Kuala Lumpur, 15 Februari 2025 – Program popular Korea Selatan, Running Man menerusi jelajah “RUNNING MAN ‘RUN 2 U’ ”, telah mengadakan pertemuan peminat di Malaysia. Acara ini berlangsung di Mines International Exhibition & Conference Centre (MIECC), Kuala Lumpur. Dianjurkan secara bersama oleh Sunstrong Entertainment pertemuan peminat ini telah menarik lebih daripada 5,000 peminat, termasuk Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Persembahan pembukaan dimulakan dengan penuh semangat apabila semua ahli Running Man menyampaikan lagu “Spring Day” oleh BTS dalam versi cover mereka. Nyanyian harmonis dan penuh emosi itu berjaya memukau lebih daripada 5,000 peminat yang hadir, menjadikan suasana acara semakin meriah. Semua ahli Running Man memulakan acara dengan penuh mesra, menyapa peminat dengan ucapan “Apa khabar?”. Suasana menjadi semakin meriah apabila semua peminat yang hadir serentak membalas dengan penuh semangat, “Khabar baik!”, mencipta momen yang cukup mengujakan dan penuh keakraban.
Sepanjang acara, pelbagai permainan menarik telah dimainkan oleh ahli Running Man, mencetuskan gelak tawa dan keterujaan dalam kalangan peminat. Antaranya ialah permainan “Who is Patman”, di mana terdapat juga beberapa peminat bertuah berpeluang naik ke pentas untuk bermain bersama ahli Running Man. Peminat-peminat ini dipilih secara rawak melalui cabutan bertuah, menjadikan pengalaman mereka lebih istimewa.
Seterusnya, permainan “Cosplay Running Man” mencuri perhatian apabila setiap ahli Running Man perlu memilih pakaian secara rawak daripada bungkusan yang telah disediakan. Pakaian tersebut terdiri daripada kostum yang lucu dan comel, yang harus mereka pakai sepanjang permainan. Mereka kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan dan bersaing dalam pelbagai misi bersama peminat. Bagi menentukan kumpulan pemenang, setiap pasukan perlu menyelesaikan cabaran yang diberikan dan berlumba untuk mencapai garisan penamat terlebih dahulu. Kemeriahan dan semangat persaingan antara ahli Running Man serta peminat menjadikan permainan ini antara detik paling menghiburkan sepanjang acara.
Permainan ketiga diteruskan dengan cabaran “Three Friends Challenge”, di mana ahli Running Man sekali lagi menceriakan pentas dengan aksi dan gelagat lucu mereka. Selepas itu, acara diteruskan dengan “Cosplay Award”, satu segmen istimewa yang mengundang keterujaan penonton. Beberapa peminat bertuah dipilih untuk menyertai cabaran ini dengan mengenakan kostum ikonik yang menyerupai ahli Running Man dalam rancangan mereka. Setiap ahli Running Man diberikan seorang pemenang yang tampil dengan gaya paling kreatif dan menyerupai mereka. Keunikan dan usaha para peminat dalam pertandingan ini bukan sahaja mencuit hati, tetapi juga memperlihatkan kecintaan mereka terhadap program ini.
Selepas segmen permainan yang menghiburkan, acara diteruskan dengan persembahan solo daripada setiap ahli Running Man, mempamerkan bakat nyanyian mereka yang memukau para peminat. Persembahan dimulakan dengan Song Ji-hyo, yang mengejutkan peminat dengan nyanyiannya yang manis menerusi lagu, “Bam Yang Gang”. Suasana semakin hangat apabila Yang Se-chan mengambil alih pentas dengan penuh keyakinan, membawakan lagu “Queen”, sambil bermain piano.
Seterusnya, Ha Dong-hoon (HAHA) menghidupkan suasana dengan persembahan bertenaga menerusi lagu “Whiplash”, memperlihatkan keunikan dan energinya yang luar biasa. Ji Suk-jin, yang dikenali dengan suaranya yang penuh emosi, menyampaikan lagu “All of Me”, mencipta momen yang menyentuh hati di kalangan peminat. Tidak ketinggalan, Kim Jong-kook memukau hadirin dengan vokalnya yang mantap dalam lagu “One Man”, memperlihatkan kehebatannya sebagai penyanyi profesional. Acara diteruskan dengan Yoo Jae-suk, yang membawa elemen humor dalam persembahannya dengan lagu “Redevelopment of Love”, mencetuskan tawa dan keceriaan di seluruh dewan. Setiap persembahan solo ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian bakat ahli Running Man, tetapi juga mencipta kenangan indah buat peminat yang hadir, menjadikan acara ini lebih bermakna dan sukar dilupakan.
Persembahan diteruskan dengan segmen duet yang menghiburkan. Ha Dong-hoon (HAHA) dan Yang Se-chan membuka tirai dengan penuh energi menerusi gabungan lagu “Kalla”, “Dang Diggi Bang”, dan “Ice Bottle”, menghidupkan suasana dengan gaya mereka yang ceria dan penuh aksi. Gelagat mereka di atas pentas mengundang sorakan gemuruh serta gelak tawa daripada peminat. Seterusnya, Kim Jong-kook dan Song Ji-hyo tampil berduet dengan lagu “We Need to Talk”, mencipta momen manis dengan suara merdu mereka yang berpadu harmoni. Keserasian antara mereka di atas pentas menambah kehangatan suasana, menjadikan persembahan ini antara yang paling dinanti-nantikan.
Persembahan diteruskan dengan lebih banyak segmen yang menghiburkan, memeriahkan suasana di dalam dewan. Jee Seok Jin, Song Ji Hyo, dan Yang Se Chan tampil dengan persembahan istimewa menerusi lagu “Beach Again”, mengundang sorakan gemuruh daripada peminat. Gabungan suara mereka yang unik serta interaksi mesra di atas pentas menjadikan persembahan ini lebih menyeronokkan.
Kemudian, kesemua ahli Running Man kembali ke pentas untuk segmen persembahan berkumpulan yang penuh tenaga. Mereka membawakan lagu-lagu popular seperti “APT”, “I Like It”, “Turn It Around”, “Time of Our Life”, “Loveable”, dan “Busan Vacance”, mengajak peminat untuk menyanyi dan menari bersama. Dengan sorakan tidak putus-putus, dewan bertukar menjadi lautan kegembiraan apabila ahli Running Man berinteraksi dengan peminat sambil menari dengan penuh semangat.
Segmen ini menjadi kemuncak acara, memperlihatkan keakraban antara ahli Running Man dan peminat mereka. Dengan lagu-lagu yang membangkitkan nostalgia dan suasana ceria, acara RUNNING MAN ‘RUN 2 U’ LIVE IN KUALA LUMPUR ditutup dengan kenangan manis yang pasti akan diingati oleh semua yang hadir. Terima kasih kepada Sunstrong Entertainment yang telah merealisasikan impian peminat Running Man di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama Running Man.