Tindakan NingNing Aespa ucap tahniah di atas kemenangan pasukan China tidak disenangi netizen Korea

Tindakan Ningning mengucapkan tahniah di atas kemenangan pasukan China di dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 baru-baru ini mengundang perdebatan di laman komuniti forum Korea.

Seperti dilaporkan oleh Sina Korean Ent., Ningning atau nama sebenarnya Ning Yi Zhou telah mengucapkan tahniah di atas kemenangan pertama pasukan China untuk meraih emas di dalam acara Luncur Laju Landasan Pendek kategori campuran. “Ning Yizhou gigih mempromosikan budaya China merata lebih daripada yang lain,” lapor media itu.

Kendatipun begitu, tindakan NingNing tersebut tidak berapa disenangi oleh sebilangan warga net Korea berikutan pasukan Korea juga turut bertanding di dalam acara tersebut meskipun kalah di peringkat awal. Tambah memeritkan lagi, Kwak Yoon Gy, atlet Luncur Laju Landasan Pendek Korea itu turut melahirkan rasa kecewanya di atas kemenangan pasukan China yang disifatkannya sebagai penjurian berpihak (bias).

“Sekarang ini, dunia sedang memerhati. Adakah korang masih jadi ‘defensive’ setelah melihat apa China buat yakni berlagak sehingga mempromosikan budaya Korea setakat sebagai budaya minoriti China? Sudah berada di Korea tu, patutnya berhati-hatilah,” tulis netizen itu.

Sebahagian yang lain cuba mempertahankannya mengatakan tindakan NingNing itu adalah sesuatu yang normal. Dakwanya, NingNing tidak pernah memberitahu Hanbok sebagai Haifu China atau Kimchi berasal dari China selain tidak memakai barangan anti-Amerika atau barangan sutera buatan Xinjiang. “Apa salahnya, orang China ucap tahniah kepada orang dari negaranya sendiri menang emas?,” tegas netizen itu.

Sementara itu, Aespa baru melancarkan single ‘Dreams Come True’ remake lagu asal dendangan S.E.S pada tahun 1998 dan terbabit di dalam projek bersama GOT The Beat. Mereka dikenali dengan lagu-lagu hit seperti ‘Savage’ dan ‘Black Mamba’.

Sumber: sina news, yonhap news, mksports, pann nate

loading...