Yoon Kye Sang, Kim Yo Han & Im Se Mi Curi Tumpuan Dalam Komedi Sukan Penuh Semangat ‘The Winning Try’

SBS bakal melancarkan drama komedi sukan terbaru bertajuk “The Winning Try” yang mengangkat tema ragbi sekolah menengah – satu genre yang segar dan jarang diterokai dalam drama Korea. Dibintangi oleh Yoon Kye Sang, Im Se Mi, dan Kim Yo Han, drama ini menjanjikan tawa, inspirasi dan konflik yang mencengkam.

Sinopsis Ringkas

“The Winning Try” mengisahkan Joo Ga Ram (Yoon Kye Sang), bekas bintang ragbi negara yang kariernya hancur akibat skandal doping. Setelah tiga tahun menyepi, dia kembali ke sekolah lamanya, Sekolah Menengah Pendidikan Jasmani Hanyang, sebagai jurulatih baharu pasukan ragbi — yang berada di kedudukan tercorot negara. Dengan reputasi tercalar dan pasukan underdog yang tidak punya harapan, Joo Ga Ram memulakan misi mustahil: membawa mereka ke pentas kejuaraan Festival Sukan Kebangsaan.


Watak-Watak Utama

Yoon Kye Sang sebagai Joo Ga Ram

Jurulatih baharu yang pelik tapi berprinsip. Bekas bintang ragbi ini cuba bangkit semula dengan membimbing generasi muda. Dalam satu temu bual, Yoon Kye Sang berkata,

“Ceritanya langsung tidak boleh dijangka… ada sisi pelik dan serius dalam diri Ga Ram, dan saya sangat seronok menerokainya.”

Walaupun tidak menjalani latihan ragbi secara intensif, Yoon cuba melibatkan diri dalam latihan bersama pemain, namun mengakui stamina fizikalnya “terkandas separuh jalan”. Mengenai gandingannya bersama Kim Yo Han, Yoon berseloroh,

“Kalau saya perlu beri markah, saya beri 120 daripada 100.”

Im Se Mi sebagai Bae Yi Ji

Jurulatih menembak yang tegas, yakin diri dan berdikari. Dia juga bekas kekasih Ga Ram, dan kehadiran semula lelaki itu menggugat hidupnya yang tenang. Di padang menembak, Yi Ji tunjukkan fokus dan kekuatan menghadapi tekanan — termasuk kisah silam mereka berdua.

Kim Yo Han sebagai Yoon Sung Joon

Kapten pasukan ragbi yang matang dan berdedikasi, tapi dalam diam, dia rasa rendah diri sebab adik kembarnya lebih berjaya dalam bola sepak.

Mengenai penggambaran drama, Kim Yo Han berkongsi:.

“Kami benar-benar beri segalanya… ada adegan ambil masa sampai empat hari untuk disiapkan,” katanya.


Pasukan Ragbi Penuh Warna-Warni

Drama ini memperkenalkan tujuh ahli pasukan ragbi dengan latar dan personaliti yang unik:

  • Kim E Jun sebagai Oh Young Gwang – naib kapten yang bercita-cita menjadi penjawat awam. Lucunya, dia rajin belajar tapi tetap salah menjawab.
  • Lee Su Chan sebagai So Myung Woo – obses dengan kandungan video; lebih gemar capai kamera daripada bola.
  • Yoon Jae Chan sebagai Do Hyung Sik – rakan sepasukan yang tidak dijangka dan mudah meletup emosi.
  • Hwang Seong Bin sebagai Kim Joo Yang – berbadan sasa tapi berhati lembut.
  • Woo Min Gyu sebagai Pyo Seon Ho – penggemar makanan yang sentiasa mencari peluang makan ketika latihan.
  • Cho Han Gyeol sebagai Kang Tae Poong – ahli termuda, tapi sangat berani dan bersemangat.

Interaksi antara ahli senior dan junior ini menjanjikan dinamik bersahaja, kelakar dan menyentuh hati — seiring perkembangan persahabatan serta usaha mereka untuk bangkit bersama.


Konflik Dalaman Sekolah – Kuasa, Strategi dan Pengkhianatan

Selain kisah sukan, drama ini turut mengangkat pertembungan kuasa di dalam sekolah:

  • Gil Hae Yeon sebagai Pengetua Kang Jung Hyo – figura keibuan yang kuat menyokong pasukan ragbi dan bertanggungjawab membawa Ga Ram kembali.

  • Kim Min Sang sebagai Timbalan Pengetua Sung Jong Man – bercita-cita mengambil alih jawatan pengetua dan melihat pasukan ragbi sebagai beban.

  • Jang Hyuk Jin sebagai Na Kyu Won – pegawai pendidikan dan ayah kepada naib kapten pasukan menembak, yang sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita anak dan jawatan.

  • Lee Sung Wook sebagai Jeon Nak Gyun – jurulatih menembak yang kejam dan licik, ingin membubarkan pasukan ragbi demi dana.

  • Jung Soon Won sebagai Bang Heung Nam – jurulatih aerobik yang juga bekas rakan sepasukan Ga Ram, terperangkap antara kepentingan peribadi dan kenangan persahabatan lama.


Di Sebalik Tabir: Kata Penulis Lim Jin Ah

Sempena pelancaran drama ini, penulis skrip Lim Jin Ah kongsi cerita tentang inspirasi di sebalik “The Winning Try”, kenapa pilih ragbi, dan mesej utama yang mahu disampaikan.

Kenapa Pilih Sukan Ragbi?

“Saya tertarik sebab ragbi tak benarkan hantaran bola ke depan. Sukan ni nampak kasar, tapi sangat perlukan kerjasama. Walau pemain kena langgar dan jatuh, mereka tetap perlu bantu satu sama lain.”

Untuk hasilkan cerita yang tepat, Lim turut buat kajian di sekolah sukan sebenar dan dapat bantuan dari Persatuan Ragbi Korea.

Watak Paling Dekat di Hati

“Saya paling sayang watak Joo Ga Ram. Dia kelakar, menyedihkan dan sangat manusiawi. Dia jenis orang dewasa yang tahu dia silap, tapi tetap cuba jadi lebih baik.”

Malah, masa pertama kali Yoon Kye Sang masuk bilik mesyuarat:

“Saya terus tahu — inilah Joo Ga Ram.”

Pelakon Lain & Persahabatan Wanita

Lim turut puji:

  • Im Se Mi:

“Saya memang dah minat dia lama. Bila dia mula cakap pasal karakter Yi Ji, macam Yi Ji tu sendiri yang bercakap.”

  • Kim Yo Han:

“Dia bawakan semangat anak muda — penuh emosi, penuh semangat.”

Beliau juga suka hubungan antara ahli pasukan yang jadi lebih erat lepas jalani latihan sama-sama. Jangan lupa nantikan juga persahabatan kukuh tiga watak wanita — Bae Yi Ji, Seo Woo Jin dan Na Seol Hyun.

Mesej Utama: Jangan Berhenti Walau Terjatuh

“Saya nak sampaikan yang dalam hidup, kita semua akan jatuh. Tapi selagi kita terus bergerak — walaupun perlahan — kita tetap mara ke depan.”

Lim tinggalkan pesanan terakhir:

“Anda akan ketawa dan menangis dengan watak-watak ni. Mereka tengah tunggu anda.”

Semangat, Gelak Tawa dan Perubahan

Menurut Yoon Kye Sang,

“‘The Winning Try’ bukan sekadar cerita tentang ragbi. Ia tentang orang-orang yang bangkit semula setelah gagal. Penuh humor, hangat, dan menyentuh. Ia jenis drama yang akan buat anda tersenyum sepanjang menontonnya.”

“The Winning Try” akan mula disiarkan pada 25 Julai 2025, setiap Khamis di SBS dan tersedia juga untuk tontonan global di Netflix. Jika anda sukakan kisah sukan dengan sentuhan emosi, konflik realistik dan humor segar, drama ini wajib masuk dalam senarai tontonan anda!


Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |