Annyeong, chinguyaa~~
Macam biasa, kami takkan biarkan korang tercicir daripada perkembangan drama Korea terbaru yang bakal temani bulan November 2025 ni! 🌙
Bulan ni memang luar biasa meriah — dari kisah cinta manis yang buat jantung berdebar, ke drama misteri dan thriller penuh emosi — semuanya siap sedia untuk masuk dalam watchlist korang.
Apa yang buat bulan November ni lagi menarik, barisan pelakonnya memang padu habis! Bayangkan nama besar seperti Lee Jae Wook, Ji Chang Wook, Kim Yoo Jung, Jeon So Nee, Kang Tae Oh, Kim Sejeong, Kim Hee Sun, Jang Ki Yong, Lee Jung Jae, Yoon Kye Sang dan ramai lagi bergabung dalam pelbagai genre — memang confirm korang takkan bosan. 🎬
Jadi standby popcorn korang, sebab November kali ni penuh dengan drama baru yang wajib masuk radar! 😍
Jom kita tengok 11 drama Korea terbaru yang akan bersiaran sepanjang bulan ini!
1. Last Summer

- Tarikh Tayangan: 1 November 2025
- Penyiar: KBS | Netflix
- Barisan Pelakon: Lee Jae Wook, Choi Sung Eun, Kim Gun Woo
Lee Jae Wook memainkan watak kembar, Baek Do Ha dan Baek Do Yeong, yang terpisah selepas ibu bapa mereka bercerai. Do Ha tinggal di Amerika Syarikat, tetapi dia akan pulang ke Korea Selatan setiap musim panas selama 21 hari dan menetap di rumah keluarga mereka. Pada waktu itu, dia akan berjumpa dengan abangnya, Do Yeong, dan jiran mereka, Song Ha Kyeong (Choi Sung Eun).
Semasa kecil, Do Ha dan Ha Kyeong sering bergaduh, tetapi semakin mereka membesar, Ha Kyeong mula menyimpan perasaan terhadap Do Ha walaupun tidak pernah mengakuinya. Kini setelah dewasa, Do Ha bekerja sebagai arkitek berbakat manakala Ha Kyeong menjadi pegawai kerajaan dalam bidang seni bina. Namun, mereka perlu berdepan dengan satu kejadian yang berlaku dua tahun lalu — yang telah mengubah hidup mereka untuk selamanya.
Drama ini mengetengahkan kisah cinta yang hanya berlaku setiap musim panas, dengan gabungan rahsia keluarga dan perubahan hidup yang datang bersama usia dewasa. Lakonan dua watak oleh Lee Jae Wook menjadikan drama ini antara yang paling dinanti-nantikan.
2. Nice To Not Meet You

- Tarikh Tayangan: 3 November 2025
- Penyiar: TVING | Prime Video
- Barisan Pelakon: Lee Jung Jae, Lim Ji Yeon, Kim Ji Hoon, Seo Ji Hye
Drama ini menjanjikan kisah cinta yang matang dan penuh jenaka, menggambarkan bagaimana dua insan daripada dunia berbeza boleh saling membantu untuk berubah dan berkembang — sama ada mereka mahukannya atau tidak.
Lee Jung Jae membintangi watak Im Hyun Joon, seorang pelakon terkenal yang popular dengan watak detektif, namun sebenarnya menyimpan impian untuk menjadi pelakon hebat dalam genre melodrama. Hidupnya mula berkait rapat dengan Wi Jung Sook, lakonan Im Ji Yeon, seorang wartawan politik berpengalaman yang kerjayanya berubah secara tidak disangka. Selepas terlibat dalam skandal rasuah besar, Jung Sook kehilangan jawatannya yang berprestij dan dipindahkan secara memalukan ke bahagian hiburan.
Apabila Hyun Joon dan Jung Sook sering bertemu dalam urusan kerja dan kehidupan peribadi, mereka terpaksa berhadapan dengan sikap dan pandangan masing-masing yang sudah lama tertanam tentang dunia profesional mereka.
3. The Manipulated

- Tarikh Tayangan: 5 November 2025
- Penyiar: Disney+ Malaysia
- Barisan Pelakon: Ji Chang Wook, Doh Kyung Soo, Jo Yoon Soo, Kim Jong Soo, Le Kwang Soo
Sebuah drama penuh debaran dan aksi mendebarkan, ‘The Manipulated’, yang diinspirasikan daripada filem popular tahun 2017 ‘Fabricated City’, menampilkan semula pelakon utamanya, Ji Chang Wook, bersama penulis skrip asal Oh Sang Ho dalam versi cerita yang lebih segar dan moden.
Dalam siri ini, Ji Chang Wook membawa watak Park Tae Joong, seorang lelaki biasa yang hidupnya musnah apabila dia dituduh melakukan jenayah kejam yang tidak dilakukannya dan akhirnya dipenjara. Namun, di sebalik tirai besi, dia menemui kebenaran mengejutkan — segala yang berlaku sebenarnya dirancang oleh individu misteri bernama An Yo Han, dilakonkan dengan penuh karisma oleh Do Kyung Soo (D.O.) sebagai watak antagonis utama.
Siri ini menjanjikan kisah penuh ketegangan tentang fitnah, penjara dan dendam yang dirancang dengan teliti, apabila Tae Joong berusaha menjatuhkan lelaki yang telah memusnahkan hidupnya. Dengan barisan pelakon hebat dan jalan cerita yang menegangkan, penonton pasti akan terpaku dengan gabungan aksi mendebarkan dan elemen psikologi yang mencengkam.
4. Dear X

- Tarikh Tayangan: 6 November 2025
- Penyiar: TVING | HBO Max
- Barisan Pelakon: Kim Yoo Jung, Kim Young Dae, Kim Do Hoon. Lee Yul Eum
Diadaptasi daripada webtoon popular, ‘Dear X’ bakal menjadi antara drama thriller psikologi paling gelap tahun ini. Kim Yoo Jung membawakan watak Baek Ah Jin, seorang pelakon terkenal yang bukan sahaja bijak dan cantik, tetapi turut menyimpan masa silam yang amat menyakitkan. Setelah melalui keganasan rumah tangga ketika kecil, Ah Jin belajar untuk bertahan hidup dengan menekan emosinya dan menjadi seorang manipulator yang mahir membaca hati manusia. Di luar, dia kelihatan lemah lembut dan murah hati, namun sisi “iblis” dalam dirinya muncul setiap kali dia berasa terancam atau ingin mencapai matlamatnya.
Di sisinya ialah Yoon Joon Seo (lakonan Kim Young Dae), satu-satunya individu yang benar-benar dipercayainya. Namun, dalam satu kejutan besar, Joon Seo akhirnya membuat keputusan untuk menjatuhkan wanita yang paling dia percayai itu.
‘Dear X’ menjanjikan kisah penuh ketegangan dengan elemen trauma, perjuangan untuk bertahan, serta pengkhianatan yang menggoncang emosi, menjadikannya antara karya yang pasti meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
5. As You Stood By

- Tarikh Tayangan: 7 November 2025
- Penyiar: Netflix
- Barisan Pelakon: Jeon So Nee, Lee Yoo Mi, Lee Moo Saeng, Jang Seung Jo
Berdasarkan novel Jepun ‘Naomi to Kanako’, siri Netflix ini menampilkan kisah gelap tentang persaudaraan wanita yang ekstrem dan penuh ketegangan. Eun Soo (lakonan Jeon So Nee) ialah seorang jurujual di butik barangan mewah yang masih dibayangi trauma masa kecilnya. Sahabatnya, Hee Soo (lakonan Lee Yoo Mi), seorang bekas penulis buku kanak-kanak, kini terperangkap dalam perkahwinan penuh penderaan di tangan suaminya, Jin Pyo (Jang Seung Jo).
Tidak sanggup melihat penderitaan sahabatnya, Eun Soo membuat keputusan berani — satu-satunya cara untuk menyelamatkan Hee Soo ialah dengan membunuh Jin Pyo. Kedua-dua wanita itu kemudian merancang dan berpakat untuk melaksanakan rancangan tersebut, dan secara tidak disangka mereka mendapat bantuan daripada Jin So Baek (lakonan Lee Moo Saeng), Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Jingang Firm, yang memahami niat mereka dan memilih untuk membantu.
Kisah yang mendebarkan ini menyelami keputusasaan yang mendorong seseorang melakukan jenayah, serta hubungan rumit antara dua wanita yang berjuang untuk membebaskan diri daripada penderitaan dan ketakutan.
6. Moon River

- Tarikh Tayangan: 7 Novermber 2025
- Penyiar: MBC | Viu Malaysia
- Barisan Pelakon: Kang Tae Oh, Kim Sejeong
Drama sageuk fantasi ini berlatar di istana diraja Joseon, apabila Putera Mahkota Lee Kang (Kang Tae-Oh) dan gadis pasar, Park Dal-Yi (Kim Se-Jeong), secara misteri bertukar jiwa. Tiba-tiba, Lee Kang terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat biasa, manakala Dal-Yi pula perlu bertahan dalam dunia politik istana yang penuh bahaya.
Takdir mempertemukan mereka dalam misteri pertukaran jiwa, memaksa keduanya memilih antara cinta, tanggungjawab, dan nasib. Drama ini menggabungkan hubungan penuh emosi dengan konflik yang mencabar, dihiasi visual mempesona untuk penonton.
7. No Next Life

- Tarikh Tayangan: 10 November 2025
- Penyiar: TV Chosun
- Barisan Pelakon: Kim Hee Sun, Han Hye Jin, Jin Seo Yeon
Drama ini menampilkan Kim Hee Sun, Han Hye Jin dan Jin Seo Yeon sebagai tiga wanita dalam usia 40-an yang mula sedar hidup mereka kini hanya dipenuhi rutin dan tanggungjawab terhadap orang lain. Dahulu mereka pernah mempunyai impian besar, tetapi kehidupan sebenar membuatkan semangat itu perlahan-lahan hilang.
Apabila mereka memilih untuk berhenti hidup dengan cara yang “selamat” dan terlalu mengikut jangkaan orang, masing-masing mula mencari semula makna kebebasan, kasih terhadap diri sendiri dan tujuan hidup — walaupun dianggap pelik atau melulu oleh orang sekeliling.
Jo Na Jeong (Kim Hee Sun) ialah bekas pengacara beli-belah yang ingin kembali ke dunia kerja, Koo Ju Young (Han Hye Jin) berusaha untuk hamil walaupun suaminya bersifat aseksual, manakala Lee Il Ri (Jin Seo Yeon), seorang wanita berkerjaya berjaya, menyimpan impian untuk memiliki keluarga sendiri.
Kisah mereka menggambarkan keberanian untuk mencintai diri dan memulakan semula, walaupun pada usia di mana ramai beranggapan impian sepatutnya sudah berakhir.
8. Dynamite Kiss

- Tarikh Tayangan: 12 November 2025
- Penyiar: SBS | Netflix
- Barisan Pelakon: Jang Ki Yong, Ahn Eun Jin, Kim Mu Jun, Woo Da VI
“Dynamite Kiss” mengisahkan Go Da Rim (lakonan Ahn Eun Jin), seorang wanita bujang yang terdesak mencari pekerjaan sehingga sanggup menyamar sebagai ibu kepada seorang anak demi diterima bekerja di sebuah syarikat produk bayi. Namun, penyamarannya membawa kepada pertemuan tidak disangka dengan Gong Ji Hyuk (lakonan Jang Ki Yong), ketua pasukan Mother TF yang tegas, berwibawa dan tenang. Hidup Ji Hyuk yang sebelum ini teratur mula menjadi huru-hara apabila Da Rim — yang menyembunyikan identiti sebenarnya — secara tiba-tiba menciumnya, mencetuskan detik yang ‘meletup’ dan mengubah hubungan mereka sepenuhnya.
Keadaan bertambah rumit apabila Kim Sun Woo (lakonan Kim Mu Jun), sahabat baik Da Rim selama 20 tahun yang juga seorang ayah tunggal, diminta berpura-pura menjadi suaminya bagi mengekalkan penyamaran tersebut. Dalam masa yang sama, Yoo Ha Young (lakonan Woo Davi), pewaris chaebol yang elegan dan berkeyakinan, mula jatuh hati pada Sun Woo — mencetuskan segitiga cinta yang hangat, lucu dan penuh kejutan.
Dengan gabungan elemen romantik, salah faham yang mencuit hati dan hubungan yang semakin rumit, “Dynamite Kiss” menjanjikan sebuah kisah cinta moden yang ringan tetapi menyentuh perasaan — tontonan sempurna untuk menceriakan pertengahan minggu anda.
9. Love.exe
- Tarikh Tayangan: 13 November 2025
- Penyiar: Wavve
- Barisan Pelakon: LKim Yo Han, Hwang Bo Reum Byeol
“LOVE.exe” ialah drama romantik komedi yang mengisahkan percintaan huru-hara antara Kang Min Hak (lakonan Kim Yo Han), seorang model popular, dan Ju Yeon San (lakonan Hwang Bo Reum Byeol), pelajar jurusan kejuruteraan komputer yang pintar tetapi canggung dalam hal cinta.
Berlatar di sebuah kampus universiti, cerita ini bermula apabila berlaku gabungan luar biasa antara fakulti kejuruteraan komputer dan peragaan, yang mencetuskan pelbagai situasi lucu serta salah faham antara dua dunia yang berbeza itu.
Di sebalik pertelingkahan awal dan perang dingin yang sering tercetus, hubungan mereka perlahan-lahan berubah — daripada persaingan yang penuh ego kepada detik manis yang tak disangka, membawa mereka kepada definisi cinta yang sebenar.
10. Heroes Next Door

- Tarikh Tayangan: 17 November 2025
- Penyiar: ENA, Coupang Play, Genie TV
- Barisan Pelakon: Yoon Kye Sang, Jin Sun Kyu, Kim Ji Hyun, Ko Kyu Pil
“Heroes Next Door” mengisahkan dua bekas anggota pasukan khas elit yang kini menjalani kehidupan biasa selepas bersara daripada dunia ketenteraan. Choi Kang (lakonan Yoon Kye Sang) ialah bekas anggota pasukan khas JDD yang kini bekerja sebagai penyiasat insurans, manakala Kwak Byeong Nam (lakonan Jin Sun Kyu) merupakan bekas anggota unit antikeganasan HID yang kini menguruskan sebuah kedai perkakasan kecil.
Walaupun kedua-duanya pernah menjadi wira negara, mereka kini lebih menumpukan perhatian kepada keluarga dan komuniti setempat berbanding isu keselamatan negara atau keamanan dunia. Namun, apabila masalah mula melanda kejiranan mereka, Choi Kang dan Byeong Nam berganding bahu bersama jiran-jiran lain — termasuk pemilik pasar raya dan pengurus gim seni bela diri — untuk menubuhkan pasukan komando kejiranan demi melindungi komuniti mereka.
Drama ini menjanjikan gabungan aksi, persahabatan dan humor, sambil memperlihatkan bagaimana semangat kepahlawanan boleh muncul dalam kehidupan seharian — walaupun di tengah-tengah kejiranan yang nampak biasa.
11. Taxi Driver 3

- Tarikh Tayangan: 21 November 2025
- Penyiar: SBS | Viu Malaysia
- Barisan Pelakon: Lee Je Hoon, Kim Eui Sang, Pyo Ye Jin, Jang Hyuk Jin, Bae Yoo Ram
Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!

