Annyeong, chinguyaa~~
Seperti biasa, kami takkan biarkan korang tercicir dari perkembangan drama Korea terbaru yang akan bersiaran sepanjang bulan Oktober 2025
Bulan Oktober ni memang meriah habis sebab banyak drama baru yang confirm akan temani hari-hari korang. Dari kisah cinta manis, survival penuh emosi, sampai lah ke thriller yang buat jantung berdegup laju — semuanya ada!
Apa yang best, barisan pelakonnya pun bukan calang-calang. Bayangkan nama besar macam Suzy, Kim Woo Bin, Choi Woo Shik, Kang Tae Oh, Lee Junho, Jung So Min, Kim Se Jeong, Han Hyo Joo turun padang, mesti hype kan? Jadi standby je popcorn sebab watchlist korang memang akan jadi makin panjang bulan ni.
Jom kita tengok 8 drama Korea terbaru Oktober 2025 yang wajib ada dalam radar korang!
1. Genie, Make A Wish
- Tarikh Tayangan: 3 Oktober 2025
- Penyiar: Netflix
- Barisan Pelakon: Suzy, Kim Woo Bin, Noh Sang Hyun, Ahn Eun Jin, Kyo Kyu Pil,
Drama komedi romantik fantasi ini berlatar di Seoul masa kini, di mana mitos lama bercampur dengan kehidupan harian. Kim Woo-bin berlakon sebagai Genie, roh berusia ratusan tahun yang terperangkap dalam sebuah lampu dan sudah penat menunaikan permintaan manusia yang tamak. Hidupnya berubah apabila Suzy sebagai Ki Ka-young, seorang penterjemah skrip yang pendiam, secara tidak sengaja membebaskannya.
Tidak seperti orang lain, Ka-young tidak membuat sebarang permintaan. Sebaliknya, dia banyak bertanya tentang makna sebenar sebuah keinginan. Ini membuat Genie bingung dan marah, lalu bermulalah perdebatan lucu antara mereka. Dalam masa yang sama, Genie semakin rapat dengan Ka-young, membantu dia mengejar semula impiannya, sambil Genie sendiri belajar apa ertinya menjadi manusia.
Dengan penulis skrip terkenal Kim Eun-sook sebagai peneraju, penonton boleh menantikan dialog yang segar, momen magis penuh warna, dan kisah cinta yang menyentuh hati tetapi tetap realistik.
2. Would You Marry Me
- Tarikh Tayangan: 10 Oktober 2025
- Penyiar: Disney+ Hotstar Malaysia
- Barisan Pelakon: Choi Woo Shik, Jung So Min, Seo Bum June
Berlatar di kota Seoul yang sibuk, drama komedi romantik ini mengisahkan Yoo Me-ri (lakonan Jung So-min), seorang pekerja pejabat yang praktikal dan berfikiran logik. Me-ri menyertai pertandingan pengantin baru untuk memenangi sewa apartmen bandar — tetapi hakikatnya, dia masih bujang. Dalam keadaan terdesak, dia memujuk kenalan lama dari zaman universiti, Kim Woo-joo (lakonan Choi Woo-shik), yang bersikap santai, untuk berpura-pura menjadi suaminya.
Sepanjang mereka melalui sesi bergambar berkonsep pasangan dan berdepan dengan saudara-mara yang suka menyibuk, kedua-duanya mula menemui sisi diri masing-masing yang tidak pernah disangka.
Dengan salah faham lucu dan detik penuh emosi, drama ini membawa penonton meneroka bagaimana berpura-pura mencintai seseorang akhirnya boleh menumbuhkan perasaan sebenar.
3. Typhoon Family
- Tarikh Tayangan: 11 Oktober 2025
- Penyiar: tvN | Netflix
- Barisan Pelakon: Lee Junho, Kim Min Ha, Kim Min Suk, Kwon Han Sol
“Typhoon Family” mengangkat kisah krisis kewangan IMF Korea Selatan pada tahun 1997, ketika ramai keluarga kehilangan rumah dan pekerjaan. Lee Jun-ho membawakan watak Kang Tae-poong, anak sulung dalam sebuah keluarga yang perniagaannya runtuh dalam sekelip mata. Saat berusaha menyara adik-beradiknya dan juga pekerja syarikat, Tae-poong terpaksa membuat keputusan sukar yang menguji maruah serta integritinya.
Kim Min-ha pula melakonkan Oh Mi-seon, seorang wanita yang sumber rezekinya musnah akibat krisis tersebut. Namun, dia menemui kekuatan untuk bangkit semula bersama keluarga Tae-poong.
Inti pati drama ini menyingkap wujudnya rasa kasih dan benci yang berjalan seiring dalam keluarga yang berdepan tekanan. Ia memperlihatkan bagaimana setiap ahli keluarga berjuang dengan pengorbanan dan cita-cita mereka sendiri.
4. Marie and Her Three Daddies
- Tarikh Tayangan: 13 Oktober 2025
- Penyiar: KBS
- Barisan Pelakon: Ha Seung Ri, Hyun Woo, Park Eun Hye, Ryu Jin, Hwang Dong Joo
“Marie and Her Three Daddies” mengisahkan Kang Marie (Ha Seung Ri) dalam pencarian ayah kandungnya, lalu bertemu tiga lelaki berbeza — Lee Poong Joo (Ryu Jin), Kang Min Bo (Hwang Dong Joo) dan Jin Gi Sik (Gong Jung Hwan) — yang mungkin mempunyai kaitan dengan dirinya. Dalam masa sama, hubungan Marie dengan seniornya di sekolah perubatan, Lee Kang Se (Hyun Woo), berkembang menjadi percintaan selepas satu pengakuan mengejutkan. Park Eun Hye turut membintangi sebagai Joo Si Ra, ibu Marie yang menyimpan rahsia besar.
Drama ini menyorot pencarian identiti, rahsia keluarga, dan terbentuknya ikatan luar biasa yang lebih kuat daripada pertalian darah.
5. The Dream Life of Mr. Kim
- Tarikh Tayangan: 25 Oktober 2025
- Penyiar: JTBC
- Barisan Pelakon: Ryu Seung Ryong, Myung Se Bin, Cha Kang Yoon
“The Dream Life of Mr. Kim” dijangka menjadi sebuah kisah slice-of-life yang hangat dan menyentuh hati. Drama ini mengisahkan Mr. Kim (lakonan Ryu Seung Ryong), seorang lelaki biasa berusia 40-an yang tiba-tiba terjaga dan mendapati dirinya hidup dalam dunia impiannya — mempunyai pekerjaan hebat, rumah cantik, serta hubungan yang tak pernah dia sangka. Namun, ketika menikmati realiti penuh indah itu, dia mula sedar bahawa kesempurnaan juga ada kelemahannya.
Melalui adegan lucu dan momen penuh emosi, drama ini menyelami persoalan “bagaimana jika” yang sering bermain dalam fikiran kita, sambil memberi mesej bahawa kebahagiaan sejati mungkin sebenarnya wujud dalam kehidupan sederhana dan tidak sempurna yang kita miliki sekarang.
6. Spirit Fingers
- Tarikh Tayangan: 29 Oktober 2025
- Penyiar: TVING
- Barisan Pelakon: Park Ji Hu, Cho Jun Young
Diadaptasi daripada webtoon popular, “Spirit Fingers” ialah sebuah drama remaja bergenre healing romance yang sarat dengan warna dan makna tentang pencarian jati diri.
Song Woo-yeon (Park Ji-hu) hanyalah seorang pelajar sekolah menengah biasa. Di rumah, dia terbiasa dengan layanan pilih kasih ibunya yang lebih mengutamakan abang serta adiknya. Situasi itu membuat Woo-yeon sering terpinggir, kurang dihargai, dan membesar dengan keyakinan diri yang rendah.
Hidupnya mula berubah apabila dia bertemu Koo Sun-ho (Choi Bo-min), seorang lelaki tampan yang secara spontan mengajaknya menjadi model jalanan untuk kelab lakaran Spirit Fingers. Ahli kelab tersebut — termasuk presidennya Nam Geu-rin (Park Yoo-na) — tampil penuh keunikan, mesra, dan yakin dengan diri sendiri; sesuatu yang sangat asing bagi Woo-yeon. Terinspirasi oleh suasana positif itu, dia akhirnya memutuskan untuk menyertai mereka.
Spirit Fingers menjanjikan sebuah kisah hangat dan penuh inspirasi tentang keberanian anak muda dalam mengekspresikan diri, menemukan “warna sebenar” mereka, dan mungkin juga merasai cinta dalam perjalanan tersebut.
7. Moon River
- Tarikh Tayangan: 31 Oktober 2025
- Penyiar: MBC
- Barisan Pelakon: Kang Tae Oh, Kim Sejeong
Drama sageuk fantasi ini berlatar di istana diraja Joseon, apabila Putera Mahkota Lee Kang (Kang Tae-Oh) dan gadis pasar, Park Dal-Yi (Kim Se-Jeong), secara misteri bertukar jiwa. Tiba-tiba, Lee Kang terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat biasa, manakala Dal-Yi pula perlu bertahan dalam dunia politik istana yang penuh bahaya.
Takdir mempertemukan mereka dalam misteri pertukaran jiwa, memaksa keduanya memilih antara cinta, tanggungjawab, dan nasib. Drama ini menggabungkan hubungan penuh emosi dengan konflik yang mencabar, dihiasi visual mempesona untuk penonton.
8. Romantics Anonymous
- Tarikh Tayangan: 16 Oktober 2025
- Penyiar: Netflix
- Barisan Pelakon: Shun Oguri, Han Hyo Joo, Yuri Nakamura, Jin Akanishi
“Romantics Anonymous” membawa penonton menyelami kisah cinta yang luar biasa antara dua insan dengan trauma berbeza. Sosuke (Shun Oguri) ialah seorang lelaki yang baru dilantik sebagai presiden kedai coklat terkenal Le Sauveur, namun hidupnya dibelenggu ketakutan untuk bersentuhan dengan orang lain. Hana (Han Hyo-joo) pula bekerja sebagai pembuat coklat rahsia di kedai yang sama, seorang wanita berbakat tetapi hidup dalam ketakutan untuk bertentang mata dengan sesiapa sahaja.
Pertemuan mereka yang kelakar dan janggal di kedai coklat itu membawa kepada sesuatu yang mengejutkan: hanya apabila bersama, kedua-duanya mampu mengatasi fobia yang selama ini mengawal hidup mereka. Bermula dengan salah faham dan latihan “percubaan bercinta”, hubungan Sosuke dan Hana perlahan-lahan berkembang menjadi ikatan istimewa yang dipenuhi detik hangat, lucu, dan menyentuh hati.
Dengan gabungan kreatif produksi dari Jepun dan Korea, Romantics Anonymous bukan sekadar komedi romantik biasa, tetapi sebuah kisah tentang keberanian untuk membuka hati, menerima kelemahan diri, dan menemukan cinta pada waktu yang tidak disangka.
Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!