Key daripada kumpulan SHINee tampil memohon maaf dan mengakui menerima rawatan perubatan tanpa lesen, sekali gus mengumumkan pengundurannya daripada semua program televisyen dan aktiviti yang sedang disertainya.
Kontroversi ini tercetus susulan siasatan terhadap seorang wanita yang dikenali sebagai “makcik suntikan” atau Ms. Lee, yang didakwa memberikan perkhidmatan perubatan haram termasuk suntikan dan preskripsi ubat tanpa lesen sah. Individu sama sebelum ini turut dikaitkan dengan pelawak Park Na Rae.
Dalam kenyataan rasmi pada 17 Disember, agensi Key, SM Entertainment, menjelaskan bahawa Key diperkenalkan kepada wanita tersebut melalui seorang kenalan dan pertama kali bertemunya di sebuah hospital di Gangnam, Seoul. Ketika itu, Key percaya bahawa wanita berkenaan adalah seorang doktor bertauliah.
Artikel berkaitan : Kontroversi Park Na Rae: Kronologi Isu Pengurus, Perubatan Tidak Sah dan Cuti Sementara
Key kemudiannya meneruskan rawatan di hospital tersebut, dan dalam beberapa keadaan apabila sukar untuk hadir ke hospital, beliau menerima rawatan di rumah. SM menegaskan bahawa Key tidak menyedari tindakan itu boleh menjadi satu kesalahan kerana beliau menyangka wanita berkenaan adalah seorang doktor berlesen dan tidak pernah diberitahu sebaliknya.
Menurut agensi itu, Key hanya mengetahui bahawa wanita tersebut sebenarnya tidak mempunyai lesen perubatan selepas kontroversi ini tercetus. Menyedari keseriusan perkara berkenaan, Key mengambil keputusan untuk menghentikan semua aktiviti dan menarik diri daripada program-program yang disertainya.
SM Entertainment turut memohon maaf atas kelewatan mengeluarkan kenyataan, dengan menjelaskan bahawa perkara tersebut disebabkan oleh keperluan menyelaras komunikasi dengan pelbagai pihak berkaitan jadual jelajah solo Key di luar negara.
Key sendiri turut mengeluarkan permohonan maaf secara peribadi menerusi Instagram. Dalam kenyataannya, beliau mengakui berasa keliru dan terkejut dengan pendedahan tersebut, serta menyesal kerana tidak lebih peka terhadap keadaan sekeliling. Beliau juga menyatakan rasa malu dan kesal terhadap peminat serta orang ramai yang telah mempercayainya, dan berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya serta mengambil masa untuk bermuhasabah diri.
View this post on Instagram
Susulan pengumuman tersebut, beberapa program yang melibatkan Key mengesahkan pengundurannya. Jawatankuasa penganjur MBC Music Awards 2025 memaklumkan bahawa Key tidak lagi akan bertindak sebagai pengacara, dan majlis anugerah itu akan diteruskan dengan dua orang MC sahaja, iaitu Jun Hyun Moo dan Jang Do Yeon.
Rancangan variasi “I Live Alone” dan “Amazing Saturday” turut mengesahkan bahawa Key tidak akan mengambil bahagian dalam rakaman akan datang. Selain itu, saluran YouTube DdeunDdeun mengumumkan penghentian penerbitan rancangan web “THE CLOSET DETECTIVE: REBOOT” selepas mempertimbangkan situasi semasa.
Kontroversi ini semakin mendapat perhatian selepas gambar anjing dan kediaman Key ditemui di akaun media sosial wanita berkenaan, sekali gus mencetuskan desakan awam agar Key menjelaskan hubungannya dengan individu tersebut.
Sebelum ini, Key berada di Amerika Syarikat bagi jelajah solonya “2025 Keyland: Uncanny Valley”, yang berakhir pada 15 Disember. Beliau juga tidak menghadiri rakaman studio “I Live Alone” pada awal bulan ini dengan alasan komitmen jelajah luar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Park Na Rae turut mengundur diri daripada beberapa program susulan dakwaan menerima rawatan perubatan haram daripada individu sama. Industri hiburan Korea juga mengeluarkan amaran keras terhadap amalan perubatan tanpa lesen serta isu penyalahgunaan kuasa dalam industri, sambil menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

