Kuala Lumpur – Bagi penggemar anime Jepun, kumpulan rock ikonik veteran FLOW pasti tidak asing lagi. Dianggotai oleh lima ahli — Koshi Asakawa, Keigo Hayashi, Takeshi Asakawa, Kotaro Goto, dan Hiroshi Iwasaki — FLOW telah beberapa kali membuat persembahan di Malaysia, khususnya dalam acara Anime Festival Asia. Namun, kali ini istimewa apabila mereka hadir dengan konsert solo berskala dunia sempena ulang tahun ke-20 mereka dalam industri muzik, menerusi FLOW WORLD TOUR “ANIME SHIBARI 2024–2025.”
Apa yang menjadikan siri jelajah ini unik adalah penekanan mereka terhadap lagu-lagu tema anime yang pernah mereka jayakan. Jelajah ini merangkumi 23 negara dengan 48 persembahan, meraikan hubungan istimewa FLOW dengan peminat anime di seluruh dunia.
Pada 12 Mei 2025, FLOW telah menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur dalam konsert penutup jelajah dunia mereka. Persembahan ini bukan sahaja menandakan kemuncak siri jelajah selama setahun, tetapi juga menjadi persembahan terakhir mereka di rantau Asia Tenggara. Malaysia dipilih sebagai destinasi penutup, dengan kehadiran kira-kira 1,000 peminat anime dari dalam dan luar negara.
Ini merupakan kali ke-5 FLOW mengadakan persembahan di Malaysia, membuktikan hubungan erat antara mereka dan peminat tempatan serta sokongan padu terhadap muzik anime di negara ini.
Konsert dimulakan dengan tayangan visual dan suara daripada watak-watak anime ikonik seperti Naruto, Lelouch, dan Renton, yang membangkitkan keterujaan penonton. FLOW membuka tirai dengan lagu “Re:member”, diikuti oleh “Kaze no Uta” dan “LOVE & JUSTICE”, mempersembahkan gabungan hebat antara muzik rock dan semangat anime. Mereka turut menghadiahkan peminat dengan lagu terbaru berjudul “ALRIGHT” daripada siri anime From Old Country Bumpkin to Master Swordsman.
Ketika lagu popular “SIGN” dan “GO!!!” dimainkan, kelihatan para peminat turut menyanyi bersama, menambahkan kemeriahan suasana.
Persembahan diakhiri dengan lagu “GOLD”, lagu tema Boruto, sebagai simbol penutup penuh tenaga untuk konsert tersebut. Sepanjang 1 jam 30 minit persembahan, FLOW membawakan 16 buah lagu, antaranya:
- “Steppin’ out”
- “CHA-LA HEAD-CHA-LA” (lagu tema Dragon Ball Z)
- “HERO
Kibou no Uta” - “DAYS”
- “BlazBlue”
- “COLORS” dan “WORLD END” (lagu tema Code Geass)
- “Alright!!!”, “Sign”, dan “GO!!!” (lagu tema Naruto)
- “GOLD” (lagu tema Boruto)
Sebelum persembahan bermula, peminat dimaklumkan bahawa pemain bass Kotaro Goto (GOT’S) tidak dapat menyertai konsert kerana masalah kesihatan. Beliau telah dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada sejurus tamat konsert mereka di Singapura pada 8 Mei 2025. Pemeriksaan perubatan mengesahkan beliau mengalami koyakan pada pembuluh darah utama ke jantung (thoracic aortic dissection) dan telah menjalani pembedahan kecemasan. Keadaan beliau kini stabil dan akan berehat daripada semua aktiviti sehingga pulih sepenuhnya.
FLOW tetap meneruskan persembahan meskipun tanpa pemain bass utama mereka, dengan menggunakan trek bass pra-rakaman. Para peminat menyambut mereka dengan sorakan gemuruh seperti “Welcome back!” dan “FLOW is BACK!!!” – satu bukti keakraban dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat Malaysia.
Dalam sesi interaksi mesra bersama peminat, FLOW berseloroh mengenai pengalaman mereka mencuba pelbagai makanan tempatan serta mendaki Batu Caves — yang hampir “mematahkan semangat” mereka kerana cuaca panas terik. Suasana konsert menjadi lebih hangat apabila mereka menggunakan bahasa tempatan. Selain frasa popular “Saya Sayang Awak”, mereka turut melaungkan kata-kata seperti “Mantap!”, “Malaysia MANTAP!”, “Anda Semua MANTAP!”, dan “Kita MANTAP malam ini!” yang disambut dengan sorakan penuh kegembiraan oleh para peminat.
Konsert ini dianjurkan oleh FriedRice Entertainment dengan kerjasama ACO Media dan SOZO, dan pastinya telah mencipta satu lagi kenangan manis yang akan dikenang lama oleh para peminat FLOW di Malaysia.
Pihak KMania merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penganjur atas jemputan media ke acara ini.