Drama terbaru MBC, Oh My Ghost Clients, bakal ditayangkan malam ini dan telah berkongsi beberapa perkara menarik yang boleh dijangkakan oleh penonton!
Drama ini bergenre aksi komedi, mengisahkan Noh Mu Jin (lakonan Jung Kyung Ho), seorang peguam buruh yang boleh melihat hantu. Bersama iparnya Na Hee Ju (Seol In Ah) dan seorang YouTuber Go Gyeon Woo (Cha Hak Yeon), mereka bertiga membentuk satu pasukan dinamakan “Team Mujins”. Misi mereka ialah membantu roh-roh yang masih menyimpan dendam selepas meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja.
Berikut adalah empat sebab utama kenapa drama ini wajib masuk dalam senarai tontonan anda:
1. Watak Utama yang Luar Biasa – Peguam Buruh yang Boleh Nampak Hantu!
Kebanyakan drama Korea selalu tampilkan watak utama sebagai doktor atau peguam biasa, tapi kali ini berbeza. Noh Mu Jin ialah seorang peguam buruh yang boleh melihat hantu! Jung Kyung Ho yang pernah bawa watak doktor dan pensyarah dalam drama lain, kini tampil dengan sisi baharu yang lebih menarik – serius tapi kelakar. Gabungan dunia kerja, unsur fantasi dan misi menolong hantu menjadikan cerita ini segar dan lain daripada yang lain.
2. Kerjasama Pasukan “Team Mujins” yang Seronok Ditonton
Watak-watak utama bukan saja unik, tapi gabungan mereka sangat menghiburkan. Noh Mu Jin dibantu oleh iparnya yang berani dan tegas, Na Hee Ju, serta Go Gyeon Woo, YouTuber yang spontan dan kelakar. Mereka menyiasat kes hantu, menyamar, dan turun padang untuk bantu menyelesaikan masalah roh-roh tersebut. Hubungan mereka bertiga penuh dengan aksi lucu, emosi dan semangat kerjasama. Malah, Jung Kyung Ho sendiri pastikan keserasian kumpulan ini mantap sejak awal penggambaran!
3. Barisan Pembikin Drama yang Hebat
Drama ini diarahkan oleh Yim Soon Rye, pengarah filem terkenal yang menghasilkan filem seperti Little Forest dan Forever the Moment. Penulis skrip pula ialah Kim Bo Tong (yang menulis skrip D.P.) dan Yoo Seung Hee (I Can Speak). Gabungan mereka dijangka hasilkan drama yang bukan saja menyeronokkan, tetapi juga menyentuh hati dan penuh makna.
4. Kisah yang Dekat dengan Kehidupan Sebenar
Walaupun isu pekerja dan kematian akibat kemalangan kerja nampak berat, drama ini sampaikan dengan cara yang ringan tapi bermakna. Cerita-cerita dalam drama ini diinspirasikan dari kisah benar orang sekeliling kita – macam keluarga, jiran atau kawan-kawan. Gabungan elemen kelakar dan menyentuh perasaan menjadikan drama ini penuh nilai dan tetap menghiburkan.
“Oh My Ghost Clients” mula ditayangkan pada 30 Mei dan boleh ditonton di platform Viki serta Viu Malaysia.
Sumber : 1