“The Remarried Empress” Bakal Tayang Eksklusif Di Disney+ Mulai 4 November

Cinta, nafsu dan perebutan kuasa bakal menguji nasib sebuah kerajaan menerusi epik romantik “The Remarried Empress”, yang akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ mulai 4 November 2026.

Diadaptasi daripada NAVER WEBTOON popular dengan judul sama yang telah meraih hampir 3 bilion tontonan, siri 10 episod ini mengisahkan hubungan antara Permaisuri Navier dan suaminya, Maharaja Sovieshu dari Empayar Timur.

Pada awalnya, Navier dan Sovieshu menjalani kehidupan sebagai pasangan diraja yang bahagia. Namun, hubungan mereka mula retak selepas Sovieshu jatuh cinta kepada Rashta, seorang hamba yang melarikan diri.

Sovieshu sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hati Rashta, menyebabkan kedudukan Navier sebagai permaisuri semakin terancam. Enggan mengorbankan maruahnya, Navier akhirnya bersetuju dengan permintaan Sovieshu dengan satu syarat — dia dibenarkan berkahwin semula dengan Putera Mahkota Heinrey dari Empayar Barat, kerajaan yang menjadi saingan mereka.

Apa yang berlaku selepas itu membawa kepada kisah penuh cinta, nafsu, pengkhianatan dan penyesalan, ketika Navier berusaha mendapatkan kembali kuasa serta maruahnya.

Shin Mina, Ju Jihoon, Lee Jongsuk & Lee Seyoung Bintangi “The Remarried Empress”

Shin Mina (Karma, Hometown Cha-Cha-Cha) membawa watak Permaisuri Navier, manakala Ju Jihoon (Light Shop, The Trauma Code: Heroes on Call) melakonkan Maharaja Sovieshu.

Lee Jongsuk (Big Mouth) pula tampil sebagai Putera Mahkota Heinrey, sementara Lee Seyoung (The Red Sleeve, The Crowned Clown) memainkan watak Rashta, hamba yang melarikan diri dan menjadi perhatian Sovieshu.

Siri ini diadaptasi untuk skrin oleh Yeoh Geena dan Hyun Choongyeol, serta diarahkan oleh Cho Suwon (Still 17, Pinocchio).

Teaser Dedahkan Keretakan Hubungan Navier & Sovieshu

Teaser terbaru memperlihatkan hubungan cinta Navier dan Sovieshu yang pada awalnya begitu erat sebelum mula retak selepas kemunculan Rashta.

Walaupun Sovieshu pernah berjanji, “Walau apa pun yang berlaku, awak tetap satu-satunya isteri saya,” pendiriannya mula berubah apabila dia semakin jatuh cinta kepada Rashta.

Navier hanya mampu menyaksikan perubahan tersebut sambil berkata, “Saya tak pernah terfikir perkara ini akan berlaku kepada saya.”

Namun, kemunculan Heinrey, yang digambarkan sebagai “putera playboy dari kerajaan musuh”, membawa perubahan baharu dalam hidup Navier.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Sovieshu akhirnya meminta perceraian daripada Navier. Namun, daripada menolak permintaan tersebut, Navier dengan tenang menjawab, “Saya terima perceraian ini.”

Walaupun berdepan situasi yang tidak dijangka, Navier tetap tenang dan menjaga maruahnya, membuatkan penonton tertanya-tanya apakah langkah seterusnya yang bakal diambilnya.

Poster karakter terbaharu turut memberikan gambaran mengenai kedudukan setiap watak. Navier dengan berani mengumumkan, “Saya memohon persetujuan untuk berkahwin semula,”

manakala Sovieshu menyatakan, “Saya mesti menceraikan permaisuri.”

Sementara itu, Heinrey hadir dengan penuh keyakinan menerusi kata-kata, “Satu penghormatan dapat bertemu dengan Tuanku, Permaisuri.”

Rashta pula kelihatan semakin bahagia selepas kehidupannya berubah menerusi hubungannya dengan Sovieshu.

Tayangan Bermula Dengan Empat Episod

“The Remarried Empress” akan memulakan tayangan dengan empat episod pada 4 November.

Selepas itu, dua episod baharu akan ditayangkan setiap Rabu sehingga episod akhir pada 25 November, hanya di Disney+.

Selain “The Remarried Empress”, peminat drama Korea di Disney+ turut boleh menyaksikan pelbagai karya original Korea lain termasuk “Made In Korea,” “Tempest” dan “Moving.”

Saksikan empat episod pertama “The Remarried Empress” mulai 4 November 2026, secara eksklusif di Disney+.