Lebih dua pertiga netizen Korea tidak kisah dengan percintaan lelaki dewasa & gadis sekolah yang ditonjolkan dalam tvN Twenty Five, Twenty One

Sebilangan besar netizen Korea berpendapat bahawa isu percintaan lelaki dewasa dan gadis sekolah yang digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah retorik semata-mata.

Berdasarkan kajian dibuat oleh Nate Forum, lebih dua pertiga yakni 77% daripada 3,669 orang menyatakan mereka tidak kesah dengan isu berkenaan manakala 23% pula berpendapat sebaliknya kerana begitu bimbang dengannya. “Kamu perlu tahu macammana nak bezakan antara dunia sebenar dengan dunia maya,” kata salah seorang netizen.

Keputusan ini bercanggah dengan dapatan sebelum ini yang mendakwa 8 daripada 10 netizen menyatakan ianya sebagai masalah yang sangat membarah. Dakwa mereka, “Jika kau orang dewasa yang betul, kau akan cuba jauhkan diri daripada bebudak remaja di sekolah sehingga mereka jadi dewasa sepenuhnya,” tulis netizen dalam dapatan sebelum ini.

Kontroversi isu ini timbul sejak episod ke-9 drama itu ditayangkan apabila Baek Yi-jin (lakonan Nam Joo-hyuk), seorang lelaki berusia 23 tahun meluahkan perasaannya terhadap Na Hee-do (Kim Tae-ri) yang masih lagi bersekolah dan berusia 19 tahun ketika itu. Walaupun mereka hanya menjalinkan hubungan secara platonik, namun luahan cinta tersebut tidak disenangi sebilangan penonton memandangkan usia bawah umur di Korea ialah 20 tahun ke bawah dan didakwa sebagai perilaku untuk merelakan dandanan seksual (‘sexual grooming’).

Sementara itu, drama tvN Twenty Five, Twenty One yang bergenre melodramatik ini, telah mencatatkan rating melebihi dua digit dan semakin menghampiri penghujungnya.

loading...