Apabila seorang guru yang dikenali dengan sikap dingin di Seoul bertemu dengan seorang lelaki berpewatakan ceria dari pekan kecil, hubungan yang terjalin bukan sekadar percintaan biasa—ia mampu membawa kehangatan kepada seluruh komuniti. Selepas tampil memukau dalam sidang media di Seoul, barisan pelakon dan kru Spring Fever berjaya menarik perhatian dan membuatkan penonton tidak sabar untuk meluangkan masa menonton drama ini setiap malam Isnin dan Selasa. Diterajui oleh pengarah Marry My Husband, drama komedi romantik ini dijangka mampu mencairkan hati penonton dengan kisah yang manis dan menyentuh perasaan.
Lee Joo Bin membawakan watak Yoon Bom, seorang guru sekolah menengah yang kelihatan dingin tetapi sebenarnya menyimpan emosi yang kompleks. Ahn Bo Hyun pula tampil sebagai Sun Jae Gyu, seorang lelaki ceria dan penuh semangat yang hadir membawa perubahan besar dalam hidup Yoon Bom.
Mula ditayangkan pada 5 Januari dengan episod mingguan secara eksklusif di Prime Video di lebih 240 negara dan wilayah, berikut merupakan sebab mengapa Spring Fever wajar dimasukkan dalam senarai tontonan anda:
1. Keajaiban Berulang: Pengarah Park Won-kook Kembali

“Selepas menerima begitu banyak sokongan untuk Marry My Husband, saya berharap Spring Fever juga dapat menerima kasih sayang yang sama,” katanya.
Menurut Park, pendekatan beliau kekal konsisten.
“Saya tidak cuba memaksa emosi penonton atau mencipta babak lucu dan sedih secara berlebihan. Saya memberi ruang kepada pelakon untuk menyampaikan cerita dengan cara mereka sendiri.”
Pendekatan ini jelas memberikan hasil positif.
“Kami benar-benar menikmati proses penggambaran Spring Fever, dan saya rasa keseronokan itu dapat dirasai dalam drama ini,” tambahnya.
Dan jujurnya, penonton pasti mudah terpikat.
2. Watak Utama yang Tidak Tipikal

Lupakan stereotaip drama Korea yang biasa. Spring Fever tampil dengan watak utama yang segar dan berbeza. Kedua-dua pelakon mengakui mereka tertarik untuk menyertai drama ini kerana keunikan watak yang ditawarkan.
Bagi Ahn Bo Hyun, watak Sun Jae Gyu merupakan cabaran baharu.
“Dia sangat berbeza daripada semua watak yang pernah saya bawa. Saya memang mahu berlakon dalam projek yang menggunakan dialek,” katanya.
Komitmen Ahn Bo Hyun terhadap watak ini turut merangkumi perubahan fizikal, gaya berpakaian yang tidak biasa (menurut pengakuannya sendiri), serta usaha menampilkan sisi berbeza daripada watak hero romantik yang sering dilihat.
Lee Joo Bin pula terpikat dengan kerumitan wataknya.
“Yoon Bom bukan watak yang sering kita lihat dalam drama hari ini. Perubahannya sangat jelas dari awal hingga akhir—bukan sahaja dari segi personaliti, malah penampilan seperti pakaian, solekan dan gaya rambut juga berubah mengikut perjalanan cerita.”
Kesimpulannya, ini bukan watak klise dalam kisah cinta tipikal. Sebaliknya, mereka digambarkan sebagai individu yang berkembang secara realistik dan sentiasa memberi kejutan kepada penonton.
3. Keserasian yang Membuatkan Hati Berdebar

Dalam komedi romantik, keserasian bukan sekadar penting—ia segalanya. Dan Spring Fever menyajikannya dengan penuh gaya.
“Perbezaan fizikal antara watak kami sangat ketara,” usik Ahn Bo Hyun. “Ditambah pula dengan dialog bersahaja antara lelaki Busan dan wanita Seoul.”
Lee Joo Bin pula tidak berselindung memuji rakan gandingannya.
“Drama ini benar-benar menonjolkan fizikal Ahn Bo Hyun. Daya tahan dan kekuatannya sangat menawan.”
Namun, ulasan wataknya lebih mencuri perhatian:
“Emosi Bom merupakan antara yang paling tidak menentu dalam drama ini. Dia mempunyai banyak lapisan perasaan. Apabila penonton mengikuti perjalanan emosinya, mereka secara semula jadi akan tertarik dengan Jae Gyu bersama-sama dengannya.”
Keserasian yang ditampilkan ini menjanjikan kisah cinta yang mampu membuatkan penonton tersenyum dan teruja.
4. Dua Kisah Cinta Sekaligus

Belum sempat hati penonton reda, Pengarah Park Won-kook memperkenalkan satu lagi kisah cinta yang mengingatkan kita kepada pengalaman cinta pertama
“Selain kisah cinta matang dan penuh kehangatan antara Yoon Bom dan Sun Jae Gyu, ada juga kisah cinta pertama yang malu-malu tetapi manis antara anak saudara Jae Gyu, Sun Han Gyul (Cho Jun Young) dan Choi Se Jin (Lee Jae In),” jelas Park.
Mereka merupakan pesaing akademik yang bersaing untuk tempat pertama—hubungan mereka mudah membuat penonton tersenyum kerana terasa sangat dekat dengan pengalaman hidup sendiri.
Deskripsi wataknya juga mencuri tumpuan:
“Sun Jae Gyu seperti harimau—kami malah menambah kesan bunyi harimau. Yoon Bom pula seperti arnab yang kadangkala berubah menjadi singa.”
Dengan dua pasangan utama, detik-deik yang membuatkan hati berdebar kini berganda. Penonton sudah pasti bersedia untuk dibawa hanyut dalam kisah cinta ini.
5. ‘Percutian Musim Sejuk’ yang Hangat

Ketika cuaca semakin sejuk, Spring Fever hadir membawa kehangatan yang kita semua perlukan sambil menanti musim bunga.
Lee Joo Bin berkata dengan tepat pada masanya,
“Cuaca sekarang sangat sejuk, jadi saya cadangkan penonton duduk di rumah dan rasai musim bunga melalui drama ini. Ia juga dipenuhi momen komedi yang menghiburkan dan membuatkan hati bergetar.”
Ahn Bo-hyun menegaskan drama ini bukan kisah tarik tali biasa.
“Anda mungkin sudah menonton banyak komedi romantik, tetapi drama kami tidak bermain teka-teki. Ia hangat, namun tetap segar.”
Pengarah Park Won Kook menutup dengan janji terakhir:
“Spring Fever adalah drama yang asli—menggunakan dialek sebenar, mempamerkan pesona penuh Ahn Bo Hyun dan Lee Joo Bin, serta sebuah rom-kom yang tulen.
Manis, hangat dan penuh pesona, Spring Fever bukan sekadar komedi romantik biasa—ia kisah cinta penyembuh dengan sentuhan humor yang kita perlukan saat ini. Strim secara eksklusif di Prime Video setiap Isnin dan Selasa bermula 5 Januari.

