Choi Siwon, Jung In Sun, dan ramai lagi kongsi pandangan tentang cinta, takdir & kemunculan istimewa Super Junior dalam drama terbaru “DNA Lover”

Bintang-bintang drama TV Chosun yang akan datang “DNA Lover” berkongsi tentang watak-watak mereka dan pendekatan kehidupan sebenar mereka terhadap percintaan!

Pada 13 Ogos, Choi Siwon Super Junior, Jung In Sun, Lee Tae Hwan, dan Jung Yoo Jin menghadiri sidang akhbar untuk memperkatakan tentang “DNA Lover” dan pengalaman mereka sepanjang penggambaran drama itu.

“DNA Lover” merupakan komedi romantik baharu yang dibintangi oleh Jung In Sun sebagai Han So Jin, seorang penyelidik genetik yang telah beberapa kali gagal dalam percintaan. Jadi, dia memulakan misi untuk mencari kekasih yang paling serasi secara genetik untuk mempunyai hubungan yang bahagia. Penyelidikannya memberinya dua pilihan: pakar obstetrik-ginekologi yang menawan Shim Yeon-woo (Choi Si-won) dan rakan karibnya yang merupakan anggota bomba Seo Kang-hoon (Lee Tae-hwan).

Ketika ditanya bagaimana perasaannya menjelang tayangan perdana drama itu, Choi Siwon menjawab, “Orang ramai bertanya sama ada saya gugup, tetapi saya berasa lebih teruja daripada gugup. Saya bersyukur kerana diberi peluang hebat ini, dan walaupun saya juga merasakan yang sama dalam projek yang lain, tetapi disebabkan pengarah Sung Chi Wook sangat kelakar dan lucu, masa yang saya habiskan untuk penggambaran drama ini sangat menyeronokkan dan menggembirakan.”

Choi Siwon juga berkongsi falsafah peribadinya mengenai hubungan percintaan.

Takdir itu penting, tetapi [drama ini] membuatkan saya berfikir sekali lagi bahawa penting untuk sebuah hubungan itu wujud berdasarkan kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain. Saya rasa ini adalah drama yang membuatkan saya fikir selain daripada ketentuan takdir, perkara yang paling penting ialah berusaha, saling menghormati dan beri perhatian  antara satu sama lain.

Untuk pengetahuan semua, rakan kumpulan Choi Siwon Super Junior, iaitu Leeteuk dan Shindong akan membuat penampilan istimewa dalam “DNA Lover.”

Anda tidak tahu betapa saya berterima kasih kepada mereka. Setiap hari, apabila kami pergi ke suatu tempat untuk membuat persembahan, Leeteuk dan Shindong bimbang tentang saya dan bertanya, ‘Bagaimana drama itu? Bila ia akan berakhir? Anda mesti penat, kan?’

Walaupun sibuk, mereka berdua tetap bersedia membuat penampilan istimewa dalam drama itu, Leeteuk pada asalnya muncul sebanyak empat kali, tetapi ia tidak menjadi kerana pertindihan jadualnya, jadi saya fikir dia akan muncul dalam projek saya yang seterusnya juga.

– Choi Siwon

Sementara itu, Jung In Sun bercakap tentang mengapa dia tertarik dengan watak penyelidik yang pelik tetapi bersemangat, Han So Jin.

Saya memang suka perihal jenis-jenis darah, zodiak, jenis personaliti MBTI, dan tilik nasib (peramal). Dalam hal itu, saya dapat mengaitkan dengan watak saya.

Semasa berehat selama dua tahun, saya ingin mencuba membawa perubahan baru dan meninggalkan perilaku saya yang lalu.  Apabila saya mula-mula membaca skrip [untuk ‘DNA Lover’], saya fikir watak itu mempunyai tenaga yang mungkin sukar untuk saya cuba, jadi saya memberi cadangan dan cuba pendekatan yang berbeza terhadap watak itu. Pengarah pada asalnya mahu [watak saya] berambut panjang, tetapi saya memotong rambut saya pendek.

Jung In Sun juga mendedahkan bahawa kerana Choi Siwon sangat kelakar, dia sentiasa mengalami kesukaran untuk memastikan wajahnya tenang dan serius semasa penggambaran.

Setiap kali saya membuat pengambaran dengannya, saya mengeluh terlebih dahulu. Saya terpaksa tarik nafas panjang dan mempersiapkan diri sebelum penggambaran. Pandangan mata Choi Siwon ada ekspresi yang menggoda.

– Jung In Sun

Jung Yoo Jin pula akan memainkan watak bekas teman wanita Shim Yeon Woo, Jang Mi Eun, seorang kolumnis yang bercinta dengan ramai lelaki.

Mereka mengatakan ini adalah kali pertama watak poliamori (seseorang yang yang memiliki lebih dari satu hubungan romantis) digambarkan dalam drama Korea. Saya juga berdepan kesukaran untuk mendekati watak itu pada mulanya. Saya tidak pandai multitasking, jadi gaya temu janji saya tertumpu pada seorang saja pada satu masa, dan memandangkan [poliamori] bukan topik biasa di Korea, saya membuat sedikit rujukan mengenainya menerusi temu bual dengan kehidupan sebenar individu poliamori di YouTube.

Mengenai perkara yang dia fokuskan dalam melakonkan watak itu, Jung Yoo Jin berkongsi,

Keempat-empat watak itu mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mencintai. Disebabkan Mi Eun mempunyai pendekatan yang unik terhadap cinta, saya memberi perhatian untuk tidak menjadikan dia kelihatan seperti seorang pemain dan meletakkan fokus pada cinta. Walaupun Yeon Woo adalah bekas teman lelakinya, dia benar-benar menyayanginya, dan saya cuba fokus untuk menterjemahkan perasaan itu.

– Jung Yoo Jin

Akhir sekali, kita ada Lee Tae Hwan yang akan memegang watak Seo Kang Hoon, seorang anggota bomba kacak yang sentiasa mengutamakan Han So Jin.

Berkongsi pemikiran peribadinya tentang cinta, Lee Tae Hwan berkata,

Dalam drama itu, Kang Hoon tidak percaya pada takdir. Diusia muda, saya percaya kepada takdir, tetapi apabila saya membesar, saya mula terfikir pentingnya mencari takdir kehidupan ini, tetapi menentukan nasib anda sendiri juga sama pentingnya. Apabila anda menemui orang yang ditakdirkan untuk anda, adalah lebih penting untuk mengekalkan dan mewujudkan hubungan dengan mereka.

“DNA Lover” akan ditayangkan pada 17 Ogos di TV Chosun dan turut  tersedia untuk tontonan menerusi Viu Malaysia dan juga Viki.

Sumber : 1 | 2

loading...