Drama baharu tvN “Mad Concrete Dreams” tampil sebagai naskhah thriller yang sarat dengan ketegangan, emosi dan permainan kuasa, digerakkan oleh barisan pelakon hebat seperti Ha Jung Woo, Im Soo Jung, Kim Jun Han, Krystal Jung, dan Shim Eun Kyung.
Lelaki Yang Terhimpit Hutang

Kisah berpusat pada Ki Soo Jong (Ha Jung Woo), seorang ketua keluarga yang mempertaruhkan segalanya demi membeli Bangunan Se Yoon menggunakan pinjaman maksimum. Impiannya untuk mengubah nasib melalui projek pembangunan semula bertukar menjadi beban apabila dia dibelenggu hutang yang semakin menimbun.
Dalam usaha terdesak untuk melindungi keluarga dan hartanya, Soo Jong terjerat dalam rancangan penculikan palsu — namun situasi menjadi di luar kawalan apabila penculikan tersebut bertukar menjadi ancaman sebenar yang berbahaya. Ha Jung Woo menghidupkan watak ini dengan penuh intensiti, menampilkan perjuangan seorang lelaki biasa yang semakin terdesak.
Menariknya, ini merupakan kemunculan semula beliau di layar kecil selepas 19 tahun. “Sudah terlalu lama sejak kali terakhir saya berlakon dalam drama. Saya mahu menghasilkan sebuah karya yang benar-benar menyeronokkan,” katanya.
Isteri Tenang Dalam Krisis

Di sisi Soo Jong ialah Kim Sun (Im Soo Jung), seorang isteri dan ibu yang kuat serta berfikiran tajam. Digelar sebagai “steel mom”, Kim Sun kekal tenang walaupun dalam situasi genting. Dia sanggup berhenti kerja sebagai jururawat demi memberi tumpuan kepada pendidikan anak mereka, Da Rae, yang mengalami masalah pendengaran.
Apabila menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan suaminya, Kim Sun mula mengambil langkah sendiri demi melindungi keluarga. Keputusan tidak dijangka yang dibuatnya menambah ketegangan dalam cerita. Im Soo Jung, yang kembali ke layar kecil selepas lima tahun, turut meluahkan keterujaannya untuk menampilkan sisi baharu dirinya melalui watak ini.
Persahabatan Sarat Persaingan

Konflik semakin memuncak dengan kehadiran Min Hwal Seong (Kim Jun Han), sahabat rapat Soo Jong yang bercita-cita tinggi. Dia berjaya mengahwini Jeon Yi Kyung (Krystal), anak tunggal keluarga kaya, namun kegagalan dalam pelaburan menjadikannya menantu yang semakin terpinggir.
Min Hwal Seong secara halus memandang rendah terhadap Soo Jong, malah menyimpan perancangan sendiri demi mendapatkan pengiktirafan keluarga mentua. Hubungan persahabatan mereka menjadi semakin kompleks dan penuh persaingan tersembunyi.
Anak Kaya Dengan Kekosongan Tersendiri

Krystal membawakan watak Jeon Yi Kyung, wanita yang membesar dalam kemewahan tetapi menyimpan kekosongan dalaman. Walaupun kelihatan sempurna di mata luar, kehidupannya mula goyah apabila peristiwa tidak dijangka mengheretnya ke dalam konflik yang lebih besar.
Operatif Misteri Yang Mengancam

Menambahkan lagi elemen suspens ialah Yo Na (Shim Eun Kyung), operatif misteri dari Real Capital yang mengetuai projek pembangunan semula di kawasan Bangunan Se Yoon. Dingin dan tegas, Yo Na sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan projek berjalan lancar, sekali gus meletakkan Soo Jong dalam tekanan yang lebih besar.
Poster Penuh Simbolik

Poster rasmi memperlihatkan Soo Jong berdiri di tengah bersama Bangunan Se Yoon sambil memegang notis bayaran balik pinjaman. Mengelilinginya ialah Kim Sun, Min Hwal Seong, Jeon Yi Kyung dan Yo Na — masing-masing menghadap arah berbeza, melambangkan motif yang saling bertentangan.
Diselubungi cahaya merah suram, bangunan tersebut seolah-olah memberi amaran bahawa satu insiden berbahaya bakal tercetus. Tagline poster, “The last lifeline for a life-changing comeback,” menambahkan lagi tanda tanya tentang akibat keputusan terdesak Soo Jong.
Dengan gabungan konflik keluarga, tekanan kewangan dan permainan kuasa dalam dunia hartanah, “Mad Concrete Dreams” menjanjikan sebuah drama penuh debaran yang menguji batas moral setiap wataknya.
Drama ini dijadualkan tayang perdana pada 14 Mac jam 9:10 malam (KST) dan turut akan distrim untuk penonton Malaysia menerusi platform HBO Max.
Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 |

