Setengah juta unit sudah terjual, ENHYPEN ungguli jualan album terlaris minggu ini, menurut Hanteo & Gaon

ENHYPEN melakarkan sejarah agak baik buat karier nyanyian mereka, apabila meraih jualan album terlaris di Korea di dalam seminggu dengan jualan melebihi setengah juta unit.

Menurut Hanteo, album yang dipanggil sebagai ‘repackaged’ kepada album studio penuh ENHYPEN terdahulu, ‘Dimension: Dilemma’ iaitu ‘Dimension : Answer’ ini, berjaya meraih 510,000 unit di dalam seminggu sekaligus meletakkan mereka no.1 di carta album Gaon minggu ini. ENHYPEN akhirnya mengatasi pencapaian dibuat oleh sekumpulan artis-artis SM Ent., Kim Yo Han, Mirae dan OnlyOneOff masing-masing dengan pengeluaran album terbaru: 2021 Winter SMTOWN: SMCU EXPRESS, Illusion, Marvelous dan Instint di dalam carta yang sama.

Memandangkan album tersebut berbentuk ‘repackaged’ yakni separuh daripada lagu-lagunya pernah dipamerkan di dalam album terdahulu, maka jualan album diperolehi adalah kurang berganda daripada 818,716 unit di dalam seminggu yang dicapai oleh ‘Dimension: Dilemma’ sebelum ini. Namun, ia adalah pencapaian album ‘repackaged’ keempat yang terbaik dalam seminggu selepas ‘Favorite’ oleh NCT (545,872 unit), ‘Hello Future’ oleh NCT Dream ( 681,316 unit) dan ‘Love Yourself: Answer’ oleh BTS (857,727 unit) di dalam sejarah Hanteo.

 

Selain memperolehi kedudukan no.1 di carta album mingguan Gaon, ‘Dimension : Answer’ turut merampas posisi no.1 di dalam carta album mingguan Oricon membukti pengaruh kumpulan itu di bumi Jepun.

‘Dimension : Answer’ mengandungi 11 buah lagu dengan ‘Blessed Cursed’ dijadikan single utama. Dengan gaya terloncat bak ‘pisau menikam’, persembahan ENHYPEN dengan lagu berkenaan turut membawa pulang trofi kemenangan di Show Champion semalam.

Sumber: mksports

loading...