Teramat sedih hingga mengusik jiwa, rating drama tvN Twenty Five, Twenty One kini sudah hampiri 10%

Drama tvN Twenty Five, Twenty One menunjukkan peningkatan ‘rating’ sebaik saja episod keenam berakhir.

“Kita akan berjumpa jua macam mana sekalipun,” begitulah terjadi kepada Kim Tae ri dan Nam Joo-hyuk yang akhirnya bertaut semula setelah cuba mengharungi onak dan duri di dalam hidup mereka masing-masing sehingga membuatkan sesiapa saja berasa sebak menyaksikan pertemuan tersebut.

Episod keenam baru-baru ini berjaya mencatatkan rating sebanyak 9.8% secara keseluruhan dan 11.1% di Seoul menurut AGB Nielsen. Ia sesuatu pencapaian membanggakan buat drama yang bertemakan melodrama ini sehingga mampu meraih pengikutnya tersendiri.

Di dalam episod keenam, Baek Yi Jin (lakonan Nam Joo Hyuk) berazam untuk menjadi wartawan selepas meminta untuk dipisahkan buat sementara dengan Na Hee Do (lakonan Kim Tae Ri). “Aku akan pergi ke Seoul. Tempat untuk melepaskan diri,” kata Baek Yi Jin sebagai janjinya sebelum berpisah dengan Na Hee Do.

Sementara itu, berpandukan cogan kata yang tertera sebagai azimat buatnya, Na Hee Do sebagai atlet lawan pedang berpagar pula memperoleh kemenangan bersejarah di Kejohanan Dunia. “Jaga diri di Sukan Asia nanti dan orang yang bagi kamu pisau ini. Jangan pulun terlalu kuat sangat”, begitulah kata-kata semangat pemberian Baek Yi Jin yang dipahatkan sebagai kalam bagi mengiringi Na Hee Do ke mana-mana saja.

Di dalam drama ini, Nam Joo Hyuk memegang watak Baek Yi Jin yang terpaksa membanting tulang membantu keluarganya menjadi wartawan, bertemu pula dengan gadis comel bernama Na Hee Do (lakonan Kim Tae Ri) yang berazam menjadi atlet lawan pedang berpagar setelah dihimpit dengan krisis kewangan IMF yang berlaku sekitar tahun 1998. Oleh sebab drama ini berlatarbelakangkan situasi yang berlaku pada 90-an, ia turut mengingatkan penonton kepada drama tvN Reply 1988 yang pernah popular sebelum ini.

Drama tvN Twenty Five, Twenty One arahan Jung Ji Hyun (“tvN Mr Sunshine”,”SBS The King: Eternal Monarch”) ini boleh ditonton menerusi Netflix (KLIK SINI) setiap Sabtu dan Ahad.

Sumber: sport khan

loading...