Netflix telah mengadakan sidang media bagi drama Korea terbaharu, Can This Love Be Translated? di Jakarta pada 16 Januari 2026. Acara ini dihadiri oleh dua pelakon utama, Kim Seon Ho dan Go Youn Jung, bersama pengarah Yoo Young Eun. Menampilkan lokasi penggambaran di Korea, Jepun, Kanada dan Itali, drama komedi romantik ini mengisahkan hubungan cinta yang tidak disangka-sangka antara seorang penterjemah pelbagai bahasa, Joo Ho Jin, dan seorang selebriti bertaraf dunia, Cha Mu Hee.
Ditulis oleh Hong Sisters yang terkenal (Alchemy of Souls, Hotel Del Luna), Can This Love Be Translated? menampilkan keserasian lakonan yang memukau, dialog yang menarik serta kedalaman emosi dalam meneroka persoalan sama ada bahasa cinta benar-benar boleh diterjemahkan.

Pengarah Yoo Young Eun berkongsi pendekatannya dalam menggambarkan “bahasa cinta” di layar, khususnya apabila maksud perasaan sering disalah tafsir atau gagal diterjemahkan oleh watak-watak dalam drama ini.
“Kedua-dua watak ini sememangnya ‘bertutur’ dalam bahasa yang berbeza, sebab itulah timbul pelbagai salah faham. Untuk Ho-jin, saya menumpukan pada sifatnya yang suka menyendiri dan cuba menangkap detik-detik ketika dia bersendirian. Manakala Mu-hee pula, walaupun kelihatan banyak bercakap, sebenarnya hanya dua atau tiga ayat yang membawa makna serius,” jelasnya.
Kredit foto: Netflix
Kepelbagaian lokasi penggambaran turut menjadi elemen penting yang mencantikkan visual drama ini, menjadikan setiap lokasi sebahagian daripada penceritaan.
“Kami pergi ke banyak lokasi indah sebagai latar. Di Jepun, saya ingin menampilkan suasana hangat; di Kanada pula, saya mahu memaparkan aurora borealis yang memberi kesan dramatik. Memandangkan ini sebuah komedi romantik, saya juga ingin menonjolkan perasaan kedua-dua watak,” katanya lagi.
Mengulas reaksi penonton global, Yoo Young Eun berkata:
“Mungkin semua orang boleh merasai emosi yang dipaparkan dalam drama ini. Saya berharap walaupun kita menggunakan bahasa yang berbeza, kita masih boleh saling menyayangi. Walaupun perbezaan bahasa boleh membawa kekecewaan atau salah faham, jika kita berdiri atas dasar cinta, saling bertolak ansur dan memahami, kita pasti dapat mengharunginya.”
Bagi watak Joo Ho Jin, pelakon Kim Seon Ho berkongsi pendekatannya membawakan seorang penterjemah yang sebenarnya sukar menterjemahkan perasaannya sendiri.

“Saya melakonkan Ho Jin, yang sangat berbeza daripada Cha Mu Hee. Mu Hee jauh lebih ekspresif, jadi saya menumpukan kepada reaksi Ho Jin. Saya banyak berbincang dengan pengarah tentang cara menzahirkan watak ini melalui pandangan mata, gaya pertuturan dan pergerakan,” katanya.
Beliau juga berkongsi persediaannya mempelajari pelbagai bahasa dan loghat yang dikuasai Ho Jin seperti bahasa Inggeris, Itali dan Jepun.
“Saya membuat persediaan selama empat bulan, dengan guru bahasa berasingan untuk setiap bahasa. Tanpa persiapan itu, saya mungkin sudah berputus asa, terutamanya untuk babak di kedai ramen Momo-chan. Tapi melalui perbincangan dengan guru-guru bahasa, akhirnya saya berjaya,” kenangnya.
Sementara itu, Go Youn Jung, yang melakonkan watak selebriti dunia Cha Mu Hee yang tertutup secara emosi, berkongsi daya tarikan wataknya serta pendekatannya menampilkan sisi rapuh Mu Hee.

“Persiapan saya adalah menonjolkan bagaimana Mu Hee menjadi seorang superstar bukan secara berperingkat, tetapi secara mendadak. Ada perasaan gembira, namun pada masa yang sama wujud rasa takut. Inilah yang ingin saya sampaikan melalui watak ini. Mu Hee kelihatan tidak meluahkan perasaan, jadi dialognya sering berbelit-belit sebagai cara melindungi diri daripada terluka,” jelasnya.
Kedua-dua pelakon menyatakan rasa terharu dan penghargaan mereka terhadap sokongan peminat K-drama di Indonesia dan Asia Tenggara.
“Saya sangat berterima kasih atas kasih sayang dan sokongan yang tidak pernah putus. Dengan semangat dan dorongan anda semua, saya akan kembali dengan lebih bertenaga. Terima kasih kepada Netflix dan Can This Love Be Translated?, saya dapat datang ke Jakarta dan pulang dengan kebahagiaan serta tenaga positif yang luar biasa. Saya sayang kalian semua,” kata Kim Seon Ho.
Go Youn Jung, yang pertama kali berhadapan secara langsung dengan peminat antarabangsa, turut berkongsi:
“Ketika berada di experience zone tadi, saya mendengar sorakan yang sangat luar biasa. Saya benar-benar tersentuh dan berterima kasih.”
Beliau menambah,
“Drama ini penuh dengan babak-babak indah yang memukau, seindah pemandangan di Indonesia. Jika anda menonton hingga episod ke-12, anda akan dimanjakan dengan visual yang cantik serta suara Ho Jin yang merdu. Kami berharap anda menikmati drama ini, dan terima kasih atas kasih sayang serta sokongan anda.”

Selain sidang media, Netflix turut menganjurkan pameran imersif serta acara peminat yang menghimpunkan lebih 3,000 peminat bersama Kim Seon Ho dan Go Youn Jung. Acara ini memberi peluang istimewa kepada peminat untuk meraikan pelancaran drama pada hari tayangan perdana, dengan pelbagai elemen interaktif dan pengalaman imersif yang mencerminkan naratif drama serta negara-negara yang dikunjungi oleh watak-wataknya.

Sejak diumumkan, acara peminat ini menerima lebih 30,000 penyertaan, dengan peminat menghantar video atau mendaftar untuk peluang bertemu idola mereka. Sementara itu, Can This Love Be Translated? Experience Zone berlangsung sehingga 18 Januari 2026 di Atrium Kota Kasablanka, Jakarta, dan dibuka kepada orang ramai secara percuma.
Pengarah Yoo Young Eun turut berkongsi:
“Merupakan satu penghormatan besar dapat bertemu penonton di seluruh dunia melalui drama ini. Hati saya dipenuhi kegembiraan. Saya sempat mengunjungi experience zone dan membuat penanda buku daun semanggi empat helai. Saya sangat bersyukur kerana peminat dapat merasai pengalaman menjadi Ho Jin dan Mu Hee, seolah-olah kita sedang mengembara bersama.”

Pihak KMania ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Netflix Malaysia dan Indonesia atas peluang yang diberikan kepada kami untuk membuat liputan mengenai Can This Love Be Translated? yang telah diadakan di Jakarta.
Can This Love Be Translated? kini sudah ditayangkan, eksklusif di Netflix.

