Cipta memori indah bersama, Park Eun Bin berjaya beli jiwa peminatnya di Malaysia!

Fan meeting pelakon dari korea selatan yang bernaung di bawah syarikat Namoo Entertainment, Park Eunbin, telah berlangsung pada 24 Disember 2022 di StarXpo Centre, KWC Kuala Lumpur. Fan meeting EUN-BIN NOTE : BINKAN ini merupakan penutup tirai bagi sesi bertemu peminat dari siri jelajah Asia 2022 dan merupakan siri jelajah yang pertama buat beliau sepanjang 24 tahun penceburan diri dalam bidang seni lakonan. Selain Kuala Lumpur (yang merupakan hentian tambahan setelah menerima banyak permintaan dari peminat sendiri), beliau telah berjaya mengadakan sesi jelajah ini di beberapa bandar lain bermula sejak September yang lalu dengan Seoul sebagai lokasi pertama diikuti dengan Manila, Bangkok, Singapura dan Tokyo.

Nama Park Eun Bin mula dikenali ramai setelah membintangi drama “The King’s Affection” dan “Extraordinary Attorney Woo”, bahkan kedua dramanya ini mendapat perhatian peminatnya di Malaysia. Biarpun agak lama berada dalam industri lakonan, dua drama ini adalah kemuncak kerjaya Park Eun Bin di mana seni lakonannya diiktiraf dan persembahannya mendapat pujian ramai. Jadi, tidak hairanlah kenapa peminat di Malaysia khasnya begitu mendambakan kehadirannya di sini.

Pembukaan persembahan dari Park Eunbin tepat jam 8.15 malam dengan dendangan lagu Hello, dalam busana kemeja putih dan skirt hijau yang ringkas tetapi menarik. Nyanyian beliau yang diiringi dengan pelbagai bahasa bagi ‘hello’ pada skrin besar di belakang pentas telah menggamit sorakan dari peminat yang bukan sahaja datang dari tanah air bahkan peminat dari Thailand, Singapura, Taiwan dan Hong Kong juga sanggup terbang ke KL untuk merasai suasana ambang krismas bersama pelakon kesayangan mereka.

Sejurus selesai persembahan tersebut, beliau dengan yakin dan teruja menyapa peminat dalam bahasa melayu. Jujur Min katakan, setelah pergi banyak event yang melibatkan artis dari tanah kimchi ini, penggunaan bahasa melayu yang beliau ucapkan adalah sangat luar biasa. Beliau bukan sahaja mengucapkan ‘Apa khabar’ dan ‘Terima kasih’, yang merupakan ungkapan yang biasa didengari dari artis kesayangan untuk membeli jiwa, bahkan ucapan ‘hati-hati’ dan ‘tahniah’ turut didengari dituturi oleh beliau dalam situasi yang spontan.

Sesi diteruskan dengan segmen Today’s Profile yang mana pada skrin dipaparkan nama, tarikh lahir dan ketinggian beliau. Apa yang menarik minat Min adalah pada ketinggian beliau di mana memaparkan ‘a little under 2m’! Witty jugak ye Park Eunbin ni. Beliau berkongsikan walaupun beliau tidak dapat tidur lena malam tadi tetapi beliau tidak merasa letih kerana teruja dapat bertemu peminat malam ini. Apabila ditanya apakah satu perkataan yang dapat melambangkan semua peminat Malaysia malam ini, dengan pantas beliau menjawab ‘TERBAIK’! Mungkin beliau merasakan perkataan tersebut sesuai bagi peminat memandangkan sejak beliau menjejakkan kaki pertama kali di Malaysia, beliau disambut dengan penuh semangat bermula dari KLIA lagi.

Ditambah pula dengan kesanggupan para peminat meluangkan masa untuk menyambut ambang krismas bersama-sama beliau. Beliau juga menyatakan matlamat hari ini adalah dengan merasai sambutan ambang krismas bersama peminat dengan gembira. Pelakon berkelahiran Seoul ini juga berkongsikan mood beliau pada hari ini dalam istilah cuaca adalah cuaca hari ini sangat baik. Yang mana ‘bright’ ataupun terang/cerah adalah istilah yang lebih tepat. Beliau secara spontan juga sempat berkongsi satu perkataan bahasa korea yang ingin diajari kepada peminat: 사랑해 (sa-rang-hae) yang bermaksud ‘aku cinta kamu’!

Beliau juga telah meluangkan sedikit masa untuk memilih 5 soalan yang telah diajukan oleh peminat melalui ‘post note’ yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Beliau memberi lebih perhatian kepada satu post note berbentuk origami t-rex dan memberi jaminan kepada peminat beliau akan membawa pulang semua post note yang telah diberikan serta akan membaca satu persatu. Pada segmen ‘the Eun Bin That You Might Not Know Of’ pula, semua peminat begitu teruja bagi interaksi mereka dengan artis kesayangan mereka ini di mana semua hadirin diminta berdiri dan bermain bersama-sama. Tiga pemenang terakhir yang berjaya sehingga selesai soalan diberikan, mereka berpeluang untuk menerima beg eco yang didekorasikan sendiri oleh Eunbin semasa di atas pentas.

Setelah persalinan busana kedua yang manis berbaju merah seiring dengan malam krismas, beliau menyanyikan lagu The Blue Night of Jeju Island. Beliau begitu terharu dengan lautan lampu berwarna biru dari projek peminat yang memenuhi satu dewan tersebut bersesuaian dengan tajuk lagu itu. Beliau juga turut terharu dengan perkongsian video pendek dari peminat dari seluruh negara, menggambarkan betapa seorang Park Eun Bin ini secara tidak langsung telah memberikan kata-kata semangat yang indah dalam meneruskan kehidupan seharian mereka.

Sebelum melabuhkan tirai, beliau dikejutkan lagi dengan projek peminat yang mana sebiji kek telah dihadiahkan kepada beliau dan beliau sempat merakamkan kegembiraan beliau dengan lensa kamera. Kejutan tidak berakhir di situ yang mana peminat juga menyanyikan lagu We Wish You A Merry Christmas sejurus beliau mengambil gambar tadi. Beliau agak terkejut bagaimana peminat dapat meneka kejutan yang telah dirancang oleh beliau untuk menyanyikan lagu tersebut pada penutup sesi nanti. Lagu pertama yang didendangkan oleh beliau sebelum menutup sesi fan meeting berjudul Glittery dan diakhiri semula dengan nyanyian lagu “We Wish You A Merry Christmas”.

 

Majlis diakhiri dengan ucapan yang agak panjang lebar oleh teraju utama drama “The King’s Affection” dan “Extraordinary Attorney Woo” ini dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada orang kuat syarikat naungan beliau yang mana telah bertungkus lumus menjayakan kesemua sesi jelajah bertemu peminat ini. Dengan perasaan sebak dan hampir mengeluarkan air mata, beliau berharap kepada semua peminat agar sentiasa menyokong dalam melayari karier beliau. Setelah itu, kesemua hadirin berpeluang berinteraksi dengan Eun Bin dengan lebih dekat di atas pentas untuk sesi Hi-Bye dan majlis berakhir dalam anggaran jam 11 malam.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada penganjur, Trumpet International kerana memberikan peluang ini kepada Team KMania. Keseluruhannya kami berpuas hati sepanjang event ini berlangsung dan kami sangat menikmati momen bersama pelakon Park Eun Bin. Kami harapkan agar lebih banyak lagi event-event lain yang akan dikelolakan oleh Trumpet International di masa hadapan.

Nota : gambar dikreditkan kepada Trumpet International

 

loading...