Ji Chang Wook, Doh Kyung Soo, Lee Kwang Soo & Lain-Lain Terjerat Dalam Dendam Penuh Manipulasi Dalam Poster Drama Baharu “The Manipulated”

Siri asal Disney+ berjudul “The Manipulated” telah memperkenalkan deretan poster baharu menampilkan barisan pelakon utamanya!

Drama ini mengisahkan tentang Tae Joong (lakonan Ji Chang Wook), seorang lelaki biasa yang kehidupannya musnah sekelip mata selepas dijatuhi hukuman penjara atas jenayah kejam yang tidak pernah dilakukannya. Namun, apabila dia mengetahui bahawa segala-galanya telah dirancang oleh Yo Han (lakonan Doh Kyung Soo), Tae Joong mula menempuh perjalanan penuh dendam untuk menuntut keadilan dan membalas semula nasibnya.

Poster-poster terbaharu ini menonjolkan keunikan dan sisi tersendiri setiap watak yang terperangkap dalam kancah dendam dan manipulasi berbahaya.

Pertama, tatapan mata penuh amarah Tae Joong serta parut di wajahnya menggambarkan perit dan trauma yang dialaminya — seolah-olah memberi bayangan terhadap perjalanan tidak dijangka yang bakal ditempuh ketika memburu balasan selepas hidupnya hancur dalam sekelip mata.

Sementara itu, Yo Han, si dalang yang mereka setiap jenayah dengan teliti, tersenyum tenang namun licik, memberi isyarat tentang rancangan baharunya untuk menyingkirkan Tae Joong, satu-satunya “ciptaan” yang gagal daripada kawalannya.

Watak Yong Sik (lakonan Kim Jong Soo), penyelamat Tae Joong, menampilkan riak wajah tegas dan sarat keprihatinan, sekali gus menambah kedalaman emosi dalam naratif drama ini.

Eun Bi (lakonan Jo Yoon Soo), anak kepada Yong Sik dan sekutu Tae Joong yang keras kepala, terserlah dengan pandangan tajam serta aura karismatiknya yang tersendiri.

Akhir sekali, Do Kyung (lakonan Lee Kwang Soo) — pelanggan VIP Yo Han dan antara antagonis utama — tampil dengan gaya berani, memakai cermin mata hitam dan anting bulat, menimbulkan persoalan tentang bagaimana pengaruhnya bakal menggugat rancangan Tae Joong.

Siri “The Manipulated” akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ termasuk Disney+ Malaysia bermula 5 November, dengan empat episod pertama dilancarkan serentak, diikuti dua episod baharu setiap minggu sehingga melengkapkan keseluruhan 12 episod.


Sumber : 1