Penyanyi rap, NO:EL atau nama sebenarnya, Jang Yong Joon telah mencapai penyelesaian dengan mangsa sebanyak 35 juta won (~RM0.122 juta) berhubung kemalangan melibatkan keretanya yang merempuh motosikal milik mangsa ketika memandu dalam keadaan mabuk.
Dalam kejadian itu yang berlaku pada 7 September 2019 sekitar jam 2.00 pagi, kandungan alkohol di dalam tubuh NO:EL telah dikesan melebihi paras normal, dengan peratusan sebanyak 0.08 dan sudah memadai untuk membolehkan lesen memandunya dibatalkan. Malah, seperti yang diberitahu oleh mangsa, NO:EL dikatakan telah langgar lari dan tiba lewat di balai polis untuk membantu siasatan. Tambahan lagi, NO:EL dilaporkan dengan sengaja meletakkan seseorang menjadi kambing hitam bagi didakwa atas kesalahan itu sebelum perbuatannya itu kantoi dan mendapat perhatian netizen. NO:EL segera membuat permohonan maaf menerusi agensinya setelah didesak oleh netizen dan lebih memburukkan lagi, statusnya sebagai anak kepada seorang ahli politik ternama di negara tersebut menjadi liabiliti buat ayahnya yang dikatakan telah campur tangan bagi menangani masalah yang dihadapi oleh NO:EL.
Walaubagaimanapun, peguam NO:EL menafikan spekulasi liar yang tersebar tersebut dengan mengesahkan dia hanya datang untuk membantu NO:EL. “Ayahnya, Jang Je Won tidak langsung terlibat atau memujuk mangsa untuk mencapai penyelesaian, ” katanya. Dalam perkembangan berlainan, Jang Je Won juga telah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang telah membocorkan maklumat mengenai kes anaknya.
Sumber: chosun ilbo