Terlibat Kemalangan Akibat Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol, Aktiviti Hiburan Go Kyung Pyo Terjejas

Pelakon Go Kyung Pyo berdepan kesan terhadap aktiviti seninya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika memandu di bawah pengaruh alkohol pada 14 November. Insiden tersebut turut menyebabkan beberapa produksi rancangan hiburan mengambil tindakan menyunting kemunculannya.

Menurut laporan media Korea, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 pagi di kawasan Donggyo-dong, Mapo-gu, Seoul apabila kereta peribadi yang dipandu Go Kyung Pyo bertembung dengan sebuah kenderaan pembersihan jalan.

Ujian pernafasan mendapati paras alkohol dalam darahnya mencapai tahap yang boleh menyebabkan lesen memandu ditarik balik, iaitu 0.08 peratus atau lebih. Selepas menjalani soal siasat polis, pelakon itu dibenarkan pulang sementara pihak berkuasa meneruskan siasatan berhubung kejadian tersebut.

CL&COMPANY Mohon Maaf Atas Insiden

Susulan kejadian itu, agensi Go Kyung Pyo, CL&COMPANY, mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memohon maaf kepada pihak yang terkesan serta peminat yang kecewa dengan tindakannya.

Menurut agensi tersebut, Go Kyung Pyo mengakui kesalahannya dan amat menyesali perbuatannya. Pelakon itu juga akan menerima segala hukuman yang dikenakan serta bertanggungjawab terhadap kerosakan akibat kemalangan berkenaan, termasuk membuat bayaran ganti rugi.

CL&COMPANY turut memandang serius insiden tersebut dan berjanji akan mengambil langkah lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beberapa Rancangan TV Bakal Menyunting Kemunculannya

Insiden itu memberi kesan kepada beberapa program hiburan yang menampilkan Go Kyung Pyo. Produksi MBC How Do You Play? mengesahkan akan menyunting sebanyak mungkin babak kemunculannya dalam episod khas ’95 Seoul Song Festival’ yang dijadualkan bersiaran pada 14 November.

Langkah sama turut diambil oleh produksi tvN Sixth Sense: B-Side, yang menampilkan Ko sebagai anggota tetap. Babak pelakon itu akan dikurangkan dalam episod 15 November serta episod akhir yang dijadualkan pada minggu berikutnya.

Sementara itu, produksi Amazing Saturday turut merancang untuk menyunting sebanyak mungkin rakaman kemunculan Go Kyung Pyo sebagai tetamu, meskipun tarikh siaran episod tersebut masih belum ditetapkan.

Perkembangan turut melibatkan The Village Barber 2. Menurut laporan OSEN, akaun rasmi tvN joy telah memadam video promosi yang menampilkan Go Kyung Pyo, namun pihak produksi belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status penyertaannya dalam program tersebut.

Selain itu, laporan SBS News menyebut fan meeting solo Go Kyung Pyo berjudul 2026 Go Kyung Pyo Fan Meeting: Now Kyungpyo Night yang dijadualkan berlangsung pada 21 November di Seongam Art Hall, Seoul, turut berdepan kemungkinan perubahan jadual. Setakat laporan tersebut, belum ada pengesahan rasmi mengenai pembatalan acara berkenaan.

Susulan insiden tersebut, beberapa program yang menampilkan Ko Kyung Pyo kini mengambil langkah menyunting kemunculannya, manakala jadual aktiviti hiburan pelakon itu turut terjejas

Sumber: 1 | 2 | 3 | 4