[Cdrama] “This Thriving Land” lakonan Yang Mi pecah rekod populariti di iQIYI!

Drama terbaru iQIYI, This Thriving Land yang dibintangi Yang Mi dan Oho Ou berjaya mencapai indeks populariti melebihi 10,000 hanya selepas beberapa hari ditayangkan sejak 13 Ogos.

Diadaptasi daripada novel pemenang anugerah karya Zhao Defa, drama arahan Liu Jiacheng ini memaparkan kehidupan masyarakat luar bandar di Shandong, China, merangkumi hampir satu abad perjalanan tiga keluarga — Ning, Feng dan Fei. Ia mengetengahkan kisah cinta, keluarga, serta ikatan mendalam antara manusia dan tanah yang menjadi sumber kehidupan mereka.

Keistimewaan drama ini terletak pada jalan cerita realistik, penggambaran lokasi sepanjang empat musim, serta perhatian pada butiran seperti dialek, budaya dan seni bina tempatan. Watak-wataknya juga digambarkan dengan seimbang—ada sisi baik dan kelemahan, menjadikannya dekat dengan realiti.

Topik seperti dilema tanah berbanding anak perempuan, perkahwinan yang diatur, dan kisah hubungan cinta antara Xiu Xiu × Feng Dajiao mencetuskan banyak perbincangan dalam kalangan penonton. Ramai memuji drama ini kerana lakonan berkesan, jalan cerita padat, serta visual yang terasa “hidup”.

Dengan pencapaian ini, This Thriving Land kini tersenarai dalam drama iQIYI paling berjaya tahun ini, sekali gus membuktikan drama bertema luar bandar juga mampu menarik perhatian besar.