“Never-Ending Summer” merupakan drama percintaan remaja China akan datang yang dibintangi oleh Bao Shang En dan Daniel Zhou Keyu. Diadaptasi daripada novel web Zhui Luo oleh Tian Cu Yu, drama ini mengangkat kisah cinta remaja yang terbina daripada dendam, salah faham dan luka emosi, sebelum membawa pasangan utamanya bertemu semula di alam dewasa.
Sinopsis

Demi menampung kos perubatan neneknya yang sakit tenat, Zhou Wan (Bao Shang En), seorang pelajar cemerlang tetapi pendiam, terpaksa mencari jalan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada ibu kandungnya yang telah lama terpisah.
Namun selepas ditolak, Zhou Wan membuat keputusan berani dengan mendekati Lu Xixiao (Daniel Zhou Keyu), anak tiri kepada ibunya yang berasal daripada keluarga kaya. Pada awalnya, hubungan mereka bermula dengan niat tersembunyi, namun perlahan-lahan berkembang menjadi hubungan remaja yang penuh emosi pada musim panas selepas tamat sekolah.
Namun kebahagiaan itu tidak kekal lama apabila salah faham dan realiti kehidupan memisahkan mereka selama sepuluh tahun.
Plot & Konflik
Pada peringkat awal, Zhou Wan mendekati Lu Xixiao bukan kerana cinta, tetapi dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap hubungan sulit antara ibu Lu Xixiao dan bapa Zhou Wan.
Namun, apa yang tidak dijangka ialah Lu Xixiao bukanlah seorang remaja kaya yang angkuh. Di sebalik imejnya sebagai pewaris keluarga berada, dia sebenarnya seorang yang rapuh, terabai dan kesunyian dari segi emosi—sama seperti Zhou Wan sendiri.
Apabila Lu Xixiao mengetahui kebenaran di sebalik niat Zhou Wan, hubungan mereka mula runtuh. Luka dan salah faham itu membawa kepada perpisahan selama sepuluh tahun, sebelum mereka akhirnya bertemu semula di alam pekerjaan sebagai orang dewasa.
Pertemuan Semula di Alam Dewasa
Sepuluh tahun kemudian, Zhou Wan muncul sebagai seorang wanita profesional yang berdikari dan jelas dengan arah hidupnya. Sementara itu, Lu Xixiao masih menyimpan rasa sakit dan kemarahan terhadap masa lalu mereka.


Namun, pertemuan semula itu membuka semula luka lama dan memaksa mereka berdepan dengan kebenaran yang telah lama disembunyikan. Kali ini, mereka tidak lagi hanya berdepan perasaan cinta, tetapi juga satu misteri besar di sebalik kemalangan kilang yang perlu diselesaikan bersama.
Daya Tarikan & Elemen Menarik
Salah satu tarikan utama drama ini ialah Daniel Zhou Keyu yang turut menyumbangkan suara untuk lagu tema berjudul “When the Galaxy Falls” , memberikan lapisan emosi tambahan kepada kisah cinta yang tragis ini.
Drama ini juga menampilkan estetika “Youth Pain Literature “, yang menggambarkan kehidupan remaja dengan latar pesisir pantai, suasana sekolah, tekanan akademik dan kenangan musim panas yang penuh nostalgia.
Dari sudut hubungan, “Never-Ending Summer” turut menampilkan perkembangan karakter yang matang, di mana hubungan utama mereka di alam dewasa tidak lagi bersifat toksik atau bergantung, sebaliknya berkembang sebagai hubungan setara antara dua individu yang pernah terluka.
Tayangan

“Never-Ending Summer ” akan mula ditayangkan pada 16 Jun dan boleh distrim melalui aplikasi iQIYI atau iQ.com, dengan sarikata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu disediakan.
Barisan Pelakon
- Bao Shang En sebagai Zhou Wan
- Daniel Zhou Keyu sebagai Lu Xixiao
- Zhao Yingbo sebagai Jiang Yan
- Ke Chun sebagai Luo He
- Fu Weilun sebagai Jiang Fan
- Xu Yuanyina sebagai Gu Meng
- Huang Tingting sebagai Shen Lan
“Never-Ending Summer ” menjanjikan sebuah kisah cinta yang pahit manis — bermula daripada dendam remaja, luka emosi dan perpisahan panjang, sebelum menemukan semula makna cinta ketika dewasa.


