Dua bintang lagenda k-pop ini bakal kembali menyerikan industri hiburan Korea. Pastinya para peminat menunggu buah tangan terbaru dari artis kegemaran masing-masing terutamanya artis yang telah lama menyepikan diri.
Kim Hyun Joong
Nampaknya Kim Hyun Joong bakal kembali dengan album terbaru. Kali terakhir beliau menghasilkan album versi Korea adalah pada tahun 2017 menerusi mini album berjudul “Haze” manakala “Take my hand” dan “Wait for me” adalah album versi Jepun yang dihasilkan tahun lepas.
Pada 29 Januari, Kim Hyun Joong secara rasminya telah mengumumkan bahawa beliau akan mengeluarkan studio album terbaru pada bulan hadapan. Album yang diberi judul “New Way” akan dirilis secara atas talian pada 4 Februari, jam 6 petang KST. Untuk album terbaru ini, Kim Hyun Joong bukan sahaja sebagai penulis lagu dan pencipta lirik, malah beliau juga secara langsung terlibat dengan penyusunan lagu serta penghasilan trek. Antara lagu yang bakal dimuatkan dalam album ini dihasilkan oleh penyanyi merangkap penulis lagu LYON dan Park Joon Hyung iaitu Julie Dream ; pelopor kumpulan muzik Indie.
Kim Hyun Joong juga bersiap sedia untuk mengadakan beberapa buah konsert pada bulan depan sejurus album terbarunya dilancarkan. Penyanyi idol juga pelakon ini akan membuat penampilan di Blue Square IMarket Hall, Seoul pada 9 dan 10 Februari, diikuti di KBS Hall, Busan pada 23 Februari. Antara projek terakhir Kim Hyun Joong adalah menerusi drama lakonannya iaitu KBS “That Time When Time Stops” yang telah bersiaran antara Oktober dan November tahun lepas.
Brown Eyed Girls
Sudah agak lama kita tidak dengar mengenai kumpulan wanita popular Brown Eyed Girls ini. Kumpulan yang dianggotai oleh JeA, Miryo, Narsha dan Gain pernah menggamatkan industri hiburan Korea menerusi lagu “Abracadabra”, “Kill Bill”, “Brave New World”, “Sixth Sense” dan banyak lagi.
Menurut satu laporan eksklusif oleh Sports Chosun, Brown Eyed Girls kini sedang membuat persiapan untuk kemunculan semula yang dikhabarkan pada separuh pertama tahun 2019. Kemunculan mereka kali ini adalah dalam tempoh empat tahun selepas menghasilkan album terakhir mereka “Basic” pada tahun 2015.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kumpulan itu telah mula mengumpulkan lagu yang berkualiti untuk album terbaru mereka. Sumber dari Mystic Entertainment berkata kepada Sports Chosun, “Memang benar bahawa Brown Eyed Girls sedang dalam proses mengahasilkan album terbaru dengan misi untuk membuat kemunculan semula pada separuh pertama tahun ini.”
Sejak tahun 2015, kumpulan Brown Eyed Girls telah berehat dari aktiviti berkumpulan dan menumpukan kepada aktiviti solo masing-masing. Bagaimanapun, Narsha telah meninggalkan agensi Mystic Entertainment pada akhir tahun lepas, namun kedua-dua pihak menyatakan bahawa Narsha akan menjalankan aktiviti promosi bersama ahli-ahli Brown Eyed Girls yang lain.
Kepada peminat kumpulan ini, nantikan kemunculan semula Brown Eyed Girls yang pastinya akan mencuri perhatian ramai tidak lama lagi.
Sumber : Naver | Sports.chosun