[TERKINI] Heeseung Tinggalkan ENHYPEN, Titip Surat Menyentuh Hati Buat Peminat

Ahli kumpulan K-pop ENHYPEN, Heeseung, mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan kumpulan tersebut bagi meneruskan hala tuju muzik baharu sebagai artis solo.

Pengumuman itu dibuat pada 10 Mac oleh agensi BELIFT LAB menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform komuniti peminat Weverse.

Menurut agensi itu, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan panjang bersama para ahli mengenai hala tuju masa depan kumpulan.

“Kami telah mengadakan perbincangan mendalam bersama para ahli mengenai masa depan dan matlamat ENHYPEN. Dalam proses tersebut, kami menyedari bahawa Heeseung mempunyai hala tuju muzik yang jelas ingin diterokainya, dan kami memutuskan untuk menghormati aspirasinya,” kata BELIFT LAB.

Dengan keputusan ini, Heeseung akan berpisah daripada kumpulan tersebut, manakala ENHYPEN akan meneruskan aktiviti rasmi sebagai kumpulan enam ahli bagi jadual promosi mereka yang akan datang.

Agensi itu turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru.

“Walaupun sukar untuk menjelaskan keseluruhan proses dalam kenyataan yang singkat, keputusan ini dibuat selepas tempoh pertimbangan yang panjang dan teliti. Kami memahami bahawa berita ini mungkin sukar diterima oleh peminat, namun kami berharap anda dapat memahami bahawa keputusan ini dibuat demi masa depan ENHYPEN dan Heeseung.”

BELIFT LAB juga menegaskan bahawa ENHYPEN akan terus berkongsi persembahan bertenaga bersama peminat mereka yang dikenali sebagai ENGENE, manakala Heeseung akan kekal di bawah agensi tersebut dan sedang membuat persiapan untuk melancarkan album solo.


Heeseung Kongsi Mesej Menyentuh Hati Kepada ENGENE

Selepas pengumuman itu dibuat, Heeseung turut berkongsi sepucuk surat kepada peminat bagi menjelaskan perasaannya mengenai keputusan tersebut.

Menurutnya, enam tahun bersama ENHYPEN merupakan tempoh yang penuh kenangan berharga.

“Enam tahun yang saya lalui dipenuhi dengan detik yang begitu bermakna sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata. Terima kasih kepada para ahli yang berkongsi begitu banyak emosi bersama saya, dan kepada ENGENE yang sentiasa mengisi setiap kekosongan dengan sokongan anda.”

Heeseung juga menjelaskan bahawa beliau telah lama mengusahakan projek peribadi dan berharap suatu hari nanti dapat berkongsi hasil tersebut dengan peminat.

“Seperti yang anda semua tahu, saya terus mengerjakan projek peribadi dan menghabiskan banyak masa dengan harapan suatu hari nanti dapat berkongsi semuanya dengan anda. Namun pada masa yang sama, saya juga tidak mahu hanya mendahulukan keinginan peribadi saya dalam pasukan.”

Beliau turut mengakui bahawa berita tersebut mungkin mengejutkan dan membimbangkan peminat.

“Saya tahu ramai yang terkejut dan bimbang dengan berita ini. Tetapi saya sedang bekerja keras membuat persiapan supaya dapat kembali bertemu anda semua secepat mungkin dengan versi diri saya yang lebih baik.”

Heeseung menegaskan bahawa beliau akan terus melangkah ke hadapan dengan menghargai kasih sayang yang diberikan peminat.

“Saya akan terus melangkah dengan kasih sayang besar daripada ENGENE sentiasa terukir di hati saya.”


Perjalanan ENHYPEN

Kumpulan ENHYPEN, yang dianggotai oleh Jungwon, Heeseung, Jay, Jake, Sunghoon, Sunoo, dan Ni-Ki, ditubuhkan pada tahun 2020 menerusi program survival muzik I-LAND dan membuat debut pada November tahun yang sama dengan EP pertama mereka, Border: Day One.

Sejak itu, kumpulan tersebut berjaya mencipta nama dalam industri K-pop melalui pelbagai lagu popular seperti Given-Taken, Drunk-Dazed, Tamed-Dashed, Fever, dan Bite Me, yang meraih perhatian peminat global. Baru-baru ini, ENHYPEN turut melancarkan EP ketujuh mereka berjudul The Sin: Vanish, dengan seleksi lagu seperti “Knife”, “Big Girls Don’t Cry”, dan “No Way Back”, menandakan satu lagi langkah penting dalam evolusi muzik kumpulan tersebut.

Sepanjang kariernya bersama kumpulan itu, Heeseung dikenali sebagai antara ahli yang paling aktif dalam proses kreatif, termasuk menyumbang dalam penulisan dan penghasilan beberapa lagu kumpulan, antaranya “Highway 1009” dan terbaru, “Sleep Tight” bersama Jake. Beliau juga terkenal dengan bakat serba bolehnya dalam muzik dan persembahan. Heeseung adalah vokalis utama kumpulan, dikenali dengan vokal yang stabil, berkualiti tinggi, dan tona unik. Selain itu, beliau mempunyai perfect pitch dan mahir menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya persembahan. Kemahiran vokal dan persembahannya yang hebat menjadikan beliau seorang yang sering digelar “hexagon idol” atau “ace”, menunjukkan beliau memiliki set kemahiran lengkap merangkumi vokal, tarian, persembahan pentas, dan penghasilan muzik.

Author Note:

I’m still in shock… Heeseung leaving ENHYPEN feels so unreal.

It’s hard to imagine the stages, the songs, and all those memories without him standing there with the group. He has been such a big part of everything for the past six years. I know this decision couldn’t have been easy, but my heart is still trying to process it.

Six years of unforgettable moments… and now Heeseung is walking a new path. No matter where life takes you, please know that noona will always support you and have your back. 💙

Sumber 1 | 2 | 3

Kredit foto : SULB