Pentas K-Pop, Jiwa Malaysia: JAY B Berkurta Buat Konsert di KL Lebih Bermakna

Kuala Lumpur, 27 April 2025 – Malam yang dinanti akhirnya tiba. Pada tepat jam 6 petang, ribuan peminat membanjiri ruang ZEPP Kuala Lumpur bagi menyaksikan konsert mega 2025 JAY B CONCERT: TAPE RELOAD. Malam penuh energi, emosi dan kehangatan bersama JAY B di TAPE: RELOAD benar-benar meninggalkan kenangan manis buat AhGaSe Malaysia. Dengan membawa lebih 30 buah lagu, JAY B membuktikan kehebatannya sebagai artis serba boleh. Menggabungkan muzik solo, unit, dan karya GOT7 yang dirindui peminat.

Dari saat pertama lampu pentas menyala, aura bintang utama GOT7 itu sudah cukup untuk membuatkan peminat menjerit tanpa henti. Nyanyian dimulakan dengan lagu “Present”, pembukaan yang sarat makna. Seolah-olah satu penghargaan kepada semua yang hadir, dan momen itu terus menyentuh hati peminat. Dengan pentas yang disinari cahaya lembut dan vokal JAY B yang penuh emosi, suasana di ZEPP Kuala Lumpur serta-merta menjadi tenang tetapi penuh harapan.

Tanpa melengahkan masa, JAY B yang tampil bergaya dengan busana biru meneruskan persembahan dengan lagu-lagu penuh tenaga dan emosi seperti “Fountain of Youth”, “B.T.W”, “FAME”, dan “Livin’”. Suasana berubah menjadi lebih intim apabila beliau menyanyikan “The Way We Are”, “If You”, dan “Chosen”, memperlihatkan sisi mendalam dan peribadinya. Persembahan diteruskan dengan “Make Me Right” dan “Take It Easy”, membawa semula suasana ceria dan santai, sekali gus memanaskan pentas sebelum konsert melangkah ke bahagian seterusnya.

Lagu diteruskan dengan penampilan berbeza daripada JAY B yang tampil serba hitam, tampak lebih matang dan karismatik, memukau peminat dengan aura berkelas. Beliau membuka segmen ini dengan lagu “Crash” yang penuh tenaga, diikuti “Switch It Up” yang membawa mood lebih sensual dan eksperimental. Persembahan semakin memikat dengan “Preview”, sebelum suasana menjadi lebih tenang dan emosional melalui lagu “°C (Temperature)” dan “Sunrise”, memperlihatkan kekuatan vokal dan penghayatan mendalam JAY B di atas pentas.

JAY B kemudian tampil dengan gaya yang sedikit seksi dan penuh keyakinan, mencuri perhatian peminat menerusi persembahan yang lebih intim dan menggoda. Beliau membuka segmen ini dengan lagu “In To You”, diikuti “AM PM”, “Right Back”, dan “Sigh” dari unit Jus2, yang semuanya membawa nuansa romantik dan sensual. Persembahan diteruskan dengan “Inside”, “Cloud Nine”, dan “Wonder”, memperlihatkan sisi eksperimental dan artistiknya, sebelum menutup segmen ini dengan penuh gaya melalui lagu “Whiskey” dan “Holyday” yang menaikkan kembali mood penonton dengan rentak yang catchy dan penuh pesona.

Dalam suasana santai dan mesra, JAY B turut meluangkan masa berinteraksi dengan peminat dengan bertanya, “Ahli GOT7 yang lain dah datang Malaysia ke belum?” Sorakan dan jawapan spontan peminat memberitahu bahawa beberapa ahli seperti Mark, Jackson, Youngjae, BamBam, dan Yugyeom sudah pun membuat kunjungan solo ke Malaysia. Hanya Jinyoung yang masih belum hadir secara solo. Mendengar respon itu, JAY B tersenyum lega dan berseloroh bahawa beliau bukanlah ahli terakhir yang menjejakkan kaki secara solo ke Malaysia, mengundang gelak tawa dan sorakan hangat dari peminat. Momen itu mencipta suasana akrab yang mengeratkan lagi hubungan antara JAY B dan AhGaSe Malaysia.

JAY B tampil dengan kurta dan kaca mata hitam, mengejutkan peminat yang bersorak teruja dengan penampilan unik dan penuh gaya itu. Tanpa disangka, beliau terus memulakan nyanyian lagu “Go UP”, sebuah lagu rancak yang menaikkan semula semangat penonton. Penampilannya yang menggabungkan elemen tradisional dengan persembahan bertenaga mencipta suasana luar biasa. Bagaikan satu penghargaan istimewa kepada peminat Malaysia yang masih dalam suasana Hari Raya. Tepukan dan sorakan bergema di seluruh dewan, menjadikan detik itu antara momen paling meriah malam tersebut. Salah satu momen paling menyentuh malam itu ialah apabila fan project secara mengejut dipaparkan di skrin utama. Ketika persembahan berhenti seketika, layar memaparkan video kompilasi penuh kasih sayang daripada peminat-peminat JAY B, menampilkan mesej, gambar, dan detik-detik kenangan sepanjang perjalanan kariernya. JAY B dilihat menonton dengan penuh fokus, matanya tidak beralih dari skrin, seolah-olah menyerap setiap detik dengan hati terbuka. Wajahnya jelas menunjukkan rasa terharu dan bersyukur, dan beliau beberapa kali meletakkan tangan di dada sebagai tanda penghargaan yang mendalam terhadap sokongan luar biasa daripada AhGaSe Malaysia.
Persembahan diteruskan dengan penuh kejutan dan warna apabila JAY B masih mengenakan kurta, manakala penari-penarinya tampil comel dalam kostum Teletubbies, mencetuskan gelak tawa dan sorakan daripada peminat. Gabungan elemen budaya dan humor ini memberi sentuhan segar dan menyeronokkan kepada segmen akhir konsert. Lagu-lagu rancak seperti “FAME (club remix)”, “Take It Easy (club remix)”, dan “B.T.W” menghidupkan semula tenaga dalam dewan, diikuti oleh versi lebih bertenaga “Crash (Rock Version)” yang membakar semangat semua yang hadir. JAY B kemudian menghangatkan pentas dengan lagu-lagu GOT7 yang dirindui ramai seperti “Teenager”, “PAGE”, dan “Before The Full Moon Rises”, menjadikan penutup konsert malam itu penuh nostalgia, sorakan, dan kenangan yang tak akan dilupakan peminat.
Dalam ucapan terakhir sebelum tirai konsert dilabuhkan, JAY B mengambil sedikit masa untuk menyampaikan rasa penghargaan yang mendalam kepada peminat. Dengan senyuman penuh keikhlasan, beliau berkata bahawa peminat di Malaysia sangat bertenaga dan mantap, membuatkan persembahannya malam itu terasa lebih istimewa dan bermakna. Beliau turut mengucapkan terima kasih berkali-kali dalam nada penuh terharu, mengakhiri malam penuh emosi dan kegembiraan dengan ucapan yang menyentuh hati semua yang hadir.
Terima kasih kepada LINE UP Entertainment Co., Ltd. dan Stormex Entertainment yang telah merealisasikan impian peminat JAY B di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama JAY B.

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video 2025 JAY B CONCERT: TAPE RELOAD di Kuala Lumpur dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.