Disney+ Hotstar bakal hadir dengan drama asal Korea terbaharu berjudul “The Murky Stream”, sebuah kisah penuh aksi, konflik serta dilema moral yang berlatar era Dinasti Joseon (1392–1910).
Cerita ini mengambil latar di Gyeonggang — nama lama Sungai Han — yang pernah menjadi pusat kekayaan dan sumber utama Joseon. Drama ini mengisahkan golongan terpinggir, pedagang dan pegawai yang berjuang menentang dunia penuh korupsi demi menentukan masa depan mereka. Menariknya, ia merupakan kali pertama pengarah Choo Chang-min mengarahkan drama bersiri.
“Saya selalu tertarik dengan watak yang hidup di pinggir masyarakat,” kata Choo dalam sidang media di Seoul. “Drama ini bukan tentang raja atau bangsawan, tetapi tentang walpae (kumpulan samseng dermaga) dan orang biasa yang sebenarnya turut mencipta sejarah.”
Rowoon memegang watak Jang Siyul, seorang lelaki penyendiri di dermaga Mapo.
“Dia menyembunyikan masa lalu, tiada tempat tinggal tetap, malah tidak dapat menuntut identiti dirinya sendiri. Kesepian itu yang membentuk dirinya,” jelas Rowoon.
Shin Ye-eun pula membawakan watak Choi Eun, anak bongsu persatuan pedagang yang bijak dan berani.
“Choi Eun seorang wanita tegas, bijak, dan tidak takut berdepan cabaran. Saya mahu menunjukkan ketabahannya sebagai seorang wanita dan juga pemimpin,” katanya.
Park Seo-ham tampil sebagai Jung Chun, pegawai berprinsip yang berjuang menentang korupsi.
“Dia berimpian mahu menjadikan dunia lebih baik,” katanya sambil menambah dia berlatih seni pedang dengan serius untuk watak ini.
Park Ji-hwan memegang watak Mu-deok, bekas ketua geng yang kini hidup susah.
“Dulu dia berkuasa, tapi sekarang hidupnya selekeh,” seloroh Park. “Baju kotor tu memudahkan penggambaran — saya boleh baring di mana saja.”
Choi Gwi-hwa membawa watak Lee Dol-gae, pegawai polis korup yang bersekongkol dengan geng, manakala Kim Dong-won sebagai Wang Hae, orang luar misteri dengan aura yang menakutkan.
Para pelakon turut berkongsi pengalaman penggambaran luar yang penuh cabaran — dari panas terik hingga babak pertarungan tengah malam.
“Peluh yang anda nampak di skrin bukan makeup, tapi betul-betul peluh,” kata Rowoon sambil ketawa. Shin menambah, “Walaupun penat, semangat Rowoon banyak beri tenaga pada semua orang.”
Tentang babak aksi besar, pengarah Choo berkata:
“Kami pernah berbincang nak guna CGI, tapi akhirnya kami pilih untuk bina set luar berhampiran sungai. Memang susah, tapi hasilnya nampak lebih realistik.”
Projek ini juga jadi detik bermakna buat para pelakon. Rowoon mendedahkan ini projek terakhir sebelum masuk tentera, sementara Park Seo-ham pula projek pertama selepas tamat khidmat.
“Saya rasa macam dapat keluarga baru di set,” kata Park.
Choo pula menekankan gabungan pelakon muda dan senior:
“Saya nampak semangat mereka untuk mencabar diri, jadi saya padankan dengan pelakon berpengalaman supaya keseimbangan itu wujud.”
Walaupun hanya dirancang sembilan episod, Choo tidak menolak kemungkinan sambungan jika sambutan penonton baik.
Dengan aksi padat, kisah samseng dermaga, dan watak yang penuh sisi kemanusiaan, “The Murky Stream” dilihat sebagai antara drama paling dinantikan tahun ini. Rowoon menutup dengan kata:
“Kami curahkan hampir setahun tenaga dan semangat dalam projek ini. Harap penonton dapat rasa keikhlasan kami.”
“The Murky Stream” akan mula ditayangkan di Disney+ Hotstar pada 26 September ini dengan tiga episod pertama, diikuti dua episod setiap minggu.