Bukan biasa-biasa, MASDO sudah pamer kehebatan beraksi di Mongolia dan Korea Selatan!

Selesai Siri Jelajah Promosi Single ‘Perih Jerih’ Di Indonesia, Masdo Sertai Playtime Festival (Mongolia) & Round Festival (Korea Selatan)

Baharu sahaja selesai melewati beberapa provinsi di Indonesia dalam siri jelajah ‘Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ di Bandung, Jakarta, Yogyakarta dan Bali, Masdo terbang pula ke Ulaanbaatar, Mongolia dari 3 hingga 5 Julai demi menjayakan Playtime Festival, dan sejurus itu mereka terus ke Busan, Korea Selatan untuk membuat persembahan di Round Festival (ASEAN Korea Music Festival) dari 6 hingga 10 Julai.

Masdo yang terdiri dari Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan juga Asmawi (gitaris) berkata mereka berasa bersyukur dan teruja.

“Kami sangat teruja dengan ‘Masdo Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ pada kali ini kerana selain promo di radio, kami juga dapat membuat persembahan secara ‘intimasi’ bersama peminat di Indonesia, serta turut berpeluang ke kota-kota besar seperti Bandung, Jakarta, Jogja dan Bali”.

“Di antara momen yang terkesan buat kami adalah sewaktu membuat persembahan di kafe JRNY Coffee & Records, Jogja kerana walaupun pertama kali kesitu, energi ‘vibe’ peminat yang hadir pada malam itu sangat memberi kesan positif dan meninggalkan kesan yang mendalam, kerana ada yang hadir sejauh 7 jam dari Kota Jogja”.

“Kami yakin dengan pendekatan sebegini, tidak mustahil untuk Masdo mendapat tempat lebih besar di pasaran Indonesia, dan jutaan terima kasih buat Warner Music Malaysia dan Indonesia, Enrich serta Klook kerana membantu dan memudahkan perjalanan kami di sana,” kata Ali Sariah (vokalis).

Sejurus selesai siri jelajah promosi di Indonesia, Masdo harus mempersiapkan diri pula untuk melakukan persembahan di Ulaanbaatar, Mongolia dan juga Busan, Korea Selatan.

Processed with VSCO with k3 preset

Kongsi Putu Ceri (bass), “Kami sangat bersyukur kerana single Perih Jerih mendapat sambutan walaupun kedengaran berbeza dengan single lain yang pernah kami hasilkan, rata-rata pendengar suka dengan kematangan dalam setiap karya Masdo.”

“Walaupun penat, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk membuat persediaan di Mongolia dan Korea Selatan, kami lebih fokus untuk memberi impak dalam persembahan dan mencari kelainan dengan membuat rujukan dari persembahan artis-artis terkenal antarabangsa, melihat bagaimana mereka mengelola pentas yang besar.”

“Sewaktu berada di Playtime Festival (Mongolia), walaupun berlainan bahasa, penonton tetap ‘enjoy’ dan mereka sempat melaungkan ‘ehhh, ahhh’ beramai-ramai, manakala peluang dapat membuat persembahan di Round Festival (Korea Selatan) merupakan sebuah penghormatan buat kami kerana sebaris dengan nama-nama besar di arena antarabangsa. Untuk Round Festival, kami mendapat jemputan eksklusif dari Korean Broadcasting System (KBS) dan Masdo mewakili Malaysia di antara 11 negara ASEAN yang turut dijemputi.”

 

Penyertaan Masdo di kedua-dua festival mendapat perhatian Yang Berhormat Puan. Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, katanya, “Masdo telah berjaya membawa nama Malaysia ke ‘platform’ antarabangsa di Korea Selatan, dan gaya unik mereka memberi tumpuan terhadap tenaga kerja artistik negara kita. Teruslah membuat negara bangga, syabas!

Sepulangnya Masdo ke tanah air, mereka sudah pun merencanakan beberapa projek untuk tahun 2025, di antaranya sebuah album penuh sempena ulang tahun penumbuhan mereka yang ke-10, yang akan disusuli dengan siri jelajah di serata Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Kata Asmawi (gitaris), “Kami berharap dengan penyertaan festival-festival antarabangsa ini dapat membuka jalan dalam membuktikan bahawa muzik Malaysia juga setara dengan negara lain, dan seterusnya menimba banyak lagi ilmu kerana misi kami adalah mencari kelebihan dan cuba menutupi kekurangan dalam setiap perjalanan bermuzik Masdo.”