Air mata dan suasana penuh emosi mengiringi konsert terakhir BTS “Love Yourself: Speak Yourself”

Berakhir sudah siri jelajah dunia untuk konsert “Love Yourself” buat BTS dan ARMY yang telah meninggalkan kenangan yang tidak ternilai buat keduanya.

Pada 29 Oktober, BTS telah mengadakan konsert untuk hari ketiga dan yang terakhir bagi “Love Yourself: Speak Yourself [The Final]” di Stadium Olympic, Seoul. Ini merupakan lokasi terakhir kumpulan tersebut dalam siri jelajah “Love Yourself” yang bermula pada Ogos 2018 dan konsert ini diperluaskan lagi siri jelajahnya dengan “Love Yourself: Speak Yourself,” di mana ia menyaksikan BTS berkunjung diseluruh dunia. BTS juga telah mengadakan konsertnya di Rose Bowl dan Webley Stadium. Sepanjang tiga hari konsert yang terakhir ini diadakan, ia menyaksikan kehadiran lebih daripada 130,000 orang peminat.

Apabila BTS memulakan persembahan untuk konsert mereka pada 29 Oktober, RM meraikan kehadiran peminat ke konsert terakhir mereka dan berjanji akan melakukan yang terbaik. V kemudian berkata, “Kami akan menggunakan kesemua tenaga yang kami ada.”

Suga pula berkata, “Adakah korang masih ingat kali pertama kita bertemu di Stadium Olympic ini? Rasa seperti baru semalam dan saya seperti sedang bermimpi tapi sebenarnya dah setahun lamanya.” RM turut menambah dan menyatakan, “Apapun terima kasih semua kerana kamu, kami dapat buat konsert dalam setahun dipelbagai destinasi.”

BTS telah menyampaikan hampir semua lagu hit dan lagu kesukaan peminat sepanjang konsert berlangsung, termasuk persembahan lagu solo masing-masing.

Sepanjang konsert, J-Hope menyatakan ia adalah persembahan yang ke 62 sepanjang siri jelajah tersebut,”Ia sangat menakjubkan.” Kemudian dia meminta ahli-ahli lain untuk menyatakan persembahan secara solo yang telah memberikan impak yang besar buat mereka.

Jungkook memilih persembahan “Serendipity” dari Jimin manakala Jin pula memberitahu, “Saya tidak boleh lupakan kali pertama saya lihat Suga mempersembahkan ‘Seesaw’ pada tahun lepas.” Jimin berkata, “Saya rasa kesemua lagu solo masing-masing cukup berharga. Kita semua akan terus bergembira dan berhibur sampai ke akhir konsert, kan?”

Jungkook bercanda dengan mengatakan inilah masa untuk mereka lihat J-Hope persembahkan lagu “Chicken Noodle Soup,” sehinggakan J-Hope terkejut dan terus memperlihatkan aksinya dengan sempurna.

Pabila mereka selesai membuat persembahan, kesemua ahli BTS muncul dengan suasana yang penuh emosi dan ada di antara mereka yang menitiskan air mata. V memberitahu kepada peminat, “Korang semua dah bekerja keras dalam menyokong siri jelajah konsert kami. Korang boleh katakan siri jelajah ini pendek atau ambil masa yang panjang. Kami dah jumpa ramai ARMY sepanjang kami jelajah dunia dan kini saya tahu, tiada yang lebih indah dari kamu, ARMY. Saya cinta kamu.”

J-Hope berkata, “Kami sekarang ibarat artis yang memenuhi Stadium Olimpik ini untuk tiga hari. Saya rasakan kami telah menerima kasih sayang korang yang tidak terhingga. Ini adalah destinasi terakhir konsert kami. Selalunya saya rasa sedih dan kalau boleh tidak mahu ianya berakhir, Namun, tidak kali ini kerana saya dah banyak belajar melaluinya dan saya juga dah terima lebih daripada biasa. ”

Jimin kemudian memberitahu, “Saya harap korang takkan rasa sedih harini. Daripada bersedih, saya secara peribadi rasa ingin tahu dan teruja untuk meIihat apa yang kita boleh buat dan bagaimana kita akan berseronok pada konsert akan datang. Disebabkan itu, kami akan segera mempersiapkannya.” Jungkook juga turut berkongsi betapa terujanya dia menantikan konsert akan datang dan berkata, “Sebagai balasan atas segala tenaga yang korang berikan kepada kami, kami akan bayar balik dengan memberikan lebih tenaga untuk album dan konsert yang akan ditambahbaik kelak.”

Suga memberitahu, “Jika setiap yang bermula ada akhirnya dan setiap pengakhiran akan ada permulaannya, maka saya rasa konsert ini adalah titik permulaan yang baru.”

Jin berkongsi akan rasa sedihnya ketika menyampaikan lagu solo “Epiphany” kerana dia memikirkan bagaimana dia melakukannya sebelum ini. “Itulah bagaimana perasaan saya ketika menyanyi, tetapi pada akhirnya tatkala saya melihat semua, saya mampu tersenyum sedikit. Saya fikir sesuatu dah berakhir dan saya tidak akan menyanyikan lagu ini lagi. Perasaan saya bercampur-baur, sedih dan gembira. Semasa menyampaikan lagu ‘Mic Drop’ awal tadi, ketika kami menyatakan ucapan terakhir dan mulakan persembahan, semuanya seperti menghimpit perasaan. Saya rasa sesak dengan pelbagai perasaan.”

RM pula memberitahu, “Saya ingin memberikan tepukan kepada BTS dan ARMY yang telah sama-sama bertahan untuk sepanjang 2 tahun setengah ini dalam usaha menyintai diri sendiri.” Dia menyatakan walaupun siri jelajah “Love Yourself: Speak Yourself” telah berakhir, haluan dan perjalanan kita dalam mencari jalan untuk menyintai diri sendiri tidak akan berakhir.

RM dilihat menitiskan air mata dan berkata, “Saya harap ada sesuatu yang lebih baik daripada perkataan ‘cinta,’ tetapi saya sangat mencintai anda. Saya akan terus mengasihi kamu semua dengan lebih lagi pada masa akan datang.

Peminat juga turut mengucapkan terima kasih kepada BTS dengan menggunakan #ThankYouBTS di Twitter dan ianya kini trending diseluruh dunia. Yang nyata kesemua mereka solah tidak puas untuk menikmati lagi konsert BTS. Apapun, tahniah diucapkan kepada BTS dan ARMY atas kerja keras anda semua.

Sumber : SportsToday | enews | xportnews |

Foto dikreditkan seperti yang tertera

loading...