Netflix telah mendedahkan poster teaser dan teaser rasmi bagi siri komedi romantik terbaharunya, “Can This Love Be Translated?”, yang menampilkan gandingan Kim Seon Ho dan Go Youn Jung.
Drama ini mengisahkan hubungan romantik yang terjalin antara Joo Ho Jin (Kim Seon Ho), seorang jurubahasa pelbagai bahasa, dan Cha Mu Hee (Go Youn Jung), seorang bintang terkenal bertaraf global. Kisah mereka bermula apabila Ho Jin ditugaskan sebagai jurubahasa peribadi Mu Hee, sebelum hubungan profesional itu berkembang ke arah yang tidak disangka-sangka.
Poster teaser memperlihatkan Ho Jin sedang menterjemah ketika Mu Hee menjalani sesi temu bual. Ho Jin, yang fasih berbahasa Inggeris, Jepun dan Itali, memerhati Mu Hee dengan penuh fokus agar tidak terlepas walau sepatah perkataan. Dalam masa yang sama, Mu Hee kelihatan sedikit gugup, mencerminkan tekanan yang dihadapi selepas melonjak menjadi bintang global dalam sekelip mata. Suasana lembut namun mendebarkan ini menimbulkan persoalan tentang hubungan sebenar antara mereka berdua.

Tagline “The most difficult language, yours” (bahasa paling sukar, bahasa kamu) menambah elemen emosi dan misteri, seolah-olah menyiratkan bahawa walaupun kata-kata boleh diterjemahkan, memahami perasaan dan hati seseorang adalah cabaran yang jauh lebih sukar.
Teaser yang dilancarkan pula memberi gambaran lebih jelas tentang dinamika Ho Jin dan Mu Hee. Perbezaan personaliti mereka — Ho Jin yang tenang dan terkawal berbanding Mu Hee yang spontan dan sukar dijangka — menjanjikan interaksi yang segar, penuh jenaka dan ‘tarik-tali’ emosi.
Teaser tersebut turut memperkenalkan watak Hiro lakonan Fukushi Sota, yang menjalani penggambaran bersama Mu Hee. Kehadirannya menimbulkan tanda tanya tentang peranan yang bakal dimainkan dalam hubungan antara Ho Jin dan Mu Hee. Dialog Ho Jin yang berkata, “Saya rasa saya tidak begitu memahami apa yang orang itu katakan,” serta kesukarannya untuk menterjemah pengakuan perasaan Hiro, memberi bayangan bahawa perjalanan cinta mereka tidak akan semudah yang disangka.
Selain kisah romantik, drama ini turut menjanjikan visual yang memukau dengan latar penggambaran di Itali, Kanada dan Jepun. Daripada cahaya aurora yang mempesona hinggalah pemandangan istana lama dan tasik yang luas, teaser ini hanya memberi gambaran awal kepada keindahan visual yang bakal ditampilkan.
Dengan gabungan keserasian yang menggetarkan hati antara Kim Seon Ho dan Go Youn Jung serta visual antarabangsa yang memikat, “Can This Love Be Translated?” dijangka menjadi antara siri paling dinanti. Drama ini akan ditayangkan pada 16 Januari 2026, eksklusif di Netflix.
