KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2024 – Bakal melakar sejarah penuh makna dalam kamus kerjaya kumpulan wanita paling berpengaruh Malaysia, DOLLA. Penantian berbulan-bulan berakhir juga untuk konsert sulung mereka DOLLA RE:BIRTH THE EXPERIENCE di Zepp Kuala Lumpur yang berlangsung jam 8 malam.
DOLLA yang dianggotai Angel, Sabronzo, dan Tabby siap sedia memukau peminat yang hadir. Selepas persiapan intensif dan rapinya, penonton dapat saksikan corak persembahan menakjubkan dan berbeza daripada yang pernah disajikan sebelum ini.
Penganjurnya, Hitman Solutions, menyifatkan konsert sulung DOLLA selepas lebih empat tahun mencipta nama dalam industri bakal menjadi bukti hasil kerja keras mereka selama ini. Kumpulan itu bakal lakar tahap baharu dalam corak persembahan dan mutu produksinya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal cukup teruja dan berbesar hati dapat menampilkan penghibur masa kini penuh inovatif itu. Dia sifatkan pesona DOLLA sudah cukup memuncak dan setaraf penghibur antarabangsa. “Koreografi padu, vokal secara langsung yang mantap, dan tenaga tanpa batas mereka, apabila digabung produksi serta reka bentuk set bermutu tinggi, menghasilkan persembahan luar biasa. Konsert pengenalan DOLLA yang cukup hebat ini adalah bukti ketara terhadap masa depan yang cerah buat kumpulan wanita Malaysia terus maju. Matlamat kami adalah untuk sediakan artis meningkat naik dengan pementasan dan kualiti produksi yang menyaingi taraf antarabangsa,” katanya.
Pengarah urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim juga berkata, “Saya sangat teruja untuk mempersembahkan pencapaian terkini DOLLA – konsert mereka yang sangat dinantikan, yang diberi nama “RE:BIRTH THE EXPERIENCE”. Konsert ini menjadi pengalaman yang luar biasa dan mendalam untuk peminat setia yang digelar iDolla, dan walaupun anda bukan peminat tegar, saya yakin anda akan menikmati setiap lagu, gerakan dan koreografi yang mencerminkan usaha keras yang telah dilakukan oleh seluruh pasukan dalam beberapa bulan terakhir.”
“Konsert ini, yang merupakan kolaborasi bersama Hitman Solutions adalah langkah besar dalam menggabungkan teknologi produksi terkini dengan hiburan, dan membolehkan kami memperluaskan kreativiti kami serta berkongsi muzik unik DOLLA. Terima kasih juga kepada Samsung atas sokongan tanpa henti yang diberikan kepada DOLLA sejak awal perjalanan mereka. DOLLA RE: BIRTH THE EXPERIENCE bukan sekadar konsert biasa, ia adalah sambungan kepada semangat dan komitmen yang telah kami curahkan sepenuh hati. Kami tidak sabar untuk membawa pengalaman ini dan mengembangkan hubungan DOLLA dengan peminat di seluruh kawasan tidak lama lagi.” kata Kim Lim.
Tambahan pula, perjalanan persiapan mereka turut mendapat khidmat nasihat dan penambahbaikan daripada pengarah konsert tersohor, Jenn Thompson. Berganda hebatlah setiap aspek mereka takluk sekaligus meninggalkan impak tersendiri pada malam itu. Jenn yakin pesona DOLLA lebih menyala di pentas dengan perincian merangkumi pelbagai aspek. Kelainan yang nyata dipamerkan mereka dengan dilengkapi sudut teknikal pada mutu tahap tertinggi.
“Persiapan konsert berjalan dengan sangat intensif terutama buat ke semua anggotanya. Baik pada susunan muzik, latihan vokal, tarian, dan kecergasan. Ia adalah konsert yang cukup berbeza. Bukan sekadar muzikal saja, namun sangat mendalam disebabkan koreografi tarian serta tata riasnya yang mana menjadi aspek terpenting DOLLA,” katanya.
Menurut Jenn lagi, aspek teknikal muzikalnya juga cukup unik. Berbanding melakukan persembahan dengan muzik semata-mata seperti sebelum ini, DOLLA diiringi band pada malam konsert berkenaan. “Buat julung kali, mereka diiringi band dengan empat pemuzik. Paling penting ia digabungkan bersama susunan digital demi kekalkan bunyi serta perisa DOLLA. “Tidak syak lagi, kesemua anggotanya serta setiap pihak yang bekerjasama dengan mereka sudah berhempas pulas untuk menyediakan corak hiburan paling memuaskan buat peminat mereka,” katanya.
DOLLA merupakan antara artis tempatan yang memiliki ‘lightstick’ tersendiri, konsert tersebut bertukar ke sebuah lautan kemilau berona ungu. Elemen itu sekaligus memberi sentuhan suasana menjadi lebih magis. Peminatnya yang dikenali sebagai iDolla larut dalam visual memukau, kesan khas, dan reka bentuk pentas. Sepertinya penonton dibawa berlayar bersama dalam dunia DOLLA.
Selain itu, Paul Morrison, Pengarah Muzik “DOLLA RE: BIRTH THE EXPERIENCE,” berkata, “Setiap lagu telah dibayangkan semula untuk membawa penonton dalam perjalanan muzik. Ia adalah satu penghormatan bekerja dengan DOLLA, dan saya tidak sabar untuk mempersembahkan RE: BIRTH THE EXPERIENCE kepada dunia.”
Dengan ini, pengarah kanan, A&R dan Pengurusan Artis, Hermond Cheng berkata, “merenung perjalanan kami dari pelancaran lagu pertama DOLLA, “DOLLA Make You Wanna,” hingga konsert pertama mereka, “DOLLA RE:BIRTH THE EXPERIENCE,” kami dipenuhi dengan rasa syukur dan keterujaan. Dari menentukan bunyi dan identiti kumpulan mereka hingga melihat muzik mereka memberi kesan kepada pendengar, perjalanan kami sungguh luar biasa. Melalui kerja keras, dedikasi, dan sokongan padu peminat DOLLA, mereka telah berkembang bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai penghibur bertaraf antarabangsa. Keluarga Universal Music Malaysia berbangga dengan mereka dan berharap peminat, pendengar, dan penyokong akan menikmati malam yang penuh dengan muzik DOLLA.”