Sebilangan kecil netizen dari luar negara, terutamanya dalam kalangan peminat Blackpink menyatakan rasa meluat dan tidak berpuas hati mereka terhadap desas-desus percintaan terjalin di antara Jennie Blackpink dan G-Dragon Big Bang.
Menurut Dispatch, hubungan percintaan kedua-duanya daripada agensi yang sama itu telah terjalin selama setahun sehingga mencetuskan kejutan buat peminat yang tidak terlintas sama sekali di dalam fikiran mereka. Gosip percintaan tersebut dilaporkan di beberapa dada akhbar popular di serata dunia.
YG Ent. yang dipetik berkata, “Sangat sukar untuk kami mengesahkan hal-hal peribadi melibatkan artis-artis jagaan kami,” dan di dalam masa yang sama, tidak menyangkal gosip yang sedang bertebaran itu. Rata-rata netizen menggelarkan mereka sebagai ‘Pasangan Chanel’ merujuk kepada jenama Chanel yang sering dipopularkan kedua-dua artis Kpop tersebut.
Bagaimanapun, tidak ramai yang boleh menerima gosip berkenaan kerana ada di antaranya telah meletakkan komentar-komentar berunsurkan kebencian di laman instagram milik G-Dragon. Antara bacaan komentar yang dapat dilihat seperti, “Jauhi Jennie, orang tua,”,”Bebaskan Jennie”,”Jennie layak dapat lelaki lebih baik”.
Malah dilaporkan pada pagi tadi, seorang netizen membuat aduan terhadap G-Dragon kerana didapati merokok di jalanan ketika tempoh kuarantin dikuatkuasakan berdasarkan gambar yang dipetiknya daripada media Dispatch.
“Aku harap majlis perbandaran Seoul dapat menyemak tempat di mana gambar itu diambil, dan sekiranya insiden itu berlaku, aku mahu G-Dragon dihukum,” tulis netizen tersebut.
Jennie Blackpink pernah menjalinkan hubungan cinta sekejap dengan Kai EXO pada tahun 2019 manakala G-Dragon pula pernah dilaporkan bercinta dengan Kiko Mizuhara dan Lee Juyeon After School sebelum ini.