Heeseung Lancar Akaun Instagram, Mulakan Perjalanan Solo Sebagai Evan

Berita ini pastinya mengembirakan peminat Lee Heeseung yang telah menantikan perkembangan terbarunya sejak 10 Mac. Penantian mereka akhirnya berbaloi, walaupun sebahagian peminat masih sukar mempercayainya.

Heeseung secara rasmi memulakan perjalanan solonya dengan melancarkan saluran media sosial baharu di bawah nama pentas Evan. Pada 8 April, beliau memuat naik beberapa foto yang memaparkan sisi dirinya yang lebih jujur dan peribadi.

Agensinya, BELIFT LAB, menyifatkan imej-imej tersebut sebagai:

“Menangkap sisi paling tulen Evan—seorang artis yang sedang membentuk identitinya, sebelum sebarang definisi luaran diberikan.”

Dalam kenyataan rasmi, Heeseung menjelaskan bahawa nama Evan melambangkan identiti artistiknya serta naratif peribadinya. Beliau berkata:

“Evan adalah nama yang saya hargai sejak kecil, yang menyimpan banyak kenangan berharga. Melalui nama ini, saya berharap dapat mendekati peminat dengan muzik yang benar-benar mencerminkan diri saya yang paling jujur dan semula jadi.”

Ikuti Evan di Instagram:

 

View this post on Instagram

 

A post shared by EVAN (@h_evva_n)

Lihat juga lebih banyak foto Evan di bawah:


Profil Evan di Laman Web Rasmi BELIFT LAB

Menurut laman web rasmi BELIFT LAB, EVAN digambarkan sebagai seorang vokalis serba boleh dengan tona suara yang moden dan sofistikated. Di situ, beliau diperkenalkan sebagai artis yang membuat debut pada tahun 2020 sebagai Heeseung dari ENHYPEN, dan menerima pujian atas vokalnya yang lancar serta kehadiran pentas yang mantap.

Laman web itu turut menekankan sisi kreatif Evan, termasuk penglibatannya dalam penulisan lagu dan produksi, yang mencerminkan bakat dan kecenderungan artistiknya yang pelbagai. Kini, beliau bersedia membuka lembaran baharu sebagai artis solo, dengan nama EVAN yang membawa dimensi baru dalam identitinya serta inti pati seni muziknya.

Melalui persona ini, laman web rasmi menyatakan bahawa beliau berhasrat mempersembahkan muzik yang sepenuhnya dibentuk oleh warna unik dan kedalaman emosinya sendiri.


Masa Depan Sebagai Artis Solo

Evan kini bersiap untuk memulakan aktiviti sebagai artis solo, membawa pengalaman dan keupayaan muzik yang telah dibina sepanjang kerjayanya. Peminat dijangka akan menyaksikan sisi Evan yang lebih pelbagai dan matang sebagai seorang artis, sambil mengekalkan kejujuran dan keaslian dalam setiap persembahan.

Nantikan perkembangan lanjut mengenai Evan!

Sumber : 1 | 2