hyeon Jun (lakonan Lee Jung Jae), seorang pelakon yang sering mendapat watak sama dan ingin mencuba sesuatu yang baru, serta Wi Jeong Sin (lakonan Lim Ji Yeon), seorang wartawan politik yang tiba-tiba diarahkan bekerja di bahagian hiburan. Pertemuan mereka yang bermula dengan salah faham akhirnya membawa kepada kisah penuh kelakar, manis, dan sarat dengan kimia tak dijangka.
Drama ini akan mula ditayangkan pada 3 November, dengan episod baharu setiap minggu di Prime Video di lebih 240 negara. Menjelang tayangan sulungnya, berikut 5 sebab kenapa anda perlu menontonnya!
1. Dihasilkan oleh Tenaga Kreatif Terbaik

Drama ini menarik perhatian ramai kerana diketuai oleh pengarah dan penulis yang berpengalaman hebat. Pengarah Kim Ga Ram, yang sebelum ini mengarah Good Partner dan Nevertheless, berkata,
“Siri ini menggabungkan pelbagai genre – ada cinta, komedi, aksi, thriller dan juga unsur sejarah.”
Beliau turut dibantu oleh penulis Jung Yeo Rang, yang terkenal dengan drama popular Doctor Cha (2023). Gabungan dua nama besar ini menjadikan ramai peminat dan penggiat industri tertunggu-tunggu hasil segar dan menarik daripada mereka.
2. Barisan Pelakon Utama yang Mantap

Nice to Not Meet You menampilkan pelakon ternama yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa. Lee Jung Jae, yang mencipta fenomena melalui Squid Game, menerajui barisan pelakon utama bersama Lim Ji Yeon, bintang The Glory dan The Tale of Lady Ok.
Turut menyertai mereka ialah Kim Ji Hoon, yang baru-baru ini mendapat pujian menerusi siri Butterfly di Prime Video, dan Seo Ji Hye, pelakon kesayangan ramai dalam Crash Landing on You.
Pengarah Kim memuji kehebatan mereka dengan berkata:
“Semua pelakon ini sangat berbakat dan pernah membawa watak unik sebelum ini. Saya mahu menonjolkan sisi berbeza mereka dalam drama kali ini.”
Dengan tenaga pelakon sehebat ini, tak hairanlah ramai menantikan bagaimana kisahnya akan dihidupkan.
3. Sokongan Pelakon Hebat & Penampilan Istimewa

Pengarah Kim Ga Ram menekankan bahawa drama ini bukan sekadar kisah cinta biasa:
“Nice to Not Meet You bukan sekadar tentang percintaan. Banyak bahagian yang penonton akan rasa dekat dengan kehidupan sebenar.”
Barisan pelakon tambahan turut menyerlah, termasuk penampilan khas Oh Yeon Seo sebagai selebriti terkenal dan bekas kekasih kepada watak Lee Jung Jae.
Choi Guy Hwa memegang watak pengurus Lim Hyeon Jun yang penuh dengan ‘bro-chemistry’, manakala Jeon Seong Woo memainkan peranan sebagai penulis skrip drama dalam cerita itu sendiri.
Hubungan keluarga juga menjadi salah satu tumpuan — Na Young Hee melakonkan watak ibu Hyeon Jun, bekas bintang seksi era 1970-an; Kim Hyun Jin sebagai adik lelakinya yang belajar perubatan; dan Jin Ho Eun pula sebagai adik kepada Wi Jeong Sin yang bercita-cita menjadi pelakon.
Gabungan pelakon-pelakon ini menambah kedalaman pada jalan cerita dan menjadikan setiap watak mempunyai kisah tersendiri untuk diikuti.
4. Watak & Sisi Baru Pelakon

Lee Jung Jae mendedahkan kenapa beliau memilih drama ini selepas kejayaan besar Squid Game:
“Pertama, sebab Lim Ji Yeon yang ajak saya. Kedua, sebab sebelum ini saya banyak berlakon watak berat, jadi saya nak buat sesuatu yang lebih ringan dan menyeronokkan.”
Lim Ji Yeon turut bersetuju, katanya:
“Saya pun banyak buat watak serius. Kali ini saya nak cuba sesuatu yang lebih ceria dan sesuai dengan usia saya.”
Kim Ji Hun pula menambah,
“Saya nak tunjuk sisi berbeza diri saya sebab sebelum ini banyak bawa watak agresif.”
Seo Ji Hye turut berkongsi cabarannya, di mana dia perlu meluahkan banyak emosi dan kemarahan untuk menjayakan wataknya kali ini.
Kesungguhan mereka untuk mencuba sesuatu yang baru menjanjikan persembahan lakonan yang segar dan berbeza daripada apa yang pernah kita lihat sebelum ini.
5. Rom-Com yang Dinanti Ramai

Menutup sesi sidang media, Lee Jung Jae berkata:
“Rom-com memang seronok ditonton di hujung tahun. Kebetulan drama kami akan disiarkan pada waktu itu, jadi harap penonton terhibur.”
Kim Ji Hoon menambah,
“Banyak babak yang akan buat anda ketawa kecil. Ia drama yang ringan dan menghiburkan.”
Gabungan cinta dan komedi yang seimbang pasti membuatkan penonton terhibur. Lee Jung Jae juga mendedahkan bahawa dia dan Lim Ji Yeon sering bergurau di set, malah katanya Lim Ji Yeon “suka sangat menyakat saya.”
Hubungan mesra itu dapat dirasai melalui watak mereka dalam drama ini. Kim Ji Hun turut berkongsi,
“Watak saya seorang lelaki yang hanya menumpukan pada satu wanita. Saya rasa ramai penonton wanita akan cair dengan watak macam ni.”
Romantik dan kelakar — Nice to Not Meet You pastinya pilihan tepat untuk tontonan santai anda.
Nikmati dunia penuh warna Nice to Not Meet You — di mana ‘bermusuhan’ bertukar menjadi cinta.
Tayangan eksklusif di Prime Video setiap Isnin dan Selasa, bermula 3 November.

