5 Drama Romantis Korea Penuh Tragis & Menyayat Hati Ini Mesti Ditonton Setidaknya Sekali Seumur Hidup

Sekian lama dahulu, drama korea tak pernah suram dengan genre berbentuk melodramatik yang menjadi tunjang kepada “hallyu” sebelum genre romantik komedi mula menguasai kemudiannya. KBS Autumn In My Heart, KBS Winter Sonata, dan SBS Stairway To Heaven antara yang menjadi penyebab utama penonton Malaysia mula menjinakkan diri mengenali drama-drama korea. Kerana pendekatan kekuatan emosi yang sangat mendalam untuk menunjukkan betapa peritnya penderitaan dialami watak-watak dalam drama berkenaan di samping kisah “percintaan” mereka yang diolah seakan-akan realistik ibarat romeo dan juliet, melodramatik korea sesuatu yang unik diketengahkan. Pendekatan sebegini menjadikan drama korea tampak begitu menyedihkan dan memilukan, sehingga ada yang tak sanggup menontonnya sehingga habis. Bahkan, jika ianya berakhir dengan kisah tragis yang terpalit pula dengan situasi drama di dalam drama berkenaan, sudah pasti menjadi sesuatu naskah yang sukar dilupakan.
Mari kita lihat senarai 10 drama romantis tragis dan memilukan. Walaupun tak semua drama korea yang sedih berakhir dengan tragedi, tetapi kebanyakannya juga mempunyai “ending” yang “sedih tapi gembira” dan pengalaman menontonnya pasti membuatkan sesiapa saja bakal mengesatkan air mata.

1. [KBS] I am Sorry I Love You (MISA) – 2004

Setelah berfikir banyak kali, drama ini harus diletakkan di tempat pertama. Penangan ditunjukkan teraju utama So Ji Sub dan Im Soo Jung sukar untuk dilupakan lagi-lagi jalan ceritanya yang begitu memeritkan hati. MISA berkisarkan tentang seorang lelaki, Moo Hyuk yang dibuang keluarganya ke luar negara, hidup berpeleseran tanpa arah tujuan . Satu hari, dia dipertemukan dengan seorang gadis malang, Eun Chae yang ditinggalkan terkontang-kanting di tengah jalan. Moo Hyuk bukan saja melindungi Eun Chae daripada diperkosa oleh penyangak jalanan, bahkan berjaya mendapatkan barangan Eun Chae yang dicuri mereka sebelum ini. Eun Chae kembali semula ke Korea dengan perasaan menaruh hati pada Moo Hyuk. Tetapi malang tak berbau, Moo Hyuk pula ditembak di kepala semasa menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasihnya. Doktor menganggarkan jangka hayat Moo Hyuk hanya setahun saja. Bermula dari sini, percintaan di antara Moo Hyuk dan Eun Chae seringkali berhadapan dengan rintangan dan dugaan berpanjangan.

(*Spoiler* – Bagi yang belum menonton, tidak disarankan untuk membaca perenggan seterusnya)

KLIK untuk tunjukkan perenggan seterusnya

Semasa mencari keluarga sebenarnya di korea, Moo Hyuk mendapati ibu dan adiknya hidup bahagia lalu membuatkan Moo Hyuk bertekad untuk membalas dendam. Namun, apabila mengetahui serba sedikit cerita sebenar di sebalik pengabaiannya sebelum ini, Moo Hyuk tawar hati dan berasa serba salah sehinggalah dia mendapati wanita yang dia cintai adalah adik kembarnya sendiri yang terpisah. Tambahan lagi, adik lelakinya pula kemalangan dan memerlukan organ transplan. Moo Hyuk tanpa berfikir panjang membuat keputusan yang sangat dramatik, meninggalkan wasiat kepada Eun Chae, “I am Sorry, I Love You” sebelum dia mencabut nyawanya sendiri.

Setahun kemudian, Eun Chae yang masih tak dapat lupakan Moo Hyuk melawat kuburnya. Eun Chae mengusap kubur sambil meratapi pemergian Moo Hyuk. Eun Chae meninggalkan surat seperti berikut sebelum membunuh diri,

“Tika dia hidup, dia masih keseorangan. Aku tak boleh tinggalkan keseorangan sekali lagi. Untuk pertama kali dalam hidupku, aku membuat keputusan sendiri. Aku akan terima apa saja hukuman yang menanti. Song Eun Chae.”

Pengakhiran MISA yang agak tragis dan memilukan mungkin sukar ditandingi mana-mana melodramatik korea yang lain kerana memainkan emosi dalaman seorang yang terpaksa “berpisah”, kerana mencintai saudara kandungnya. Keputusan menamatkan nyawanya sendiri dibuat kerana “memprotes” takdir yang menemukan mereka sebagai pasangan yang bercinta.

2. [KBS] Princess’s Man – 2012

Princess’s Man, merupakan drama yang harus ditonton bagi peminat yang mendahagakan cerita-cerita yang berinspirasikan cinta yang terhalang akibat dua keluarga yang bermusuhan antara satu sama lain. Digelar sebagai “Romeo & Juliet” versi Korea, Princess’s Man yang dibintangi oleh Park Shi Hoo dan Moon Chae Won ini, berkisarkan tentang Kim Seung Yoo, anak lelaki kedua kepada perdana menteri di bawah pemerintahan Raja Munjong, Kim Jeong So yang mencintai seorang gadis yang yang disangka olehnya sebagai puteri raja setelah ditugaskan untuk mengajarnya di kamar baca istana. Gadis itu yang bernama Lee Se Ryung, menyamar sebagai puteri raja bagi membolehkan dirinya bersemuka sendiri dengan bakal suaminya itu selepas ayahnya, Putera Diraja Suyang menghantar utusan pinangan anaknya itu kepada Kim Jeong So. Ironinya, Lee Se Ryung yang luarannya kelihatan daripada kalangan mereka yang bergelar ‘yangban’ yakni golongan bangsawan di zaman dinasti Joseon Korea, adalah seorang yang lincah dan amat gagah berani itu akhirnya telah menambat hati Kim Seung Yoo, untuk dijadikan teman hidupnya sepanjang hayat.

Namun, kesetiaan tidak berbelah bagi Kim Jeong So pula terhadap Raja Munjong dan dek kerakusan kuasa ditunjukkan oleh Putera Diraja Suyang secara terang-terang telah mendesak Kim Jeong So untuk menolak permintaan Putera Diraja Suyang dengan menerima perintah Raja Munjong supaya meminangkan puteri raja sebenar, Gyeong Hye kepada Kim Seung Yoo sebaliknya. Putera Diraja Suyang pula menganggap penolakan pinangan itu medan terakhir yang akan berlakunya pertumpahan darah di antara mereka.

Di sebalik pergolakan politik yang berlaku di istana, Kim Seung Yoo masih tidak menyedari bahawa Lee Se Ryung, gadis yang hanya dikenalinya ketika itu sebagai dayang istana, merupakan anak kepada musuh politik ayahnya sehinggalah tragedi pembunuhan yang menimpa ke atas keluarganya yang dipelopori sendiri oleh Putera Diraja Suyang. Hati Kim Seung Yoo ibarat dihiris sembilu apabila mengetahui identiti sebenar Lee Se Ryung. Diselangi dengan bayangan saat-saat terakhir kematian ayah dan abangnya, Kim Seung Yoo beriktihar untuk menamatkan nyawa Lee Se Ryung dan Putera Diraja Suyang dengan tangannya sendiri.

(*Spoiler* – Bagi yang belum menonton, tidak disarankan untuk membaca perenggan seterusnya)

https://www.youtube.com/watch?v=cdvg0jX–2k

KLIK untuk tunjukkan perenggan seterusnya

Tahun demi tahun silih berganti, Kim Seung Yoo hidup di dalam pelarian dengan hanya berbekalkan dendam kesumat yang harus ditunaikan manakala Putera Diraja Suyang telah ditabalkan sebagai Raja Sejo setelah memaksa raja sebelumnya melepaskan takhta dengan Lee Se Ryung pula menjadi puteri diraja. Pertautan semula di antara Kim Seung Yoo dan Lee Se Ryung kemudian telah membuka hati Kim Seung Yoo untuk menerima Lee Se Ryung semula seadanya dan bukan lagi menganggapnya sebagai musuh yang harus dibunuh.

Dilema kerana kejahatan ayahnya yang menghalalkan pertumpahan darah bagi membolehkannya untuk memegang tampuk kekuasaan, Lee Se Ryung memahatkan kata-kata yang menusuk sanubari Raja Sejo di hadapannya, “Badan anak lahir dari tubuh badan ibu dan bapanya, maka menjaganya dengan penuh hati-hati adalah untuk menghormati ibubapanya,” lalu mengerat rambutnya bagi memutuskan pertalian ‘darah’ di antara anak dan ayah. Tindakan Lee Se Ryung menyebabkan Raja Sejo amat kecewa kerana anak yang paling disayangi dan ditatang penuh kasih sayang itu, telah ‘mengkhianatinya’ dan memilih untuk melayari hidup bersama dengan musuh yang mesti dibunuh, Kim Seung Yoo.

Walaupun drama ini diinspirasikan daripada kisah “Romeo & Juliet”, tidak semuanya akan berakhir dengan kisah sedih. Apapun, drama Princess’s Man ini mencapai pengakhiran dengan Kim Seung Yoo melupakan segala dendamnya, dan memilih untuk hidup bahagia dengan isterinya, Lee Se Ryung dengan anggapan mereka telah “mati” di mata masyarakat.

Bagi mereka yang kurang sukakan drama bercirikan sageuk, Princess’s Man pastinya akan memberikan pengalaman berbeza dengan garapan cerita penuh syahdu serta penangan OST yang amat mengasyikkan.

3. [SBS] Stairway To Heaven – 2003

Peminat drama klasik pasti tak dapat melupakan Stairway To Heaven, sebuah drama yang pastinya menyayat hati dari mula sehinggalah ke akhir cerita ditambah lagi alunan gospel Ave Maria membuatkan penonton terbuai-buai perasaan. Diolah dengan jalan cerita mirip Cinderella, Han Jung Suh (lakonan Choi Ji Woo) didera secara mental dan fizikal oleh ibu tiri dan adik perempuan tirinya, Han Yoo Ri (lakonan Kim Tae Hee) selepas ayahnya berkahwin baru. Hidupnya sedikit gembira apabila menemui lelaki yang mencintai dirinya, Cha Song Joo (lakonan Kwon Sang Woo) dan abang tiri yang sentiasa menyebelahinya.

Pada suatu masa, Song Joo terpaksa diterbangkan ke luar negara untuk menyambung pelajaran dan balik menunggu ketibaan Jung Suh yang berjanji akan kekal setia bersamanya. Namun, penantiannya hampa apabila mengetahui Jung Suh telah lama meninggal dunia setelah diberitahu oleh keluarga Jung Suh. Walaubagaimanapun, Jung Suh sebenarnya terselamat daripada kemalangan tersebut tetapi hilang ingatan dan disembunyikan oleh abang tirinya daripada perhatian keluarganya.

Song Joo terpinga-pinga apabila menyaksikan kelibat Jung Suh di depannya dan hati kecilnya kuat mengatakan bahawa wanita itu ialah Jung Suh dengan nama samarannya Kim Ji Soo. Berkali-kali Song Joo menyakinkan Jung Suh bahawa dialah gadis yang dicintainya sehingga akhirnya Jung Suh mengingati semula kejadian di mana dia terbabit dalam kemalangan dan tak sempat menemui Song Joo seperti dijanjikan dulu. Mereka dapat bertaut semula.

(*Spoiler* – Bagi yang belum menonton, tidak disarankan untuk membaca perenggan seterusnya)

Adegan Kwon Sang Woo meluahkan rasa kasihnya terhadap Choi Ji Woo di dalam Stairway To Heaven, dijadikan ‘meme’ di dalam drama tvN Crash Landing On You.
KLIK untuk tunjukkan perenggan seterusnya
Dugaan kembali menghantui Jung Suh apabila dia didapati menghidap penyakit kanser mata pula. Kanser mata tersebut menyebabkan Jung Suh kehilangan penglihatannya dari ke hari. Kerana tak mahu melihat Song Joo menderita, Jung Suh mengarahkan abang tirinya memisahkan mereka. Tetapi, Song Joo tetap setia walaupun Jung Suh telah menjadi buta sepenuhnya. Penonton dapat menyaksikan adegan yang meruntun kalbu apabila menyaksikan Jung Suh terkapai-kapai mencari Song Joo setelah penglihatannya kian kabur.

Pengakhiran drama ini bertambah sadis apabila kanser mata yang dihidapi oleh Jung Suh merebak sehingga menyebabkan nyawanya semakin terancam. Jung Suh akhirnya rebah di pangku suaminya, Song Joo yang meratapi pemergiannya. Song Joo memainkan piano di tepi pantai berdekatan dengan rumah tempat mereka tinggal sambil mengingati memori silam mereka bersama.

4. [tvN] Mr. Sunshine – 2018

Penulis skrip paling popular di Korea, Kim Eun Sook tak pernah sekali menghasilkan drama yang berakhir dengan cerita yang begitu sadis dan memilukan hati penonton, terbukti dengan hasil nukilannya seperti drama KBS Descendants of The Sun, SBS Secret Garden, SBS Lovers In Paris, tvN Goblin dan SBS Heirs. Namun, beliau telah memecahkan tradisi tersebut dengan nukilan penuh syahdu tapi ‘humour’ pada permulaannya dengan berlatarbelakangkan zaman pra-kolonial Jepun ke atas Korea yang diberikan judul sebagai tvN Mr. Sunshine.

“Mr. Sunshine” adalah sebuah bertemakan sejarah yang mengisahkan seorang lelaki Korea yang menaiki sebuah kapal perang semasa Shinmiyangyo, sebuah ekspedisi Amerika Syarikat ke Korea pada tahun 1871. Dia kemudian kembali ke negara asalnya sebagai seorang askar Amerika pada era zaman kejatuhan kerajaan Joseon. Eugene Choi (lakonan Lee Byung Hun) merupakan anak orang suruhan berkelas bawahan di mana ibu bapanya dibunuh oleh tuannya. Di saat dia melarikan diri, dia mengikuti tentera Amerika yang sedang yang bersiap sedia mahu pulang ke negara mereka. Eugene Choi bekerja keras sehingga ditabalkan dengan jawatan tinggi dan akhirnya ditugaskan untuk kembali semula ke Joseon, tanah air nya tersendiri.

Ketika ditugaskan di Joseon, Eugene berkawan baik dengan seorang wanita bangsawan bernama Ko Ae Shin (lakonan Kim Tae Ri) yang merupakan pelopor anti-penjajahan Jepun, dinamakan sebagai “Righteous Army” (uibyeong). Ae Shin diajarkan seni mempertahankan diri serta kemahiran untuk membidik senapang dan senjata api oleh orang kepercayaan datuknya, dan akhirnya secara perlahan-lahan terjebak menjadi anggota pasukan pemberontak rahsia. Ae Shin akan memakai topeng pada waktu malam untuk menyembunyikan identitinya tersendiri. Hubungan atas dasar kawan bertukar pada percintaan dan kedua-duanya akan saling melindungi antara satu sama lain.

(*Spoiler* – Bagi yang belum menonton, tidak disarankan untuk membaca perenggan seterusnya)

KLIK untuk tunjukkan perenggan seterusnya

Pertempuran antara kerajaan Joseon yang disokong oleh “Righteous Army” dengan kolonial Jepun akhirnya mencapai kemuncaknya. Anggota-anggota mereka yang hebat termasuklah Dong Mae (lakonan Yoo Yeon Seok), pahlawan samurai yang tak pernah langsung takut berhadapan dengan musuh, dan juga wartawan perisik rahsia, Kim Hee Sung (lakonan Byun Yo Han) tersungkur di tangan penjajah. Mereka dibunuh dengan begitu kejam dan rakus sekali. Sementara itu, Eugene Choi dan Ae Shin dicari sehingga mereka akhirnya tiada pilihan terpaksa berhadapan dengan deretan tentera Jepun di dalam sebuah gerabak keretapi sewaktu berlepas ke Pyeongyang. Di situ jua, takdir memisahkan Eugene Choi dan Ae Shin buat selama-lamanya apabila Eugene Choi mengambil keputusan untuk mengarahkan Ae Shin ke belakang gerabak bagi mempertahankan Ae Shin ditembak oleh askar Jepun tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=OgXaBZ4LE8Q

“Maju ke depan kerana aku terpaksa berpatah balik ,” kata-kata akhir dilemparkan pada Ae Shin dengan penuh senyuman sebelum menghembuskan nafas terakhir nya. Ae Shin berteriak ketangisan melihat tubuh Eugene yang terbujur kaku kerana tak mampu menahan lagi keperitan akibat kehilangan orang yang menyayangi dirinya lebih daripada dirinya sendiri. Walaupun akhirnya Korea tetap dinaungi oleh Jepun, namun Ae Shin tetap bangkit menghimpunkan pasukan di bawah arahannya kali ini di Manchuria, China seperti pesanan akhir tertulis dalam surat yang dikarang oleh Eugene kepada Ae Shin, “Adakah kau masih pertahankan Joseon? Maka, lakukannya. Ae Shin bersemangat waja dan aku cintai Ae Shin dengan sepenuh hati. Sekarang, aku ucapkan selamat tinggal.”

5. [tvN] Chicago Typewriter – 2017

Lain daripada norma kebiasaan, Chicago Typewriter bermain dengan konsep penjelmaan semula (‘reincarnation’), yakni mereka yang hidup sekarang mengubah diri ke arah lebih baik berlandaskan pada memori mereka kecapi di masa lalu. Han Se Ju (lakonan Yoo Ah In), seorang penulis novel terkenal dan Jeol Sol (Im Soo Jung), peminat novelis telah dijelmakan semula di masa kini berdasarkan roh mereka di masa lalu, Seo Hwi Yong dan Ryu Soo Hyun yang berjuang memerdekakan tanah Korea daripada jajahan Jepun (1930-an) . Yoo Jin Oh (lakonan Gong Jung Pyo) pula ialah hantu yang menghuni mesin taip Chicago (‘Chicago Typewriter’) bertahun-tahun sehingga dia menemui Han Se Ju yang mirip kawan baiknya, Seo Hwi Yeong. Motif kenapakah Yoo Jin Oh mencari Han Se Ju dan menemukannya dengan Jeol Sol diperjelaskan di dalam drama ini satu-persatu di dalam bentuk penyelongkaran misteri awalan episod.

Drama ini diakui antara paling ‘subtle’ pernah ditulis oleh Jin So Wan berbanding Kill Me Heal Me yang lebih provokatif dan Moon Embrace The Sun yang lebih ‘direct-to-the-point’ . Aturan dramanya sangat perlahan, dan membuatkan sesetengah pada permulaan cerita agak meluat dengan perangai Han Se Ju yang menjengkelkan, dingin dan pentingkan diri sendiri. Namun, di sebaliknya, penonton drama akan didedahkan juga dengan perwatakan Seo Hwi Yong yang lebih kurang sama dengan Han Se Ju tetapi tampak karismatik dan memenuhi kriterianya sebagai seorang pemimpin. Yoo Jin Oh membantu merungkaikan persoalan penjelmaan semula Han Se Ju di mana Han Se Ju dapat menyelami dilemanya jika dia menuruti kehendak Yoo Jin Oh menyambungkan novel tertangguh, Seo Hwi Young pada masa lalu. Plot cerita drama ini dirungkai satu demi satu setelah penulisan novel tersebut bergerak dari satu bab ke bab yang lain. Memori mereka pada masa silam tersebut tercetus satu-persatu di fikiran masing-masing lalu membawa kepada ‘kesimpulan’ yang mantap diterangkan di penghujung cerita.

(*Spoiler* – Bagi yang belum menonton, tidak disarankan untuk membaca perenggan seterusnya)

KLIK untuk tunjukkan perenggan seterusnya
Tak pernah diduga drama sebegini, berakhir dengan kisah yang mengayatkan hati seperti di dalam ulasan penulis,

Plot ‘tersembunyi’ yang penuh kemisterian di awalan cerita betul-betul menduga kesabaran. Penulis drama ini seorang yang licik seperti juga watak Han Se Ju, dilakonkan oleh Yoo Ah In telah memperdayakan imaginasi penonton ke arah genre romantik komedi yang ‘chessy’, sebaliknya menyimpulkannya dengan dasyat dan penuh melodramatik sehingga menusuk hati di akhir cerita, sekaligus menutup kelemahan sedia ada. Dibantu dengan teknik pengarahan yang ‘subtle’ dan lakonan cemerlang ketiga-tiga pelantun drama, Chicago Typewriter sesuatu drama yang tak boleh langsung dilepas pandang” – daus.

Walaupun Chicago Typewriter berakhir dengan kehidupan lebih baik di masa depan, namun sebaliknya berlaku pada penjelmaaan mereka lebih 50 tahun yang lalu. Berdepan dengan perjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan Jepun, novelis Seo Hwi Yong dengan berat hati terpaksa melepaskan gadis yang dicintainya, Ryu Soo Hyun seorang pejuang kebebasan, tanpa pernah meluahkan perasaan kepadanya. Baginya, perjuangan kemerdekaan lebih penting dan harus diutamakan. Setelah dia mati, rohnya menemui gadis itu dalam penjara lalu meluahkan perasan cinta terhadapnya.

“Dalam kehidupan yang lain, aku akan menjadi orang pertama yang mengecammu. Aku akan kembali. Apa saja berlaku, aku akan kembali mencarimu.” – kata-kata Seo Hwi Yong ditujukan ke atas Ryu Soo Hyun.

Tidak boleh menerima hakikat kematian Seo Hwi Yong, Ryu Soo Hyun berazam untuk membalas dendam lalu membunuh kesemua yang telah mengkhianati perjuangan kumpulan mereka termasuklah kawan kepada mereka sendiri. Setelah selesai misinya, dia rebah ke atas dahan pokok sambil menatap jam peninggalannya.

Selain daripada 5 drama di atas, berikut merupakan beberapa drama-drama romantis dengan kisah tragik pilihan penulis yang boleh dipertimbangkan:

1. [tvN] The Smile Has Left Your Eyes

2. [MBC] Sad Love Story

3. [KBS] A Love To Kill

4. [KBS] Cruel Love / Bad Love

5. [SBS] 49 Days

6. [MBC] Gu Family Book

7. [SBS] What Happened in Bali

8. [KBS] Uncontrollably Fond