Didakwa culas bayar cukai kerajaan, kini giliran pelakon kacak Deng Lun pula digam oleh China

Deng Lun atau lebih mesra dikenali sebagai Allen Deng, telah digam oleh China berikutan tindakannya yang culas dalam melaksanakan kewajipannya untuk membayar cukai kepada kerajaan.

Baru-baru ini, sebuah portal media China melaporkan bahawa Deng Lun bakal didenda sebanyak 106 juta yuan (~RM70 juta) kerana melakukan penipuan cukai. Memetik kenyataan daripada Jabatan Cukai Shanghai, Deng Lun didapati telah mengelakkan diri daripada membayar cukai pendapatan sebanyak 47.66 juta yuan (~RM31.5 juta) dan culas dalam membayar cukai lain yang terkumpul sebanyak 13.99 juta yuan (~RM9.23 juta) pada sekitar tahun 2019 hingga 2020.

Deng Lun dalam satu kenyataan, kemudiannya membuat permohonan maaf berhubung kontroversi tersebut. “Aku terima keputusan pihak berkuasa dan akan bertanggungjawab di atas akibatnya. Aku mahu memohon maaf sangat-sangat kerana menggunakan sumber awam ketika pandemik Covid-19,” ujarnya.

Deng Lun di dalam drama ‘Ashes of Love’.

Walaubagaimanapun, tindakan Deng Lun itu agak terlambat untuk menyakinkan pihak berkuasa China daripada menggamkan kemunculan beliau di dalam media massa dan laman sosial. Laman Douyin dan weibo milik Deng Lun telah dihapuskan, jenama produk yang memaparkan dirinya sebagai model turut menghentikan kontrak dengannya serta-merta, manakala projek drama terbarunya seperti Night Wanderer dan Yingyang Master: Dream of Eternity bakal disekat daripada ditayangkan. Malah, namanya yang sepatutnya dikreditkan sebagai pelakon utama “Ashes of Love”, “Sweet Dreams”, dan “The Yin Yang Master” turut dipadamkan dalam carian di weibo dan laman penstriman drama itu.

Ini bukan kali pertama selebriti China digam teruk oleh kerajaan mereka. Fan BingBing, Zheng Shuang, Kris Wu dan Viya Huang Wei antara selebriti yang digam kemunculan mereka samada di media massa mahupun media sosial yang berpaksikan di China.

Sumber: hk01