Annyeong, chinguyaa~~
Macam biasa, setiap bulan kami akan update korang dengan drama Korea terbaru yang wajib masuk dalam watchlist – dan bulan Julai 2025 ni memang penuh dengan pilihan menarik!
Kali ini ada 9 drama baharu yang tengah menanti untuk mencuri perhatian – daripada kisah cinta yang buat hati berbunga, thriller penuh dendam dan misteri forensik yang mendebarkan, hinggalah ke dunia fantasi pelik dengan garisan merah yang bongkar rahsia sulit. Macam-macam genre ada, confirm tak bosan!
Drama bulan ini juga menampilkan barisan pelakon hebat seperti Lee Jong Suk, Kim Nam Gil, Lee Sung Kyung, Hyeri, Lee Soo Hyuk, Lee Dong Wook, Sanha (ASTRO), Arin (OH MY GIRL) dan ramai lagi. Genre yang ditawarkan pun sangat pelbagai — termasuk aksi thriller, komedi romantik, noir jenayah, fantasi misteri, dan drama hukum yang realistik.
Jadi, jom semak senarai penuh 9 K-drama terbaharu yang wajib masuk dalam watchlist anda sepanjang Julai ini!
1. Bitch X Rich 2 / Cheongdam International High School
- Tarikh Tayangan: 3 Julai 2025
- Penyiar: tvN Asia – Astro Ch395 & Astro Go, unifi TV Ch211 & unifi playTV, Setiap Khamis dan Jumaat, 8.30PM MYT
- Penyiar: Viu Malaysia
- Barisan Pelakon: Lee Eun Saem, Yeri, Kim Min Kyu, Won Kyun Bin, Lee Jong Hyuk, Jang Sung Yoon
Dikenali dengan tajuk asalnya Cheongdam International High School, musim pertama memperkenalkan Kim Hye In (Lee Eun Saem), satu-satunya saksi kepada pembunuhan seorang pelajar perempuan. Kehadirannya ke Sekolah Menengah Antarabangsa Cheongdam—pusat elit penuh pelajar dari keluarga chaebol—membawa perubahan besar kepada hierarki sekolah tersebut. Di sana, dia bertemu dengan Baek Jena (Yeri Red Velvet), ratu Diamond 6—kelab sosial paling berkuasa di sekolah itu dan juga suspek utama dalam kes pembunuhan.
Dalam BITCH X RICH 2, suasana menjadi semakin tegang apabila watak-watak baharu muncul dan mengacau-bilaukan sistem kuasa yang sedia ada. Penonton bakal menyaksikan persaingan yang lebih dahsyat, pakatan yang tidak dijangka, serta konfrontasi emosi yang menggugat kestabilan dalaman setiap watak. Siri ini juga akan menyelami perkembangan dalaman Hye In dan Jena ketika mereka mula menyedari apa yang benar-benar penting dalam hidup mereka.
2. Law and the City
- Tarikh Tayangan: 5 Julai 2025
- Penyiar: Disney+ Hotstar (Setiap Sabtu & Ahad, 10.20PM MYT)
- Penyiar: tvN Asia – Astro Ch395 & Astro Go, unifi TV Ch211 & unifi playTV, Setiap Ahad & Isnin, 9.15PM MYT
- Barisan Pelakon: Lee Jong Suk, Moon Ga Young, Kang You Seok, Ryu Hye Young, Im Seong Jae
Berlatar di daerah undang-undang Seocho yang sibuk, Law and The City mengisahkan lima peguam muda yang bergelut dengan tekanan kerja, dilema moral dan persoalan tentang makna kejayaan dalam bidang guaman.
Sebagai peguam bersekutu di firma masing-masing, mereka berdepan beban kerja berat, konflik peribadi dan masa depan yang tidak menentu — sambil cuba mencari makna dalam kerjaya yang sering memenatkan tetapi jarang dihargai.
Law and The City ialah drama undang-undang Korea yang realistik, tajam dan penuh humor sinis, memaparkan cabaran harian peguam muda di tengah hiruk-pikuk Seoul.
3. S LINE
- Tarikh Tayangan: 11 Julai 2025
- Penyiar: Wavve
- Barisan Pelakon: Lee Soo Hyuk, Lee Da Hee, Arin (OH MY GIRL), Lee Eun Saem
Apakah yang akan terjadi apabila hubungan sulit seseorang tidak lagi menjadi rahsia?
Dalam S LINE, dunia berubah apabila satu garisan merah misteri — yang menghubungkan individu dengan pasangan hubungan fizikal mereka — mula muncul di atas kepala setiap orang. Garisan ini, yang hanya boleh dilihat namun tidak disentuh, mendedahkan segala maklumat peribadi yang selama ini disembunyikan.
Lee Soo Hyuk membawakan watak detektif Han Ji Wook yang menyiasat rahsia di sebalik fenomena ini, manakala Lee Da Hee melakonkan guru sekolah menengah Gyu Jin yang kelihatan tidak terikat dengan mana-mana ‘garisan merah’. Arin pula menjadi Hyun Heup, satu-satunya pelajar yang mampu melihat S LINE sejak lahir, dan Lee Eun Saem sebagai Sun Ah, rakan sekelas yang menambah ketegangan dalam dunia yang semakin kacau-bilau.
Dibalut dalam suasana thriller fantasi yang berani dan penuh tanda tanya, S LINE mengangkat isu kepercayaan, privasi dan keinginan tersembunyi dalam masyarakat moden.
4. Low Life
- Tarikh Tayangan: 16 Julai 2025 (3 episod dilancarkan serentak)
- Penyiar: Disney+ Hotstar
- Barisan Pelakon: RyuSeung Ryong, Yang Se Jongh, Im Soo Jung
Low Life ialah sebuah siri noir yang memikat, menggabungkan elemen jenayah, thriller psikologi, dan komedi hitam, dengan sentuhan retro 1970-an yang penuh gaya. Diadaptasi daripada webtoon terkenal karya Yoon Tae-Ho, drama ini mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang terdesak memburu sebuah kapal harta karun dari era Joseon yang tenggelam di perairan Shinan pada tahun 1977.
Didorong oleh ketamakan dan impian untuk mengubah nasib, mereka termasuk penipu licik Oh Gwan-Seok (Ryu Seung-Ryong), penyelam muda yang penuh semangat (Yang Se-Jong), dan seorang kurator yang tercemar reputasinya (Im Soo-Jung). Dalam usaha merebut kekayaan yang belum pasti, mereka akhirnya terperangkap dalam kancah tipu daya, pengkhianatan, dan permainan minda berisiko tinggi.
5. The Nice Guy
- Tarikh Tayangan: 18 Julai 2025
- Penyiar: JTBC
- Barisan Pelakon: Lee Dong Wook. Lee Sung Kyung
Bayangkan seorang gangster yang menghabiskan waktu siangnya membaca karya sastera klasik, tetapi kembali ke dunia jenayah selepas matahari terbenam. Itulah dualiti hidup Park Seok Cheol (lakonan Lee Dong Wook), cucu sulung kepada keluarga gangster generasi ketiga. Namun, hidupnya mula tergugat apabila cinta lama, Kang Mi Young (lakonan Lee Sung Kyung) — seorang wanita penuh impian yang mahu menjadi penyanyi— kembali, membawa bersamanya kenangan lama dan ketegangan baharu. Drama ini menawarkan gabungan cinta lama, konflik keluarga, dan emosi yang mendalam.
6. The Defects
- Tarikh Tayangan: 21 Julai 2025
- Penyiar: ENA | K-Plus Asia Astro Ch396 & Astro Go – Setiap Isnin & Selasa | 9.15PM MYT
- Barisan Pelakon: Yum Jung Ah, Won Jin Ah, Choi Young Joon, Dex
The Defects mengisahkan sekumpulan kanak-kanak angkat yang dipulangkan semula dan terperangkap dalam sindiket pemerdagangan manusia. Di sebalik wajah sebuah hospital ternama, tersembunyi operasi gelap yang dikawal oleh Kim Se Hee (Yum Jung Ah), wanita berpengaruh dengan ideologi genetik melampau.
Kim Ah Hyun (Won Jin Ah), salah seorang mangsa yang terselamat, bangkit untuk membalas dendam. Dibantu oleh Woo Tae Sik (Choi Young Joon), bekas ahli sindiket yang ingin menebus dosa, mereka berdepan ancaman Jung Hyun (Dex) — “senjata manusia” yang taat melaksanakan arahan tanpa belas kasihan.
The Defects ialah drama thriller gelap yang padat dengan emosi, aksi dan persoalan tentang nilai sebenar kemanusiaan.
7. My Girlfriend Is the Man
- Tarikh Tayangan: 23 Julai 2025
- Penyiar: KBS
- Barisan Pelakon: Sanha (ASTRO), Arin (Oh My Girl), Yoo Jung Hoo
Diadaptasi daripada webtoon popular, “My Girlfriend Is the Man!” ialah sebuah drama romantik komedi yang mengisahkan Park Yoon Jae (Yoon San-Ha), pelajar astronomi yang jatuh cinta pada pandang pertama dengan Kim Ji Eun (Arin). Namun hubungan mereka diuji apabila Ji Eun secara tiba-tiba bertukar menjadi seorang lelaki akibat genetik misteri dalam keluarganya. Kini dikenali sebagai Kim Ji Hoon (Yoo Jung Hoo), Ji Eun cuba menyesuaikan diri dengan identiti barunya — sambil mengekalkan hubungan cinta yang unik bersama Yoon Jae. Di tengah kekeliruan ini, muncul pula Kang Min Joo (Chuu), pelajar popular yang mula menaruh hati pada Ji Hoon. Drama ini menjanjikan konflik manis, kekeliruan identiti, dan cinta sejati yang diuji dari sudut paling luar biasa.
8. Try: A Miracle in Us
- Tarikh Tayangan: 25 Julai 2025
- Penyiar: SBS | Netflix
- Barisan Pelakon: Yoon Kye Sang, Im Se Mi, Kim Yo Han
Drama ini mengisahkan Joo Ga Ram (lakonan Yoon Kye Sang), bekas bintang ragbi sekolah yang pernah menjulang nama negara — sebelum kariernya musnah akibat skandal doping. Reputasinya tercalar, dan selama sedekad, dia terperosok dalam bayang-bayang masa silam dan kecaman media.
Namun, apabila dia kembali ke sekolah lamanya sebagai jurulatih kepada pasukan ragbi yang serba kekurangan dan sering kalah, Joo Ga Ram diberi peluang kedua — bukan sahaja untuk membentuk pasukan itu menjadi juara Kejohanan Sukan Kebangsaan, tetapi juga untuk menebus dirinya sendiri.
Di sisinya ialah Im Se Mi, sebagai guru pendidikan jasmani yang percaya padanya sejak awal, menjadi satu-satunya cahaya yang terus menyokong ketika orang lain menjauh.
Menggabungkan elemen sukan, kisah kehidupan dan semangat bangkit dari kegagalan, drama ini memberikan pengalaman inspirasi dan menyentuh hati
9. Trigger
- Tarikh Tayangan: 25 Julai 2025
- Penyiar: Netflix
- Barisan Pelakon: Kim Nam Gil, Kim Young Kwang
Di sebalik undang-undang kawalan senjata yang ketat di Korea Selatan, satu gelombang jenayah bersenjata mula menggoncang negara — berpunca daripada kemunculan senjata api haram yang misterius. “Trigger” mengisahkan dua lelaki yang memilih untuk mengangkat senjata demi keadilan, meskipun dengan alasan dan jalan berbeza.
Kim Nam Gil membawakan watak Lee Do, seorang anggota polis yang kembali memegang senjata demi menegakkan keadilan. Sementara itu, Kim Young Kwang sebagai Moon Baek, muncul sebagai individu misteri yang membantu Lee Do dalam siasatan, namun menyimpan rahsia gelapnya sendiri.
Sebuah thriller aksi penuh debaran, Trigger menyorot dilema moral, kepercayaan dan kebenaran dalam dunia yang sedang menuju huru-hara.
Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!