Park Eun Bin, Nam Goong Min, Jo Byeong Gyu & Sojin Girls Day sertai drama sukan besbol terbaru, SBS Hot Stove League

Beberapa hari lepas, Park Eun Bin sedang berkira-kira untuk mempertimbangkan drama KBS Welcome di samping Myung Soo L. Walaupun beliau belum lagi menolak tawaran drama berikut, hari ini Park Eun Bin sebaliknya telah bersetuju untuk membintangi drama SBS Stove League pula bersama Nam Goong Min, pemenang Best Supporting Actor 5th CARI Kdrama Awards ini, yang telah mengesahkan projeknya yang berikut pada hari kelmarin.

SBS Hot Stove League berkisarkan tentang bagaimana seorang pengarah baru ditugaskan untuk memastikan kelab liga besbol kelolaan tersedia untuk bertanding di dalam beberapa musim akan datang. Park Eun Bin akan memegang watak sebagai Lee Se Young, pengurus kelab sukan professional besbol, Dreams. Lee Se Young mengimpikan untuk menjadi antara mereka yang ke hadapan dalam memacu kelab besbol idamannya, dan beliau sering menyimpan bingkisan nota-nota sebagai khazanah yang mahu diselongkarnya apabila perlu. Lee Se Young satu-satunya pengurus perempuan dan termuda sekali dalam kalangan kelab liga besbol yang ternama. Beliau tidak berputus asa dalam memastikan kejayaan Dreams. Manakala, Nam Goong Min pula ditawarkan watak pengarah kelab Dreams bernama Baek Seung Soo yang sering bercanggah pendapat dengan Lee Se Young dalam menentukan hala tuju kelab dan bagaimana mereka menghadapi situasi kritikal untuk menyelesaikan masalah pemain satu persatu.

Tidak dapat dipastikan watak apakah akan diberikan pada Jo Byeong Gyu dan Sojin Girls Day. Berdasarkan sumber tak rasmi, Jo Byeong Gyu berkemungkinan akan melakonkan watak pemain besbol yang bernaung di bawah kelab Dreams. Kedua-duanya masih lagi mempertimbangkan tawaran diberikan kendatipun minoriti laporan media sudah pun mengesahkan penglibatan Sojin Girls Day di dalamnya.

Nam Goong Min baru saja membintangi drama KBS Doctor Prisoner yang meraih ratings agak tinggi buat cenel berkenaan pada sekitar Mei 2019 lepas. SBS Hot Stove League bakal ditulis oleh Lee Shin Hwa dan diarahkan oleh Jung Dong Yoon, serta dirancangkan siarannya menjelang November ini selepas SBS Vagabond berakhir.

Sumber: IS Plus , my daily, chosun ilbo , ytn

loading...