Impian Yoongi (Suga) termakbul jua ; BTS tercalon anugerah Grammy buat pertama kali

Mana-mana artis Kpop pun akan mempunyai impian besar untuk menembusi pasaran barat, malah untuk tercalon dalam anugerah muzik paling berprestij di dunia, yakni ‘Grammy Awards’  itu pun sudah menjadi suatu pencapaian membanggakan buat mereka. BTS merupakan kumpulan boyband kpop paling popular masa kini dan diakui kehebatannya dalam memperoleh kejayaan berganda di pasaran muzik Amerika dengan kedudukan no.1 sebanyak dua kali di dalam carta album Billboard 200, selain beberapa konsert mereka yang pastinya ‘sold out’ bertempat di negara Uncle Sam tersebut.

Namun, ‘Grammy Awards’ tak bersandarkan populariti semata-mata kerana syarat dikenakan oleh ‘The Recording Academy’ untuk memenuhi kriteria pencalonan mereka agak ketat dalam memastikan kualitinya seiring dengan populariti yang dicapai. Boleh dibilang dengan jari saja artis kelahiran Asia yang berjaya berbuat demikian. Apabila Suga BTS menyuarakan keinginannya untuk melihat BTS tercalon dalam sesi temuduga bersama majalah J-14, impiannya mungkin sudah terkabul hari ini.

Suga BTS secara berseloroh menyatakan Grammy apabila ditanya apakah langkah diambil oleh BTS seterusnya. 

Dalam senarai nominasi yang dikeluarkan oleh ‘Grammy Award’, Album Love Yourself: Tear oleh BTS mendapat pencalonan dalam kategori Best Recording Package , dikreditkan pencalonan itu ke atas Husky Fox , pengarah seni yang berasal dari Seoul. Album Love Yourself: Tear pernah dipuji para pemerhati pemuzik di atas paparan seni visual dihasilkan. Walaubagaimanapun, mengikut peraturan dikeluarkan oleh Grammy, hanya pengarah seni saja boleh dicalonkan kecuali jika artis berkenaan dikreditkan sebagai pengarah seni bersama. Dan setakat hari ini, wakil agensi BTS, Big Hit Entertainment belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan tentangnya.

Apapun, secara tak langsung, BTS telah memperolehi pencalonan Grammy Awards buat pertama kali, dan menjadi artis Kpop pertama yang berjaya berbuat demikian. Sekiranya mereka menang, pastinya akan menjadi bonus buat kumpulan ini yang mana sukar dicapai oleh mana-mana artis kelahiran Asia sebelum ini.

Sumber: Billboard

loading...