Lee Je Hoon, Esom dan Kim Eui Sung telah pun menyatakan persetujuan mereka untuk membintangi drama ‘thriller’ SBS terbaru berjudul, Deluxe Taxi.
SBS Deluxe Taxi yang diadaptasikan daripada webtoon dengan judul sama, berkisarkan tentang teksi yang menyediakan perkhidmatan khususnya buat mereka yang mencari seseorang untuk membalas dendam. Pemandu teksi berkenaan akan menunaikan hasrat pelanggan itu dengan membawa penumpang dan membalas dendam bagi pihaknya.
Lee Je Hoon akan membawakan watak Kim Do-ki, seorang yang begitu berkeyakinan tinggi, juga berkemahiran tinggi, namun hidupnya jadi terumbang-ambing apabila mendapati ibunya menjadi mangsa pembunuh bersiri. Kim Do Ki memilih bekerja sebagai pemandu teksi di bawah naungan syarikat Rainbow Taxi, kendalian CEO Jang Sang Cheol (bakal dilakonkan oleh Kim Eui Sung).
Esom pula akan memegang watak Kang Ha Na, seorang pendakwaraya yang memilih kerjaya ini setelah menyaksikan pendakwaraya mampu menghukum pesalah dengan kejam tetapi masih dipuji merata manakala Naeun APRIL pula sedang mempertimbangkan tawaran watak tertentu yang diberikan kepadanya.
Lee Je Hoon yang pernah memenangi Best Supporting Actor CARI Kdrama Awards menerusi drama SBS Secret Door ini dikenali dengan watak detektif profiler di drama tvN Signal. Manakala Esom yang lebih sibuk dengan perfileman, pernah dikenali menerusi drama-drama seperti tvN Because This Is My First Life di mana beliau menerima pencalonan Best Supporting Actress CARI Kdrama Awards. Dalam masa yang sama, Lee Je Hoon juga mempunyai projek drama bersama Netflix berjudul Move To Heaven.
SBS Deluxe Taxi yang bakal mendapat sentuhan sutradara Park Joon Woo (“SBS Doctor Detective”) dan penulis skrip Oh Sang Ho ini, bakal disiarkan menjelang musim bunga tahun 2021.
Sumber: OSEN