Yoon Ji On Mohon Maaf, Undur Diri Dari Drama Selepas Insiden Memandu di Bawah Pengaruh Alkohol (DUI)

Pelakon Yoon Ji On telah menarik diri daripada drama terbaharu Channel A berjudul “Positively Yours”, adaptasi daripada webtoon popular, selepas ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pada 17 September, News1 melaporkan bahawa Yoon Ji On baru-baru ini telah didakwa kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, sekali gus menyebabkan beliau berundur daripada drama yang sedang dalam proses penggambaran.

Sebagai respon, bekas agensinya IEUM HASHTAG menjelaskan:
“Kontrak eksklusif kami dengan Yoon Ji On telah tamat pada 6 Julai, dan kami bersetuju secara bersama untuk tidak memperbaharuinya. Ketika beliau sedang mencari agensi baharu, kami ada membantu secara sementara dengan kerjanya, namun ketika ini kami tidak lagi mempunyai hubungan pengurusan eksklusif dengannya.”

Mereka menambah:
“Benar, Yoon Ji On telah ditahan polis kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk pada 16 September. Disebabkan itu, beliau membuat keputusan untuk menarik diri daripada drama terbaru Channel A, ‘Positively Yours’.”

Tidak lama selepas itu, Yoon Ji On memuat naik permohonan maaf peribadi di media sosialnya:

Hello, ini Yoon Ji On.

Pertama sekali, saya rasa amat berat hati dan benar-benar menyesal kerana perlu menyampaikan berita yang memalukan ini.

Pada 16 September, ketika saya berada dalam keadaan mabuk teruk hingga tidak mampu mengingati apa yang saya lakukan, saya telah melakukan kesilapan besar dengan menunggang sebuah motosikal yang diparkir.

Saya telah mengakui semua tuduhan dan kini sedang menilai kerosakan yang telah berlaku.

Disebabkan tindakan saya yang cuai, saya telah melukai dan mengecewakan ramai orang yang menyokong saya. Saya benar-benar tiada alasan untuk perkara ini. Saya dengan ikhlas memohon maaf.

Saya akan hidup dengan penuh penyesalan sepanjang hidup saya, dan saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang lagi.

Saya akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan dan menerima apa sahaja hukuman yang dikenakan.

Tiada ruang untuk memberi alasan. Sekali lagi, saya tunduk memohon maaf. Saya benar-benar kesal.

Yoon Ji On memulakan kerjayanya dalam teater pada tahun 2013 dan sejak itu muncul dalam beberapa drama seperti “Melo Is My Nature”, “Jirisan”, dan “Love Next Door”.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4