Kisah cinta, pengkhianatan dan kuasa empayar dalam adaptasi mewah fantasi romantik Korea akan menggegarkan layar pada tahun 2026
Selepas meraih lebih 2.6 bilion tontonan global dan mengumpul jutaan peminat setia, siri webtoon dan novel web Korea paling laris The Remarried Empress kini diadaptasi secara live-action dan akan ditayangkan secara eksklusif menerusi Disney+ Hotstar bermula tahun 2026.
Berdasarkan karya asal dengan judul yang sama, The Remarried Empress membawa penonton ke dunia fantasi empayar dengan kisah penuh drama politik dan percintaan yang mendalam. Ia mengisahkan Navier, permaisuri sempurna Empayar Timur, yang dikhianati apabila suaminya, Maharaja Sovieshu, kembali bersama perempuan simpanannya dan memintanya untuk bercerai. Namun, Navier membalas dengan langkah berani—menerima penceraian itu dan memohon untuk berkahwin dengan putera mahkota dari kerajaan saingan, Empayar Barat, sekali gus mencetuskan pergelutan kuasa dan cinta yang tidak dijangka.
Barisan Pelakon Utama
Pelakon tersohor Shin Min Ah (Hometown Cha-Cha-Cha, Karma) membawakan watak utama sebagai Permaisuri Navier, seorang pemerintah yang disanjung kerana kecerdasan dan keanggunannya. Walaupun kecewa dengan pengkhianatan suami merangkap sahabat sejak kecil, Navier bangkit semula demi kehormatannya dan masa depan yang baru.
Ju Ji Hoon (Light Shop, The Trauma Code) pula melakonkan watak Maharaja Sovieshu, pemerintah Empayar Timur yang memiliki kuasa mutlak. Walau membesar bersama Navier dan pernah bersumpah untuk setia, dia memecahkan janji tersebut demi seorang wanita lain, sekali gus mengubah perjalanan takdir kedua-dua mereka.
Lee Jong Suk (Big Mouth, W) mengambil peranan sebagai Putera Heinrey, pewaris takhta Empayar Barat yang misterius dan berkarisma. Meskipun pada awalnya mempunyai motif tersembunyi, dia akhirnya jatuh cinta kepada Navier dalam percintaan yang dijangka menyentuh hati penonton di seluruh dunia.
Lee Se Young (The Red Sleeve, The Crowned Clown) pula memegang watak Rashta, seorang bekas hamba pelarian yang memiliki kecantikan luar biasa. Setelah diselamatkan oleh Sovieshu, dia menyimpan impian untuk menjadi permaisuri dan memasuki dunia istana dengan niat tersembunyi.
Sokongan Pelakon Kukuh
Turut membintangi drama ini ialah pelakon berbakat:
- Lee Bong Ryun sebagai Countess Eliza, ketua dayang Istana Barat dan orang kepercayaan Navier.
- Choi Dae Hoon sebagai Lord McKenna, setiausaha Putera Heinrey yang lantang bersuara tetapi setia.
- Park Ho San sebagai Viscount Lotteshu, bekas tuan Rashta yang menyimpan rahsia gelap tentang masa silamnya.
- Jung Young Joo sebagai Albani, wanita berpengaruh yang mengambil Rashta sebagai anak angkat demi membangkitkan semula kuasa keluarga.
- Nam Yoon Ho sebagai Baron Lante, setiausaha kepada Sovieshu yang juga menjalin komunikasi sulit dengan Countess Eliza.

Pasukan Produksi Berwibawa
Drama ini diarahkan oleh Jo Soo Won, yang pernah mengarahkan I Hear Your Voice, Pinocchio, dan 30 But 17. Penulisan skrip pula digalas oleh Yeo Gee Na (The Uncanny Counter) bersama Hyun Chung Yeol (Brave Citizen), menjanjikan naratif yang penuh lapisan emosi dan sinematografi memukau.
Respons Awal Pelakon
Semasa sesi pembacaan skrip yang berlangsung pada 13 Mei, para pelakon menunjukkan keterujaan dan komitmen mereka terhadap produksi ini.
Shin Min Ah menyatakan, “Kerana ini karya asal yang sangat disayangi ramai, saya rasa gementar dan teruja pada masa sama. Saya harap penonton akan nantikan bagaimana kisah ini dihidupkan di layar dan menikmati keindahan visualnya.”
Ju Ji Hoon berkata, “Saya bangga menjadi sebahagian daripada dunia hebat ini, dan saya juga sedar tanggungjawab yang datang bersama peranan ini. Kami akan berikan sesuatu yang segar dan mendebarkan.”
Lee Jong Suk pula berkongsi, “Saya sangat teruja apabila mendapat tahu The Remarried Empress akan diadaptasi secara live-action. Ia pasti akan menjadi projek yang unik dan menyeronokkan.”
Manakala Lee Se Young menambah, “Saya gembira kerana dapat memainkan watak Rashta. Gabungan dunia fantasi dan elemen romantik akan mencipta banyak detik menarik untuk penonton.”
Siri Korea Dinanti Di Disney+ Hotstar
The Remarried Empress adalah sebahagian daripada barisan kandungan Korea premium yang bakal ditayangkan di Disney+ Hotstar. Antara tajuk lain yang turut dinanti-nantikan termasuk Nine Puzzles (misteri jenayah lakonan Kim Dami dan Son Sukku), Low Life (pengembaraan pencarian harta karun lakonan Ryu Seung Ryong), serta Tempest, siri konspirasi antarabangsa lakonan Jun Gianna, Gang Dongwon, John Cho dan Michael Gaston.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kemunculan perdana The Remarried Empress pada tahun 2026, hanya di Disney+ Hotstar.