Romantik, komedi dan thriller bertemu dalam kisah penyamaran apabila bekas anggota pasukan khas menyusup masuk sebagai pengawal peribadi seorang pewaris chaebol yang menjadi suspek pembunuhan.
Drama Korea akan datang Love in Disguise lakonan Yim Si Wan dan Seorina (Seol In Ah) bakal menemui penonton seluruh dunia secara eksklusif menerusi Prime Video pada 19 Oktober 2026.
Diadaptasi daripada novel web popular Why Don’t You Know It’s a Girl? yang telah meraih lebih 8.15 juta tontonan di Kakao Webtoon, siri ini menggabungkan elemen romantik, komedi dan thriller menerusi kisah penyamaran serta tarikan yang tidak dijangka.
Love in Disguise mengisahkan Kang Jae Hee (Seorina, seorang bekas anggota pasukan khas yang kini bertugas sebagai detektif polis. Dia ditugaskan untuk melindungi dan menyiasat Yoon Yi Jun (Yim Si Wan), pewaris chaebol generasi ketiga yang dingin dan menjadi suspek dalam kes pembunuhan.
Bagi membongkar kebenaran serta kekal dekat dengan Yi Jun, Jae Hee mengambil keputusan menyamar sebagai lelaki dan menyusup masuk ke dalam pasukan keselamatan peribadinya.
Namun, keadaan menjadi semakin rumit apabila identiti sebenar Jae Hee akhirnya terbongkar dan kedua-duanya terpaksa berdepan dengan perasaan yang tidak pernah mereka jangkakan.
Yim Si Wan Sebagai Pewaris Chaebol Yang Dingin

Yim Si Wan (Squid Game Musim 2 & 3, Run On, Strangers from Hell) membawakan watak Yoon Yi Jun, pewaris seterusnya Taegang Group, sebuah konglomerat terkemuka dalam dunia perniagaan.
Dibebani konflik keluarga dan perhatian umum, Yi Jun telah terbiasa untuk tidak bergantung kepada sesiapa selain dirinya sendiri. Selepas menjadi suspek dalam kes pembunuhan, dia mengambil Kang Jae Hee sebagai pengawal peribadinya.
Kekuatan Jae Hee yang tenang serta kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi mula mencabar rasa tidak percaya Yi Jun terhadap orang lain. Tanpa disedari, dia mula tertarik kepada “pengawal lelaki” tersebut sehingga membuatkan Yi Jun mempersoalkan perasaannya sendiri.
Sehinggalah dia mengetahui rahsia sebenar Jae Hee.
Ketika sesi bacaan skrip, Yim Si Wan turut menarik perhatian menerusi cara beliau membawakan sisi sensitif dan dingin Yi Jun. Perubahan nada suara yang halus digunakan untuk menggambarkan emosi wataknya, termasuk ketika Yi Jun sengaja mewujudkan jarak dengan dunia sekeliling.
Seorina Menyamar Sebagai Lelaki

Seorina (Oh My Ghost Clients, Twinkling Watermelon, Business Proposal) memainkan watak Kang Jae Hee, bekas anggota pasukan khas yang kini menjadi detektif polis.
Jae Hee merupakan seorang wanita yang menyembunyikan sisi kewanitaannya di sebalik penampilan profesional dan kemas. Malah, penampilannya yang tampan sering membuatkan wanita menyangka dia lelaki dan mengajaknya keluar bersama.
Ketika menyiasat kes pembunuhan yang melibatkan Yi Jun, Jae Hee diarahkan untuk menghentikan siasatan. Namun, enggan berputus asa, dia menyamar sebagai lelaki dan memohon pekerjaan sebagai pengawal peribadi Yi Jun.
Sambil memenuhi keperluan Yi Jun sebagai pengawal peribadinya, Jae Hee secara rahsia terus mencari bukti bagi membongkar kebenaran di sebalik kes tersebut.
Dalam sesi bacaan skrip, Seol In Ah pula menghidupkan wataknya dengan tenaga yang ceria serta menonjolkan kekuatan dan keberanian Jae Hee.
Kim Jung Hyun & Yeonwoo Turut Warnai Kisah
Kim Jung Hyun membawakan watak Kim Si Hyun, sahabat rapat Yi Jun serta peguam dalam pasukan undang-undang Taegang Group.

Si Hyun mempunyai personaliti yang serius dan sentiasa menjaga Yi Jun sebagai bosnya, namun dia turut menyimpan sisi misteri yang masih belum diketahui.
Sementara itu, Yeonwoo memainkan watak Lee Hye Jung, setiausaha kepada pengerusi Taegang Group.

Dengan suara yang tenang dan ekspresi wajah yang terkawal, Yeonwoo memberikan aura misteri kepada wataknya. Lee Hye Jung juga digambarkan sebagai karakter yang berubah sepenuhnya selepas waktu bekerja, menjadikan sisi tersebut antara perkara yang menarik untuk dinantikan.
Keserasian antara Yim Si Wan, Seorina, Kim Jung Hyun dan Yeonwoo turut menyerlah ketika sesi bacaan skrip apabila keempat-empat pelakon mendalami watak masing-masing.


Pasukan produksi berkongsi bahawa hubungan tidak dijangka antara karakter-karakter unik dalam drama ini — daripada pewaris chaebol generasi ketiga hinggalah kepada penyiasat wanita yang menyamar sebagai lelaki — bakal memberikan pengalaman yang menggabungkan romantik, komedi dan debaran thriller.
Dengan identiti tersembunyi, siasatan pembunuhan dan perasaan yang semakin sukar disembunyikan, Love in Disguise menjanjikan kisah yang menguji batas antara tugas dan cinta.
Love in Disguise akan ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada 19 Oktober 2026 di Malaysia serta lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia, dengan episod baharu disiarkan setiap minggu.


