Drama Korea paling dinanti-nantikan tahun 2026, Perfect Crown (juga dikenali sebagai 21st Century Grand Prince’s Wife), tampil dengan gabungan kisah cinta, konflik sosial dan dunia istana moden.
Berlatar Korea abad ke-21 yang masih mengamalkan monarki berperlembagaan, drama ini mengisahkan hubungan antara seorang wanita kaya yang memiliki segalanya tetapi tiada status diraja, dan seorang putera yang berdarah raja tetapi hidupnya penuh kekangan.
Gandingan IU dan Byeon Woo Seok serta barisan pelakon hebat lain menjadikan drama ini antara yang paling dinanti tahun ini.
Dunia Monarki Moden Yang Berbeza
Dalam sidang media yang diadakan pada 6 April di Seoul, pengarah Park Joon Hwa menjelaskan bahawa drama ini menawarkan sesuatu yang berbeza:
“Kami mahu bayangkan bagaimana jika monarki masih wujud dalam dunia moden. Ia akan beri keseronokan yang berbeza daripada drama lain.”
Beliau yang terkenal dengan What’s Wrong with Secretary Kim dan Alchemy of Souls turut menegaskan bahawa drama ini tidak akan membosankan dan penuh dengan momen mendebarkan.
Watak Utama: Kaya Tapi Tak Berstatus, Putera Tapi Tak Bebas

Seong Hui Ju (IU)
Seorang pewaris chaebol yang memiliki segalanya, tetapi kecewa kerana tidak mempunyai status diraja. Demi mengubah nasib, dia memilih jalan perkahwinan kontrak.
IU menggambarkan wataknya sebagai:
“Seorang wanita yang ada segalanya tetapi rasa tidak puas hati. Dia kompleks – penuh emosi, tamak, tetapi juga comel.”
Wataknya juga digambarkan seperti selebriti atau influencer yang sentiasa menjadi perhatian ramai.
Grand Prince Ian (Byeon Woo Seok)
Anak kedua keluarga diraja yang disayangi rakyat, tetapi tidak boleh menonjol atau bebas membuat pilihan hidup.
Woo Seok berkata:
“Saya dapat bayangkan watak ini dengan jelas dan sangat memahami kisahnya. Dia nampak kuat di luar, tetapi sebenarnya kesepian di dalam.”
Perkahwinan Kontrak Yang Mengubah Takdir
Pertemuan Hee Ju dan Ian membawa kepada perkahwinan kontrak, masing-masing ingin mengubah kedudukan hidup mereka.
Namun hubungan ini bukan sekadar strategi — ia berkembang menjadi kisah cinta yang berdepan tekanan keluarga, politik istana dan perbezaan kelas sosial.
Keserasian 10 Tahun IU & Byeon Woo-seok
Ini bukan kali pertama IU dan Woo Seok berkongsi skrin. Mereka pernah muncul bersama dalam Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo.
IU bergurau:
“Seolah-olah Woo Seok mahu menebus semua luka dulu… seperti menunggu sedekad untuk itu.”
Woo-seok pula memuji IU sebagai rakan lakon yang membuatkan dia berasa selesa sepanjang penggambaran. Kimia mereka yang terjalin sejak dulu kini menjadi salah satu daya tarikan utama drama ini.
Barisan Watak Sokongan Yang Kuat

Selain pasangan utama, drama ini turut diperkukuhkan dengan watak-watak penting yang mempunyai peranan besar dalam perkembangan cerita:
- Noh Sang Hyun sebagai Min Jeong Woo – Perdana Menteri yang tenang dan berprinsip namun ianya mula goyah selepas perkahinan kontrak antara Hui Ju dan Putera Agung Ian yang mana keduanya adalah kawan lamanya
Beliau memilih watak ini kerana tertarik dengan perubahan emosi dan konflik dalaman yang dilalui sepanjang cerita.
- Gong Seung Yeon sebagai Yoon Yi Rang – Permaisuri Balu (Queen Dowager) yang kelihatan dingin namun meletakkan keluarga diraja di atas segalanya.
Dia tertarik dengan rasa tanggungjawab watak serta kekuatan skrip dan pengarah.
- Yoo Soo Bin sebagai Choi Hyun – pembantu setia kepada Putera Agung.
Yoo Soo Bin menerima tawaran ini kerana gabungan pengarah rom-com terkenal dan barisan pelakon hebat.
- Lee Yeon sebagai Jo Hye Jung – setiausaha cekap kepada Hui Ju
Ini merupakan percubaan pertamanya dalam genre romantik komedi, dan dia melihatnya sebagai peluang untuk mengembangkan diri sebagai pelakon.
Watak-watak ini membawa konflik, emosi dan hubungan yang menjadikan cerita lebih hidup dan menarik.
Visual Unik: Gabungan Tradisi & Moden
Salah satu kekuatan utama drama ini ialah visualnya:
- Permaisuri Balu (Queen Dowager) tampil dengan hanbok tradisional
- Putera Agung Ian menggabungkan gaya klasik dan moden
- Hui Ju tampil dengan gaya moden sepenuhnya
Woo Seok turut terlibat dalam pemilihan gaya wataknya bagi memastikan personaliti Lee Ahn terserlah dengan jelas.
IU juga menekankan bahawa kostum memainkan peranan penting dalam menggambarkan personaliti setiap watak.
Setanding Dengan “Princess Hours”?

Drama ini sering dibandingkan dengan Princess Hours, yang juga berlatar monarki moden.
Pengarah Park berkata:
“Kekuatan terbesar drama ini ialah para pelakon. Setiap episod ada tarikan tersendiri. Saya mahu ia jadi drama yang setanding dengan Princess Hours.”
Lebih Dari Sekadar Kisah Cinta
Walaupun berlatar dunia fiksyen, Perfect Crown menampilkan elemen realistik dari segi hubungan manusia dan struktur sosial.
Pengarah Park menambah:
“Visualnya sangat Korea, tetapi hubungan antara watak adalah universal. Penonton global juga boleh memahami dan menikmatinya.”
Tayangan Global
Perfect Crown akan mula ditayangkan pada 10 April 2026, setiap Jumaat dan Sabtu, serta boleh distrim di Disney+.
Dengan jalan cerita segar, visual menarik dan gabungan pelakon berbakat, drama ini dijangka menjadi antara K-drama paling hangat tahun 2026.

