NMIXX Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dengan Konsert Penuh Gaya dan Energi, Ogos ini!

NSWERs (kelab peminat NMIXX), ini bukan gurauan! Bersiap sedia kerana kumpulan popular K-pop, NMIXX, akan datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan istimewa yang pasti luar biasa!

Ditubuhkan oleh SQU4D, sub-label di bawah JYP Entertainment, NMIXX terdiri daripada enam ahli berbakat besar — Lily, Haewon, Sullyoon, Bae, Jiwoo, dan Kyujin. Sejak debut mereka pada Februari 2022 menerusi album AD MARE, NMIXX dikenali dengan genre eksklusif mereka yang dinamakan “MIXX POP” – gabungan dinamik pelbagai elemen muzik yang mencabar batas tradisional K-pop. Kumpulan ini pantas mencipta nama sebagai kuasa baru yang sedang mengubah landskap muzik K-pop.

NMIXX akan tampil memeriahkan K-Wave Super Concert pada 31 Ogos 2025 (Ahad) di Idea LIVE Arena, 3 Damansara bermula jam 6:00 petang. Acara ini dijangka menjadi antara konsert paling ikonik tahun ini!

Sejak kemunculan dengan lagu “O.O” yang penuh kejutan, diikuti dengan karya-karya menarik seperti “DICE”, “Love Me Like This”, “DASH”, “Soñar (Breaker)”, dan “Young, Dumb, Stupid”, NMIXX terus mempamerkan identiti muzik yang unik dan bertenaga. Persembahan kali ini dijangka menyajikan gabungan vokal mantap, tarian bertenaga, dan susunan lagu yang penuh kejutan — satu pengalaman konsert yang wajib disaksikan.

Setelah berjaya menggegarkan pentas di Australia dan Bangkok menerusi jelajah “NMIXX CHANGE UP: MIXX LAB”, serta tampil di acara berprestij seperti Music Bank World Tour Madrid dan KCON LA, kini NMIXX bersedia untuk mencuri perhatian peminat di Malaysia. Nantikan senarai lagu padat dengan hits popular dan lagu pilihan istimewa yang memperlihatkan kehebatan mereka di pentas secara langsung.

Selain berbakat dalam nyanyian dan tarian, NMIXX juga terkenal dengan gaya fesyen mereka yang berani dan sentiasa mencuri tumpuan. Mereka pernah dilantik sebagai duta global jenama mewah Loewe dan sering tampil dengan konsep menarik serta aksesori seperti kanta berwarna yang menyerlahkan penampilan. Jadi, jangan terkejut kalau konsert ini juga akan jadi ‘runway’ inspirasi fesyen buat peminat!

Menambah keterujaan, Rizal Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia berkata,
“Kami sangat teruja untuk membawakan NMIXX ke Kuala Lumpur. Tenaga mereka sangat luar biasa, dan ini adalah antara konsert K-pop paling dinanti tahun ini. Siapa yang tak datang, memang rugi!!”

Tiket dijangka akan habis dijual dalam masa singkat. Jualan awal akan bermula pada 16 Julai 2025, jam 12.00 tengah hari (waktu Malaysia) secara eksklusif di lolasia.bigtix.io dan Fantopia.io.

Pelan Kedudukan dan Harga Tiket

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada gelombang NMIXX!