PSYCHIC FEVER Raikan Keunikan Menerusi Album Baharu “DIFFERENT”

PSYCHIC FEVER from EXILE TRIBE secara rasminya melancarkan album studio penuh kedua mereka, “DIFFERENT”, iaitu album pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun sejak debut.

Mengandungi 10 buah lagu, “DIFFERENT” membawa mesej bahawa perbezaan mampu menjadi kekuatan terbesar, selain mencerminkan perkembangan muzik PSYCHIC FEVER yang kini semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

Kejayaan kumpulan itu termasuk jelajah pertama di enam bandar di Amerika Syarikat, menandatangani kontrak global bersama Warner Music Group, serta membuat persembahan di beberapa festival muzik utama di rantau Asia-Pasifik.

Album ini turut memperlihatkan kematangan muzik PSYCHIC FEVER dengan penglibatan aktif para anggota dalam proses kreatif. Antaranya, JIMMY dan WEESA menyumbangkan lirik untuk tiga buah lagu dalam album tersebut.

Single utama album ini, “If You’re Mine”, diterbitkan oleh kolaborator tetap mereka, JIGG. Lagu berkenaan mengekalkan identiti hip hop yang menjadi signature PSYCHIC FEVER sambil menggabungkan pelbagai pengaruh budaya. Video muzik rasminya telah dilancarkan pada 10 Julai, jam 9 malam (JST).

Mengulas mengenai album tersebut, JIMMY berkata:

“Ini merupakan album penuh pertama kami dalam tempoh empat tahun, jadi kami benar-benar mencurahkan sepenuh hati untuk menyiapkannya. Kali ini, terdapat tiga lagu yang liriknya ditulis oleh saya dan WEESA. Saya membayangkan bagaimana hebatnya jika ahli-ahli lain menyanyikan lirik tersebut, jadi saya harap peminat dapat menikmati kedua-dua melodi dan maksud di sebalik liriknya.”

Sementara itu, RYOGA menjelaskan konsep di sebalik “DIFFERENT”.

“Kami mahu meraikan keunikan setiap individu. Daripada membandingkan diri dengan orang lain, kami percaya perbezaan ialah sesuatu yang perlu diraikan kerana itulah yang membuatkan setiap orang bersinar dengan cara tersendiri. Kami berharap album ini dapat memberi keyakinan kepada pendengar untuk berbangga dengan diri sendiri, menghargai keunikan orang di sekeliling mereka dan menjalani kehidupan sebagai diri sendiri.”

Selain “If You’re Mine”, album ini turut memuatkan lagu seperti “Masterpiece”, “I Got Ways”, “Diamond”, “Cinderella Pt. 2”, “Into You”, “Dream Flight”, “Pink Lemonade” dan “Glowing”, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian muzik yang dibawakan oleh PSYCHIC FEVER.

Menerusi “DIFFERENT”, PSYCHIC FEVER terus memperkukuhkan identiti muzik mereka sambil melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa.

Album “DIFFERENT” kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama di seluruh dunia.