Pesona Seo In Guk di Kuala Lumpur: Momen Manis, Senyuman & Suara Yang Tak Terlupakan Peminat

Seo In Guk, satu nama yang tidak asing lagi buat para peminat K-Drama dan K-Pop. Dikenali dengan vokal yang menyentuh hati serta lakonan penuh penghayatan, penyanyi dan pelakon serba boleh ini akhirnya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur buat pertama kali pada 10 Oktober lalu sempena “Heart Cookie” 2025 Seo In Guk Malaysia Fan Meeting Tour yang berlangsung di Pusat Konvensyen HGH, Sentul.

Secara fizikal, Seo In Guk bukanlah tipikal “flower boy” seperti kebanyakan idola K-pop. Namun daya tarikannya terletak pada raut wajah yang maskulin, mata kecil tetapi sarat ekspresi, serta senyuman lembut yang mampu mencairkan hati peminat. Bertubuh tinggi sederhana dengan susuk badan kemas, beliau memancarkan aura karisma tenang — campuran keyakinan, keikhlasan dan pesona matang yang membuatkan kehadirannya sukar untuk diabaikan. 

Kehadirannya disambut meriah oleh peminat yang membanjiri dewan dengan pakaian serba ungu, warna tema yang sinonim dengannya. Acara dimulakan dengan persembahan lagu “My Love” (feat. Ravi), diiringi sorakan gemuruh peminat. Suara lunak Seo In Guk benar-benar memukau dan membuktikan mengapa beliau terus menjadi kesayangan ramai.

@kmania.my My Love – Swo In Guk ft Ravi Suara Seo In Guk memang menyentuh jiwa. 2025 Seo In Guk Fan meeting ‘Heart Cookie ” in KL 10 Oktoberfest 2025 | HGH Convention Center #SeoInGukinKL #HeartCookieinKL #SeoInGuk ♬ original sound – KmaniaMY

Ditemani hos Natalie, suasana majlis menjadi lebih mesra dan menceriakan. Seo In Guk turut belajar beberapa perkataan Bahasa Melayu seperti “Selamat malam,” “Nama saya Seo In Guk,” “Senyum,” “Bagus,” “Mantap,” dan “Roti jala,” mencuit hati peminat dengan telatahnya. Beliau juga sempat berseloroh bahawa peminat Malaysia memiliki senyuman paling manis.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by LOL Asia (@wearelol.asia)

Pelakon dan penyanyi berbakat ini turut meluahkan rasa terharu atas sambutan hangat peminat Malaysia yang sanggup menantinya di lapangan terbang. Katanya, beliau belum sempat mencuba makanan tempatan, namun peminat mencadangkan agar dia mencuba roti canai — yang dipanggilnya dengan comel sebagai “pancake”.

Beliau turut berinteraksi secara aktif dengan peminat menerusi pelbagai permainan dan aktiviti, termasuk “heart relay” dan sesi melukis gambar untuk diberi sebagai hadiah kepada peminat bertuah. Sepanjang acara, Seo In Guk dikenali sebagai ramah, spontan dan penuh kasih sayang terhadap peminatnya.

Menariknya, sepanjang sesi tersebut terserlah sisi berbeza Seo In Guk. Walaupun sering membawakan watak romantik seperti dalam Doom at Your Service dan Reply 1997, beliau mengakui dirinya sebenarnya bukanlah seorang yang romantik. Sebaliknya, dia lebih bersifat introvert — gemar menghabiskan masa di rumah atau di kafe tenang berbanding tempat yang sesak.

Seo In Guk turut berkongsi bahawa beliau lebih menikmati watak-watak antagonis dan berkarisma seperti dalam filem Project Wolf Hunting, di mana dia memainkan watak gelap penuh emosi. Katanya, watak seperti itu membolehkan dia menunjukkan sisi paling karismatik dirinya di layar. Beliau turut menambah bahawa Reply 1997 banyak membantunya berkembang, menjadi lebih matang dan yakin diri seiring perjalanan serta pengalaman yang diperolehinya hingga kini.

“Cabaran masih ada, tapi sekarang saya boleh hadapinya dengan tenang,” katanya sambil tersenyum.

Selain lakonan, Seo In Guk juga seorang peminat muzik sejati. Dia menggemari lagu-lagu lama seperti “My Love” oleh Westlife, “Drunken Text” oleh Henry Moodie, dan beberapa runut bunyi animasi yang membawa sentuhan nostalgik. Dalam pada itu, Seo In Guk turut berkongsi bahawa beliau masih aktif dalam bidang muzik.

Katanya, ketika merakam lagu, dia lebih suka suasana santai dan tenang. Buat masa ini, dia memberi tumpuan sepenuhnya pada muzik dan lakonan — kerana baginya sukar untuk melakukan banyak perkara sekaligus tanpa kehilangan fokus. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk menghentikan sementara aktivitinya sebagai pencipta kandungan di saluran YouTube miliknya.

Sepanjang malam, Seo In Guk sempat mempersembahkan beberapa lagu seperti “Out of Time”, runut bunyi “Distant Fate” dari Doom at Your Service, dan lagu popular yang dinanti ramai “All For You” (feat. Eunji) dari Reply 1997. Pada saat ini, beliau turun ke bawah pentas untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat, menjadikan suasana semakin hangat dan penuh emosi.

Sebelum acara berlabuh tirai, peminat sempat menyediakan kek batik dan menghadiahkan beliau sehelai baju batik sempena sambutan awal hari lahir Seo In Guk yang jatuh pada 23 Oktober. Peminat turut menyanyikan lagu hari jadi dalam bahasa Korea sambil beliau mengenakan baju batik tersebut yang disifatkannya sangat cantik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Seo In Guk menutup malam dengan senyuman manis dan pesanan penuh makna — beliau amat menghargai kasih sayang peminat Malaysia dan berjanji akan kembali lagi. Malam itu berakhir dengan kenangan manis yang pastinya sukar dilupakan oleh peminat tempatan.

Ketika sesi Hi-Bye bersma Seo In Guk

Terima kasih diucapkan kepada LOL Asia dan Think Geek Media atas peluang yang diberikan kepada KMania untuk turut serta mencipta kenangan bersama Seo In Guk. Sebelum bermulanya sesi fan meeting, satu sidang media khas telah diadakan bersama pihak media.

Untuk lebih banyak perkongsian tentang Seo In Guk di Kuala Lumpur , serta mengikuti perkembangan terkini dunia hiburan Korea, jangan lupa Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagram , TikTok dan Youtube.!