‘RIDE OR DIE’ Di Seoul Sarat Emosi & Nostalgia — Malaysia Kini Menanti Detik Indah Itu

HIGHLIGHT kembali bertemu peminat menerusi konsert tiga hari berturut-turut bertajuk ‘RIDE OR DIE’, yang berlangsung dari 11 hingga 13 Julai di KSPO DOME, Seoul. Kumpulan ini mengimbas semula perjalanan seni mereka dengan membawakan setlist penuh bertenaga termasuk lagu-lagu ikonik dari era BEAST — susulan kejayaan memperoleh semula hak tanda dagangan nama tersebut daripada bekas agensi, Cube Entertainment, tahun lalu.

HIGHLIGHT turut berkongsi kisah di sebalik pemilihan tajuk konsert. Lee Gikwang memperkenalkan,

“Kami mulakan jelajah konsert ini di Seoul. Tajuk ‘RIDE OR DIE’ dipilih kerana kami mahu meluahkan makna bahawa kami akan sentiasa bersama peminat.”

Yoon Doo Joon pula menjelaskan,

“Jika dalam konsert tahun lalu ‘LIGHTS GO ON AGAIN’ kami imbas kembali masa lalu dan masa kini HIGHLIGHT, kali ini kami bercakap tentang masa depan yang akan kita lalui bersama. Harapan itu kami zahirkan kerana kami percaya masih banyak masa yang akan kita kongsi.”

Lee Gikwang, yang membuka konsert dengan ‘Switch On’ selepas ‘Chains’, turut meluahkan rasa istimewa kerana dapat mempersembahkan lagu ciptaannya.

“Saya bersyukur dapat membuka konsert dengan lagu yang saya tulis dan gubah sendiri. Semua ini hasil sokongan anggota kumpulan dan semua yang terlibat.”

Persembahan dimulakan dengan lagu terbaharu mereka ‘Chains’, diikuti deretan lagu kegemaran peminat seperti ‘Switch On’, ‘Shadow’, ‘Sad Movie (Kor)’, ‘We Up’, ‘Dance With U’, ‘CELEBRATE’, dan ‘Endless Ending’.

Antara detik paling emosional ialah ketika lagu-lagu balada seperti ‘Rainy Days (비 오는 날엔)’, ‘12:30’, dan ‘DAYDREAM’ dipersembahkan, sebelum kemunculan semula dua lagu paling dinanti — ‘Fiction’ dan ‘Shock’ — dalam versi penuh lengkap dengan bahagian rap yang dahulunya dibawa oleh bekas anggota, Yong Jun Hyung.

Kali ini, bahagian rap tersebut dikongsi antara Yoon Doo Joon dan Lee Gi Kwang, yang menerima sorakan luar biasa daripada peminat.

“Akhirnya kami masukkan semula bahagian rap,” ujar Doo Joon. “Ia memerlukan banyak perbincangan dan pertimbangan, tapi setelah lakukannya, ia terasa sangat melegakan.”

Son Dongwoon turut berkongsi momen di sebalik keputusan tersebut:

“Kami berada di bilik hotel di Jepun semasa acara peminat, hanya bersantai dan berbincang tentang senarai lagu, bila tiba-tiba pengurus kami mencadangkan idea itu. Pada awalnya kami ragu-ragu, tapi bila matahari terbit, keputusan pun dah dibuat.”

Yang Yoseob pula menambah sambil ketawa:

“Saya tidur awal malam tu, dan bila bangun, semuanya dah pun diputuskan!”

Ketika ‘Fiction’ dan ‘Shock’ dipersembahkan, seluruh dewan bergema dengan laungan peminat.

“Saya rasa kamu semua memang datang hari ini bersedia untuk menjerit,” kata Doo Joon.
“Dah puas lepas perasaan?” tambah Yo Seob sambil tersenyum.
“Saya benar-benar gembira dapat dengar sorakan macam dulu semula.”

Mereka turut mengejutkan peminat dengan membawakan beberapa lagu Jepun seperti “HANDS UP” dan “Kimi wa Dou?”, yang menerima sorakan penuh nostalgia.

“Saya rasa ini bahagian kegemaran saya,” kata Doo Joon. “Saya yakin Beauty yang pernah hadir ke konsert ‘Beautiful Show’ pasti akan terkenang kembali momen itu.”
“Dah lama kami tak nyanyi lagu Jepun,” tambah Yoseob.

Setlist persembahan turut menampilkan beberapa lagu yang jarang dibawa secara langsung seperti ‘Dream Girl’ dan ‘Blow Me Away’ — dengan lagu terakhir itu dinyanyikan buat pertama kali secara langsung.

“Melihat bagaimana kamu semua masih menyayangi lagu-lagu lama ini buat saya mahu bawa lebih banyak lagi,” kongsi Dongwoon.
“Saya akan bincang dengan pengurus untuk pastikan ia jadi kenyataan.”

Setiap lagu — daripada rentak rancak hinggalah ke balada pilu — dipersembahkan menggunakan mikrofon tangan, menyerlahkan kekuatan vokal langsung mereka yang masih mantap dan mengagumkan. Dengan celoteh spontan, aura bersahaja, dan keikhlasan yang terpancar sepanjang persembahan, HIGHLIGHT membuktikan bahawa mereka sememangnya ‘kuasa pentas’ yang tidak perlu dipersoalkan.

Menjelang penghujung konsert, Yoseob menekankan dedikasi yang dicurahkan:

“Keempat-empat kami berbincang hanya untuk satu helaian cue sheet selama hampir sebulan. Setiap keputusan dibuat demi kamu semua, para peminat.”

Salah satu ciapan yang mendapat perhatian ramai di Twitter turut menggambarkan betapa istimewanya hubungan antara HIGHLIGHT dan peminat:

“Serius, mereka buat semua yang peminat minta… Nyanyi semua lagu permintaan, tulis konfeti satu per satu dengan tangan sendiri — mana nak cari idol macam ni? Kasih sayang mereka betul-betul ikhlas.”

Kata-kata ini cukup menggambarkan mengapa LIGHT dan B2UTY begitu menyayangi HIGHLIGHT (BEAST) — bukan sekadar kerana muzik, tetapi kerana keikhlasan dan komitmen yang mereka tunjukkan sejak dahulu.

Sebagai penutup konsert, HIGH:IGHT turut menayangkan satu mesej khas di skrin utama yang menyentuh jiwa ramai:

“To B2UTY and LIGHT whom we’re always thankful for, you’re our ride or die. And so are we. This will never change!”

 

Mesej ringkas namun penuh makna ini menjadi simbol kasih yang utuh antara mereka dan peminat — ikhlas, setia dan tak akan berubah.


Susulan kejayaan konsert di Seoul, HIGHLIGHT akan meneruskan jelajah ‘RIDE OR DIE’ ke beberapa lokasi antarabangsa:

📍 Taipei (2–3 Ogos)
📍 Macau (9 Ogos)
📍 Manila (23 Ogos)
📍 Tokyo (30–31 Ogos)
📍 Bangkok (20 September)
📍Kuala Lumpur (27 September | IDEA Live Arena, 4.30PM)
Tiket boleh dibeli di etix.my dan dimaklumkan ia kini hampir sold out.

Seperti kebiasaan dalam siri jelajah konsert, senarai lagu yang dibawa tidak banyak berubah antara satu lokasi ke lokasi lain. Maka, apabila ‘RIDE OR DIE’ tiba di Malaysia September kelak, peminat tempatan boleh menjangkakan barisan lagu yang bukan sahaja menggamit memori — malah turut diselitkan dengan beberapa b-side gems yang berkualiti dan wajar diberi perhatian.

Seleksi lagu kali ini dijangka memberi impak tersendiri, apatah lagi dengan bahagian rap yang kini diambil alih oleh Doo Joon dan Gikwang, vokal Dongwoon yang semakin meresap ke jiwa, serta kekuatan vokal utama Yoseob yang sentiasa menjadikan setiap lagu lebih istimewa. Penulis sendiri tidak sabar menantikan kehadiran semula HIGHLIGHT ke Malaysia — lapan tahun sejak kali terakhir mereka menjejakkan kaki di sini.

Sementara itu, HIGHLIGHT kekal aktif sebagai satu kumpulan penuh sempena ulang tahun ke-16 debut mereka tahun ini. Pada bulan Mac, mereka telah menganjurkan fan-con ‘WELCOME TO THE HIGH-MART’, dan pada April lalu, mereka tampil dengan mini album keenam berjudul ‘From Real to Surreal’.

Sumber : 1 |