Ramai peminat masih terkejut dengan berita bahawa Lee Heeseung tidak lagi bersama ENHYPEN. Tidak lama selepas pengumuman tersebut dibuat, ahli kumpulan itu akhirnya berkongsi mesej khas buat peminat mereka, ENGENE.
Mesej tersebut dimuat naik menerusi akaun ahli kumpulan di X, di mana mereka menyatakan kebimbangan terhadap perasaan peminat yang mungkin masih cuba menerima berita berkenaan.
“Kami rasa ENGENE pasti sangat terkejut selepas melihat pengumuman hari ini. Perkara pertama yang kami risaukan ialah bagaimana perasaan ENGENE.
Oleh kerana ENHYPEN sentiasa wujud demi ENGENE, melihat ENGENE berasa bimbang dan melalui masa yang sukar adalah perkara yang paling menyakitkan bagi kami.”
Menurut mereka lagi, masa yang dilalui bersama selama ini terlalu berharga untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Masa yang kami lalui bersama sehingga hari ini terlalu berharga sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata. Disebabkan itu, kami menghormati dan menyokong keputusan Heeseung serta permulaan baharunya.”
Dalam masa yang sama, ahli kumpulan tersebut turut berjanji akan terus berkembang dan memberikan yang terbaik kepada peminat.
“Bagi meredakan kebimbangan ENGENE walaupun sedikit dan untuk mencipta hari-hari yang membahagiakan buat ENGENE, kami akan terus berkembang menjadi lebih baik.
Kepada ENGENE yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada kami di mana sahaja mereka berada, kami akan menjadi ENHYPEN yang sentiasa boleh anda banggakan. Kami akan menjadi lebih kuat dan tidak akan melupakan rasa syukur kami pada setiap saat.
Terima kasih sentiasa, dan kami sayang kamu, ENGENE.”
Walaupun berdepan perubahan besar, ENHYPEN dijangka meneruskan jadual aktiviti mereka seperti yang dirancang. Kumpulan itu dilaporkan masih mempunyai beberapa jadual persembahan yang akan datang, termasuk penampilan pentas di Australia dalam masa terdekat.
Sumber : 1

